Bajet 2018: Indeks Kesejahteraan Keluarga wajar menjadi tumpuan utama

Islamic Family Law Viewpoints

SEPERTI yang diumumkan dalam Bajet 2018 minggu lalu, Tahun ini adalah Tahun Memperkasakan Wanita.

Mengikut takrifan International Labour Organisation (ILO), pemerkasaan wanita diukur kepada Kesaksamaan Gender dan dari segi peluang mendapatkan pekerjaan.

Sejajar dengan itu, kita melihat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meletakkan keberhasilan (Outcome) pertama yang diukur ialah Kesaksamaan Gender diikuti dengan keberhasilan kedua iaitu Institusi Keluarga Sejahtera.

Bagi Kesaksamaan Gender, peratusan penyertaan wanita dalam pasaran buruh (female labour force participation rate) telah diletakkan sebagai kayu ukur pertama. Saban tahun, kita menyaksikan peratusan yang lebih tinggi disasarkan bagi wanita menyertai pasaran buruh. Sasaran pada tahun 2017 adalah sebanyak 56 peratus manakala sasaran pada tahun 2018 naik kepada 3 peratus iaitu  59 peratus. Pada tahun 2016, pencapaian sebenar ialah 54.3 peratus.

Kesaksamaan Gender

Pertamanya, saya merasakan kayu ukur utama yang perlu bagi sesebuah negara ialah keseimbangan struktur sosial keluarga dan masyarakat. Ini kerana, ia akan memberi kesan jangka panjang terhadap pembinaan generasi masa hadapan, dan seterusnya melahirkan generasi muda dan bakal pekerja yang lebih produktif untuk ekonomi negara. Oleh kerana itu, Institusi Keluarga Sejahtera wajar diberi keutamaan teratas dalam keberhasilan dasar kementerian.Apatah lagi, Bajet 2018 turut menekankan berbagai insentif kepada pertambahan penduduk dengan menawarkan insentif pulang awal kepada wanita yang mengandung 5 bulan ke atas dan cuti bersalin yang ditambah kepada 360 hari berbanding 300 hari sepanjang perkhidmatan bagi penjawat awam serta cadangan cuti bersalin mandatori bagi pekerja swasta sehingga 90 hari.

Berbalik kepada keberhasilan Kesaksamaan Gender, kualiti pekerjaan wanita harus diberi penekanan lebih berbanding kuantiti wanita yang keluar bekerja. Ini kerana setiap kali wanita keluar bekerja, beberapa kos akan meningkat seperti kos penjagaan anak-anak dan kos pengangkutan. Indikasi peratusan penyertaan wanita dalam pasaran buruh yang tinggi tidak semestinya mencerminkan tahap kemakmuran sesebuah negara. Sebagai contoh, data dari The World Bank pada tahun 2016 menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh Kampuchea (Cambodia) adalah sebanyak 76 peratus, dan Laos 78 peratus tetapi keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka hanyalah USD 20,016 dan USD 15,903 berbanding dengan Malaysia USD 296,359. Jepun, yang mempunyai kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh mereka sebanyak 49-50 peratus mempunyai KDNK jauh lebih tinggi iaitu USD 4,939,383. Oleh kerana itu, kualiti pekerjaan wanita itu lebih wajar diberi perhatian berbanding dengan hanya peningkatan. Kita juga perlu melihat pecahan kepada kategori pekerjaan wanita ini, samaada majoriti berada didalam kategori berpendapatan rendah (low income earners), pekerja kontrak atau pekerja sambilan yang kurang memberikan stabiliti kepada mereka.

Indeks Kesejahteraan Keluarga

Kualiti pekerjaan wanita adalah turut berkait rapat dengan Indeks Kesejahteraan Keluarga. Dalam laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016, kedua-dua indikator Pengurusan Kewangan dan Kesejahteraan Kewangan menunjukkan pada paras sederhana iaitu pada skor 7.09 dan 7.0. Indikator ini mengambil kira beban hutang, tunggakan bil dan mempunyai simpanan untuk kecemasan. Kita perlu melihat di penghujung hari, setelah pulang dari kerja, adakah wanita mempunyai kepuasan kerjaya dan kesihatan mental yang baik dan adakah gaji bersih yang diperolehi, berbaloi dengan berbagai faktor lain seperti masa untuk keluarga dan kesejahteraan emosi anak-anak? Seorang wanita muda pernah mengadu kepada saya betapa beliau menghadapi tekanan kerana terpaksa keluar awal dari rumah sebelum anak-anak bangun, mengharungi kesesakan lalu lintas dan pulang ke rumah setelah hari gelap.

Kerisauan utama adalah tumbesaran anak-anaknya. Kami kemudiannya melakukan congakan pendapatan beliau dan menolak kos yang wujud apabila beliau keluar bekerja iaitu kos penjagaan anak dan kos pengangkutan. Pendapatan bersih beliau tidak seberapa dan tugasan beliau tidak menjanjikan prospek peningkatan kerjaya. Beliau berhenti dari bekerja dan kemudiannya berkongsi dengan saya bahawa pendapatan isi rumah tidak jauh berbeza berbanding dengan semasa kedua-dua suami dan isteri bekerja, dan beliau lebih gembira. Yang lebih utama sebenarnya, adalah wanita mempunyai kerjaya yang membolehkan beliau tetap gembira mengawasi tumbesaran anak-anak.

Berkait rapat, Bajet 2018 perlu mengambilkira faktor yang lebih penting iaitu Indeks Kesejahteraan Keluarga yang pada hemat saya perlu ditambahbaik bagi mencerminkan keadaan sebenar prestasi kesejahteraan masyarakat. Hasil kajian Noraini M Noor, dalam tulisan beliau Pembentukan indikator kesejahteraan keluarga di Malaysia. In: Profesionalisme dalam Kaunseling dan Cabaran Masa Kini di Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka merumuskan sepuluh indikator utama yang boleh meramalkan kesejahteraan keluarga iaitu resiliens (daya tahan keluarga), keselamatan, simpanan, gaya hidup yang sihat, masa bersama keluarga, keseimbangan kerja dan keluarga, kepentingan agama, bilangan bilik tidur di rumah, hutang dan penjagaan anak-anak. Bilangan bilik tidur dirumah misalnya, tidak dimasukkan dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 sedangkan ia mampu memberi gambaran tentang rumah milik mampu (affordable housing) dan berkait rapat dengan anak-anak yang tiada ruang untuk mereka dirumah menyebabkan mereka lebih gemar berada diluar, dan terjerumus didalam banyak gejala negatif.

Walaubagaimanapun, Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 wajar dipuji kerana memasukkan indikator peranan agama, yang mencatatkan skor tertinggi iaitu 8.04 dan responden dimana 54.7 peratus daripadanya adalah Melayu, 16.5 peratus bumiputera lain, 21.8 peratus Cina dan 7 peratus India, menyatakan peranan agama adalah penting dalam kesejahteraan hidup mereka. Oleh kerana itu, kerajaan telah bertindak wajar dalam meningkatkan peruntukan kepada peruntukan hal ehwal Islam dalam memelihara kesejahteraan keluarga.

 

Dasar Negara Kita Mengikut Acuan Perlembagaan Kita

Dalam menentukan dasar negara dan dasar wanita, saya berpandangan kita tidak perlu mencedok bulat-bulat parameter yang ditentukan oleh prinsip kesamarataan gender melalui ekonomi yang ditakrifkan melalui kosong jurang gender atau “zero gender gap” yang sangat menekankan kepada faktor wanita menyumbang kepada ekonomi, sehingga sukar mereka mengimbangi tuntutan terhadap keluarga, seperti parameter-parameter penyenaraian kedudukan ‘gender gap’ indeks melalui World Economic Forum, Bank Dunia, The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan MDG. Rata-rata, indeks ini telah meletakkan wanita pada satu kedudukan yang mana mereka kini bertanggungjawab penuh ke atas pertumbuhan ekonomi sesebuah negara melalui ‘gender parity’ dan merapatkan ‘gender gap’.

Pada asasnya kemenjadian sesebuah masyarakat Islam adalah berpandu kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Pemimpin negara adalah pemimpin dan ia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan ia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin bagi anggota keluarga suaminya serta anak-anaknya dan ia akan ditanya tentang mereka. Seorang budak adalah pemimpin atas harta tuannya dan ia akan ditanya tentang harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan ditanya tentang yang dipimpinnya.”

(HR. Bukhari 893 dan Muslim 1829).

Hadis Rasulullah SAW mengaitkan rapat sifat kepimpinan wanita dengan rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Wanita, di mana-mana sektor juga, dikembarkan dengan peranan utamanya iaitu mendidik anak-anak dan masyarakat. Tanggungjawab mendidik anak-anak tidak dinafikan adalah tanggungjawab kedua-dua ibu dan bapa. Namun secara fitrahnya, wanita mendapat lebih penghormatan dengan menjadi tunjang dalam pembentukan anak-anak, di samping sesuai dengan sifat semulajadinya yang sabar melayan kerenah anak-anak.

WANITA KEMBALI BEKERJA SELEPAS FASA KRITIKAL PENGURUSAN KELUARGA

Dalam satu analisa, wanita di Malaysia masih  mempunyai trend kemuncak tunggal “single peak”, yang menggambarkan wanita Malaysia cenderung untuk terus berhenti kerja akibat bebanan tambahan (double-burden syndrome) dengan tanggungjawab lain seperti menjaga rumahtangga, anak-anak dan orang tua. Ini berbeza dengan wanita di negara Asia lain seperti Korea dan Jepun, di mana wanita ini kembali bekerja selepas beberapa ketika.

Sehubungan dengan itu, saya amat menyokong usaha kerajaan mengambil inisiatif menggalakkan wanita kembali bekerja, dengan memberi pengecualian cukai pendapatan peribadi kepada mereka yang telah berhenti/berehat sekurang-kurangnya 2 tahun. Saya melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan boleh diperkembangkan agar menjadi budaya yang baik untuk kita. Banyak negara maju yang mula melakukan perkara sedemikian apabila mereka menyedari kepentingan emosi anak-anak. Saya melihat satu trend yang positif bagi wanita professional dari negara maju yang kembali bekerja setelah mereka menumpukan perhatian terhadap urusan rumahtangga dalam fasa tumbesaran anak-anak. Dalam satu forum kerjaya Wanita didalam bidang Sains Fisiologi di Birmingham, United Kingdom dimana saya mewakili USIM dalam tahun 2013, saya mendengar beberapa pengalaman saintis wanita yang kembali bekerja setelah anak-anak mereka memasuki alam persekolahan.

Kita mungkin belum bersedia ke tahap itu, namun masyarakat dan sektor perjawatan kita, terutamanya perjawatan am perlu mempunyai anjakan paradigma dalam hal ini dan berfikir bagaimana kita dapat memberikan wanita masa, dalam fasa kritikal pembentukan anak-anak dan dalam masa yang sama mengekalkan kepakaran mereka, dan merangka skim pekerjaan dan skim pencen yang bersesuaian dengan tuntutan ini. Bekerja dari rumah, dan masa yang anjal bagi sektor pekerjaan tertentu, adalah sesuatu yang boleh kita perluaskan bagi melahirkan masyarakat yang seimbang produktiviti dan syakhsiyyah mereka.

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden
International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)

 

sumber asal: https://www.ismaweb.net/2017/11/02/bajet-2018-indeks-kesejahteraan-keluarga-wajar-menjadi-tumpuan-utama/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *