Tolak Ahli Parlimen sokong LGBT

LGBT

sumber asal: http://www.ismaweb.net/2017/12/30/tolak-ahli-parlimen-sokong-lgbt1/

BANGI, 11 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Undang-undang syariah berkenaan lelaki berpakaian seperti wanita dan sebaliknya, diwujudkan di Malaysia adalah untuk menjaga kemaslahatan masyarakat secara umum.

Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pihak berkuasa agama sedaya upaya merangka strategi bagi menghalang generasi muda terikut-ikut dengan budaya hidup songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menyelar gesaan Charles Santiago yang mahu kerajaan memansuhkan semua undang-undang dan peraturan yang kononnya mendiskriminasi golongan transgender, beliau berkata, Ahli Parlimen parti rasis dan cauvinis DAP itu jelas tidak menghormati Perlembagaan Malaysia dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen, Charles sewajarnya mengetahui selok belok Perlembagaan.

“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kesamarataan semua di sisi undang-undang dan tidak boleh ada perbezaan oleh sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina. Perlembagaan kita menyebut ‘jantina’ merujuk kepada perbezaan seks biologi lelaki dan perempuan sahaja.

“Gesaan beliau pula tidak melihat keseluruhan perspektif transgender dari sudut kesihatan. Misalnya, baru-baru ini kita dikejutkan dengan fakta daripada Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Jangkitan Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa kes-kes baru HIV lebih tinggi di kalangan homoseksual (LGBT).

“Dan daripada 1,553 kes baru di kalangan mereka yang mengamalkan homoseksualiti, 40 peratus adalah di kalangan pemuda berumur 19-29 tahun, kebanyakannya pelajar manakala 31 peratus terdiri daripada golongan profesional berumur di antara 30-39 tahun.

“Ini yang sewajarnya mendapat perhatian Ahli Parlimen DAP tersebut dan bukannya terikut-ikut dengan kempen atau falsafah dari Barat yang tidak sesuai langsung bagi rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar

Charles dalam kenyataannya sebelum ini turut menggesa agensi-agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhenti menangkap golongan mak nyah atau LGBT.

Ini kerana dakwa Charles, tindakan sewenang-wenangnya pihak berkuasa agama menampakkan sikap diskriminasi.

Bidas Dr Rafidah lagi, Charles sepatutnya lebih peka mengenai perkembangan LGBT di dalam dan di luar negara, serta berupaya membuat perbandingan yang tepat sebelum menuduh penguatkuasa agama dengan tuduhan rambang.

Katanya, jika dibandingkan dengan negara-negara yang lebih maju, tidak ada bukti kukuh tindakan penguatkuasaan JAIS, JAKIM dan lain-lain badan penguatkuasa agama menyumbang secara langsung kepada jenayah kebencian kepada LGBT.

“Amerika Syarikat yang mendukung kebebasan dalam LGBT mempunyai kadar jenayah kebencian yang lebih tinggi apabila kes pembunuhan melibatkan komuniti LGBT meningkat 11 peratus antara tahun 2013 dan 2014, seperti yang dilaporkan oleh National Coalition of Anti Violence Programme.

“Bahkan media mereka dalam tahun 2015 menyatakan Amerika patut diisytiharkan sebagai menghadapi krisis apabila 2 kes pembunuhan transgender dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

“Kecenderungan pihak aktivitis pro-LGBT mengkategorikan setiap kes kematian yang melibatkan LGBT sebagai berpunca daripada jenayah kebencian. Sedangkan, siasatan polis melaporkan ia kes jenayah biasa.

“Ia sebenarnya hanyalah cubaan menggambarkan Malaysia tidak berhemah dalam menangani isu LGBT,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *