Sambutan Hari Wanita Sedunia dan Penghayatannya Dari Pandangan Islam

Statements

Hari Wanita telah disambut sejak pada tahun 1908 bersempena satu bantahan dan protes dalam kalangan wanita di Amerika Utara yang menuntut hak untuk mengundi sewaktu pilihan raya di negara tersebut. Bantahan tersebut telah diketuai oleh sekumpulan wanita dari Parti Sosialis Amerika Syarikat dan kemudiannya ia bertukar menjadi hari rasmi bagi golongan wanita.

Namun demikian, tarikh asal sambutan tersebut diadakan adalah pada 28 Februari, tetapi bermula pada tahun 1911, Hari Wanita mula di sambut pada 19 Mac  di Jerman, Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland yang melibatkan himpunan besar-besaran dalam kalangan wanita. Sebagai tambahan kepada hak untuk mengundi dan memegang jawatan awam, perhimpunan tersebut juga menuntut hak wanita untuk bekerja, untuk menyertai latihan vokasional dan untuk menamatkan diskriminasi dalam pekerjaan.

Pada tahun 1913 dan 1914, Hari Wanita Antarabangsa juga menjadi mekanisme untuk membantah Perang Dunia Pertama. Sebagai sebahagian daripada pergerakan keamanan, wanita Rusia menyambut Hari Wanita Antarabangsa pertama mereka pada bulan Februari. Tetapi di Eropah, sambutan diadakan pada atau sekitar 8 Mac tahun berikutnya, wanita mengadakan perhimpunan sama ada untuk membantah peperangan atau untuk menyatakan solidariti dengan aktivis lain.

Kemudian pada tahun 1917, wanita di Rusia sekali lagi memilih untuk memprotes dan mengadakan mogok untuk “Roti dan Damai” (Bread and Peace) pada bulan Februari (yang jatuh pada 8 Mac pada kalendar Gregorian). Empat hari kemudian, Czar menyerahkan diri dan kerajaan sementara memberi hak kepada wanita untuk mengundi. Bermula pada tahun 1975, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mula merayakan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac yang berterusan sehingga pada hari ini.

Pada tahun 2019, tema sambutan yang dibawa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ialah “Think equal, build smart, innovate for change” (Fikir kesaksamaan, bina dengan kebijaksanaan, berinovasi untuk perubahan). Tema ini diangkat atas dasar menumpukan kepada kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan.

Tambahan daripada tema tersebut, kempen untuk Hari Wanita Antarabangsa pada tahun 2019 ini ialah #BalanceforBetter yang membawa mesej untuk menggalakkan kehidupan yang seimbang untuk masa depan yang lebih baik. Ia merupakan sebuah mesej positif agar wanita dapat menyeimbangkan peranan dan tanggungjawabnya dalam pembangunan negara, masyarakat dan keluarga.

Keseimbangan dan Wasatiyyah dalam Islam

Konsep keseimbangan ataupun wasatiyyah adalah sebuah prinsip yang telah dibawa oleh Islam seperti mana yang disebut secara komprehensif di dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Beberapa Ulama telah mentafsirkan bahawa wasatiyyah bukan sahaja berada di pertengahan, tetapi ia menuntut kehidupan yang sederhana, seimbang, dan adil dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia penting bagi semua individu sama ada lelaki mahupun wanita untuk menjauhkan diri daripada perbuatan ekstrem dan melampau yang boleh menjatuhkan imej agama itu sendiri. Top of Form

Sebagai wanita, konsep wasatiyyah ini perlu diamalkan secara praktikal dalam kehidupan harian. Wanita digalakkan untuk mengamalkan keseimbangan dalam menunaikan hak dan tanggungjawab, iaitu tidak berlebih-lebihan dengan sesuatu tugasan dengan mengabaikan tanggungjawab yang lain. Sebagai contoh, Islam tidak melarang wanita untuk bekerja di luar rumah, tetapi dalam masa yang sama, wanita juga perlu memastikan bahawa tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri dilaksanakan dengan baik dan amanah.

Zaynab al-Ghazali pernah berkata bahawa: “Islam tidak melarang wanita daripada aktif dalam kehidupan awam. Ia tidak menghalang mereka daripada bekerja, masuk ke dalam politik dan menyuarakan pendapat mereka, atau apa-apa sahaja, selagi itu tidak mengganggu misi yang pertama iaitu tanggungjawab seorang ibu dan isteri.” Walaupun tanggungjawab domestik adalah penting bagi wanita, wanita juga perlu berpendidikan dan berpengetahuan bukan hanya dalam prinsip-prinsip Islam tetapi juga menyeluruh kepada aspek-aspek yang lain, supaya mereka juga diberi ruang dan peluang untuk menyumbang dalam membangunkan agama, negara, dan bangsa.

Islam mengiktiraf Hak Wanita

Walaupun terdapat beberapa usaha yang mengkaitkan sambutan Hari Wanita dengan agenda Barat, perlu difahami bahawa Islam adalah sebuah agama yang mengiktiraf hak dan peranan wanita. Beberapa contoh kisah wanita telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, malah sebuah surah telah dikhaskan buat wanita bagi membuktikan keistimewaan seorang wanita.

Hak wanita yang telah dinyatakan di dalam al-Quran termasuklah hak untuk mendapat pendidikan, hak memilih pekerjaan, hak menyertai politik, hak memperolehi harta pusaka, hak dalam undang-undang, dan hak-hak sivil yang sesuai dengan sifat wanita. Hadis-hadis Nabi juga mengakui hak-hak yang dimiliki oleh kaum wanita, malah Nabi Muhammad SAW secara peribadinya menghormati wanita dan mengiktiraf sumbangan besar yang telah diberikan oleh wanita khasnya pada zaman baginda.

Walaupun demikian, tuduhan bahawa Islam sebagai agama yang menindas wanita masih ada disebabkan oleh sistem patriarki yang telah diserap menjadi sebuah budaya dan amalan yang sukar untuk dihapuskan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Oleh itu, pada Hari Wanita yang disambut seluruh dunia ini, ayuh membuang persepsi bahawa Islam menyekat hak kebebasan wanita, dan membangkitkan semula prinsip-prinsip agama yang memandang tinggi terhadap kedudukan wanita. Ia adalah tanggungjawab bersama untuk menghormati wanita dan peranannya dari aspek teori dan juga praktikal dalam masyarakat yang penuh cabaran pada masa kini.

Wanita adalah golongan istimewa yang diberikan hak, tanggungjawab dan perlindungan yang istimewa di dalam Islam. Hak wanita perlu diperjuangkan secara sama-rata dengan berlandaskan syariah Islam, bukannya berdasarkan kebebasan hawa nafsu dan logik akal semata-mata. Malah, mesej keseimbangan yang dibawa perlu diterjemahkan dengan bahasa wahyu, bukan bahasa nafsu. Kini, perbahasan utama terletak kepada perlaksanaan dan tindakan yang perlu diambil bagi menjamin kesejahteraan dan kebahagian yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *