SUHAKAM Tidak Wajar Eksploitasi Isu Larangan Bertudung Untuk Sokong ICERD

Statements Women

WAFIQ merujuk kepada Kenyataan Media Suruhankaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang bertarikh 31 Oktober 2018 mengenai kepentingan Malaysia menandatangani dan mengiktiraf International Convention on the Elimination of all Forms of Racial Discrimination (ICERD) sebagai saranan dan jalan penyelesaian untuk isu diskriminasi di tempat kerja yang dihadapi oleh ribuan wanita di Malaysia terutamanya dalam industri perhotelan yang tidak membenarkan mereka mengenakan hijab semasa bekerja.

Sebagai agensi hak asasi manusia kebangsaan Malaysia, SUHAKAM telah melepaskan peluang keemasan apabila SUHAKAM gagal untuk mengetengahkan isu ini dalam laporan mereka kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Hak Asasi Manusia di Malaysia (OHCHR) bagi semakan UPR kali ketiga untuk Malaysia pada bulan Mac lepas. Hal ini jelas memperlihatkan sikap pilih kasih SUHAKAM dalam mengadvokasikan isu ini di peringkat antarabangsa. Fakta bahawa SUHAKAM telah mengeksploitasikan isu ini bagi menyokong agenda ICERD di dalam negara, tetapi tidak sedikit pun mengetengahkan isu ini di peringkat antarabangsa sebenarnya telah memperlihatkan ketidak-ikhlasan SUHAKAM dalam memperjuangkan isu larangan berhijab bagi wanita Muslim.

Bagi memahami dengan lebih lanjut, kita masih ingat peristiwa pada tahun 2014, apabila seorang guru berbangsa Cina dan beragama Islam telah dipaksa untuk menanggalkan tudungnya oleh Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Nan Ya), Teluk Sengat, Johor (sila rujuk laporan WAFIQ kepada OHCHR di pautan: http://wafiq.my/2018/11/01/528/)

Diskriminasi terhadap agama dalam kes ini, di mana seorang guru berbangsa Cina telah didiskriminasikan oleh guru sebangsa dengan beliau, menggambarkan bahawa ICERD bukan instrumen menyelesaikan masalah ini, memandangkan definisi diskriminasi dalam konvensyen ICERD hanyalah meliputi diskriminasi berasaskan kaum, warna, keturunan, bangsa atau asal etnik (“distinction, exclusion, restriction or preference based on race, colour, descent, or national or ethnic origin…”)

Oleh yang demikian, WAFIQ percaya bahawa isu yang berbaur Islamofobia ini  haruslah di selesaikan melalui undang-undang negara yang sedia ada tanpa perlu mengiktiraf sebuah konvensyen yang jelas bertentangan dengan artikel-artikel dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk pindaan serta pengukuhan Akta 265, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) dan Bahagian 4  Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) oleh Kementerian Sumber Manusia, dan kerajaan perlu bertegas dengan majikan untuk memastikan kebebasan beragama bagi pekerja dilindungi oleh undang-undang. Malaysia juga boleh menggubal Akta Kesamarataan yang selari dengan undang-undang negara selain mengambil kira senesetiviti kaum dan masyarakat di Malaysia dalam isu-isu diskriminasi terhadap jantina.

Oleh itu, WAFIQ percaya bahawa isu diskriminasi wanita di tempat kerja boleh diselesaikan tanpa keperluan untuk mengiktiraf ICERD. Isu larangan berhijab merupakan isu yang kompleks yang tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan percaturan politik ke arah pengiktirafan sebuah lagi konvensyen sedangkan pengiktirafan CEDAW serta undang-undang sedia ada masih gagal melindungi wanita.

Professor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden
Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *