Tiada isu ‘Islam lawan bukan Islam’

Viewpoints

POLEMIK larangan jualan arak di kedai runcit dan serbaneka baru-baru ini telah menjemput pelbagai reaksi daripada netizen. Ramai di antara mereka yang menyambut baik namun tidak kurang juga yang mengecam.

Tambahan, ada dalam kalangan pemimpin parti politik yang melenting apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pertama kali bercadang untuk memperkenalkan garis panduan baharu pelesenan minuman keras awal bulan lalu.

Antara garis panduan yang diperdebatkan adalah kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual minuman keras bermula 1 Oktober 2021. Manakala kedai ubat tradisional Cina hanya dibolehkan menjual minuman keras bagi tujuan perubatan tradisional sahaja.

Tidak mudah untuk rakyat berbilang bangsa di negara ini mengekalkan perpaduan sedia ada apabila isu arak kerap dimainkan secara berat sebelah oleh media massa. Rata-rata orang awam sudahpun memahami rasional di sebalik larangan jualan minuman keras berikutan peningkatan masalah sosial seperti keganasan rumah tangga, isu kesihatan seperti kemurungan dan statistik kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk.

Namun, malang seribu kali malang apabila individu seperti Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mahu mengumpul bantahan daripada pihak-pihak berkepentingan dan berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi menuntut DBKL menarik balik keputusan yang sudah cukup berasas itu. Jelas, hak badan berkanun untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan awam cuba dicabar walaupun keputusan DBKL tersebut sudah dimuktamadkan.

 Terbaharu, tindakan berani ahli dewan undangan negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli menuntut pihak pengurusan Jaya Grocer di Puncak Alam untuk menutup seksyen tidak halal turut dipertikai dengan hebat. Persepsi negatif sesetengah individu dan pelopor media di platform maya boleh diibaratkan seperti api dalam sekam apabila beberapa artikel dan komen berbaur perkauman telah disiarkan bagi mendatangkan sentimen ‘Islam lawan bukan Islam’ seolah-olah isu ini merupakan perbalahan berasaskan agama.

Realitinya, tohmahan netizen setiap kali timbulnya isu hak minum arak dalam kalangan bukan Muslim adalah berpunca daripada mainan kotor ahli politik ultra kiasu yang menjadikan kedudukan agama Islam sebagai ‘alasan utama’ perjuangan menentang minuman keras dan untuk meraih pengundi tetap daripada kaum majoriti.

Usah kita lupa akan tuduhan melulu Pengerusi DAP Sarawak terhadap pengikut Parti Islam se-Malaysia (PAS) yang dilabel sebagai ‘puak ekstremis’ hanya kerana tidak mahu melihat botol-botol arak disusun rapi di dalam gudang membeli belah secara terbuka dan pemandu mabuk berlegar-legar di lebuh raya ‘mencari mangsa’. DAP turut menyelar golongan ini dan menggelar mereka sebagai fanatik agama yang langsung tidak hormat akan agama dan budaya kaum lain sedangkan paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Jujurnya, sikap jelik segelintir pemain industri politik negara membuatkan masalah sedia ada semakin bertimbun dan menemui jalan buntu, jauh daripada penyelesaian. Masakan tidak, setiap kali dibangkitkan perihal pengehadan kemasukan bahan minuman keras dan kawalan pemberian lesen menjual arak, golongan cauvinis ini mula meratib soal polarisasi bangsa dan nilai tidak inklusif dalam masyarakat majmuk. Situasi saling berbalah ini menyebabkan tiada solusi muktamad kepada permasalahan awam yang lebih membimbangkan iaitu kemerosotan tahap kesihatan mental dan fizikal seseorang.

Rakyat yang tidak bersalah pula tersepit dalam pergaduhan memenangkan nafsu apabila ahli politik melempar jauh akal yang dikurniakan Tuhan pada setiap insan.

Sekiranya kerajaan dan pihak berkuasa tempatan berterusan berlepas tangan dan tidak serius dalam menamatkan polemik politik kebencian agama ini, maka selagi itu kemaslahatan sejagat dan perpaduan kaum akan terus tergugat. Sejujurnya rakyat Malaysia yang sudah lebih cakna dan peka tentang hikmah dalam setiap polisi, sudah mual dengan hujahan yang hanya berteraskan emosi terencat sebegini. Hentikanlah.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 18 Disember 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *