WAFIQ Alu-Alukan Akta Pekerja Sosial

Featured Statements

WAFIQ mengalu-alukan kenyataan YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Wan Azizah untuk membawa rang undang-undang Kerja Sosial dibahaskan di parlimen.

Umum mengetahui, Profesyen Kerja Sosial merupakan satu profesyen yang penting bagi menjamin kebajikan rakyat terutamanya pengadvokasian golongan sasar antaranya kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya. Namun begitu, ketiadaan sebuah akta bagi mengawal selia dan melindungi pekerja sosial di malaysia khususnya yang terlibat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat merupakan satu halangan dan ancaman kepada keselamatan pekerja sosial terutamanya dalam pengendalian kes penderaan kanak-kanak. Hal ini disokong oleh laporan UNICEF tahun 2013 yang bertajuk “Child protection system in Malaysia: An analysis of the system for prevention and response to abuse, violence and exploitation against Children”, menyatakan bahawa pekerja sosial merasakan diri mereka terancam dari aspek keselamatan di mana mereka sering diugut dan diancam untuk dicederakan.

Oleh yang demikian, dengan adanya Akta Pekerja Sosial, ia membuka sebuah lembaran baru dalam penjagaan dan pemeliharaan kebajikan masyarakat. Akta ini akan memberi ruang dan peluang bagi pekerja sosial meningkatkan kompetensi selain dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan memenuhi keperluan klien. Kompetensi kerja sosial yang bakal ditekankan melalui akta ini akan meningkatkan mutu kualiti intervansi yang diberikan khusus dalam menjaga kebajikan masyarakat dan mengadvokasi golongan sasar.

Selain itu, akta ini akan memberi taraf profesionalisme terhadap pekerja sosial serta melindungi mereka dalam menjalankan tugas terutamanya sebagai pelindung kanak-kanak. Objektif ini dapat dicapai melalui pengeluaran lesen bagi mengiktiraf kompetensi serta professionalisme seseorang pekerja sosial.

WAFIQ berharap agar rang undang-undang ini mendapat persetujuan ahli parlimen bagi memastikan institusi kebajikan dan kerja sosial ini di iktiraf dan akan beroperasi pada standard kompetensi yang ditetapkan mengikut status quo di Malaysia dan selari dengan perlembagaan negara.

Sekian,
Terima Kasih

 

Amalina Annuar,
Exco Sosial WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *