Elok kata dalam muafakat

Viewpoints

MASYARAKAT cukup menjunjung tinggi peranan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang tidak jemu mengerah para aktivis mereka untuk turun ke lapangan dan membantu menyelesaikan masalah yang mungkin terhasil akibat kelompongan sebahagian dasar atau polisi pentadbiran kerajaan. Sebagai contoh, pengamal hak asasi manusia boleh membantu menyampaikan suara rakyat dan bertindak sebagai kumpulan pendesak kerana mereka dilihat mempunyai kuasa dan kudrat menjalankan kerja-kerja advokasi seperti yang dibenarkan undang-undang negara.

Penulis ingin menekankan bahawa walaupun Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang setempat memberi kebebasan kepada mana-mana organisasi awam untuk menjalankan aktiviti seharian mereka, namun sudah tentu ada sekatan-sekatan tertentu yang perlu diberi perhatian. Peraturan-peraturan dalam Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] harus dijadikan penunjuk arah atau kompas sewaktu menyusun dasar perjuangan sesebuah NGO sebagai entiti tidak berkepentingan.

Jika diteliti, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah diwujudkan bagi menguatkuasakan Akta 335 berikutan pemisahan fungsi kawal selia pertubuhan daripada pejabat Pendaftaran Kesatuan Sekerja. Di bawah Seksyen 2 Akta ini, sesuatu ‘pertubuhan’ didefinisikan sebagai termasuk mana-mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan dengan tujuh (7) atau lebih orang tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal.

Pertubuhan dan syarikat perlu menghantar dokumen, misalnya, akaun untung rugi dan laporan pengarah yang diaudit kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta minit mesyuarat atau aktiviti tahunan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi pemantauan berkala agar mereka dilihat benar-benar mematuhi peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan. Tambahan, Pendaftar JPPM boleh menolak pendaftaran sesebuah pertubuhan tempatan sekiranya ia dianggap sebagai memudaratkan atau menjalankan kegiatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau akhlak di dalam Persekutuan menurut Seksyen 7(3)(a) Akta 335.  

Adapun begitu, masyarakat umum masih seringkali berhadapan situasi janggal seperti penyalahgunaan kuasa dalam persatuan untuk mendapatkan dana, pangkat atau pingat dengan merasuah atau menipu kerajaan negeri. Selain itu, pengguna sosial media juga pernah didedahkan dengan kisah segelintir aktivis NGO yang cuba mengambil alih peranan pihak berkuasa dengan menggunakan kekerasan terhadap orang awam atas alasan ‘menegakkan keadilan’. Lebih menggerunkan, ada pula penggerak sosial yang cuba membawa idea atau fahaman sesat seperti mana yang dilakukan oleh beberapa pertubuhan. Organisasi sebegini dilihat sebagai mempromosikan gaya pemikiran serta gerak kerja yang bercanggahan dengan nilai agama dan budaya ketimuran yang diamalkan oleh sebahagian besar penduduk Malaysia.

Mana-mana ahli pertubuhan disarankan agar menjaga nama baik organisasi yang diwakili dengan menghormati prinsip Perlembagaan dan berunding sehabis baik sesama mereka agar sebarang kerja advokasi untuk menyantuni masyarakat terpelihara daripada sebarang fitnah, bak peribahasa, elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat. Jika tidak, akan wujudlah defisit kebertanggungjawaban organisasi yang bakal merentap kepercayan rakyat terhadap fungsi NGO dalam komuniti setempat.

Dewan Bahasa dan Pustaka menghuraikan defisit kebertanggungjawaban organisasi sebagai satu kekurangan dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mana-mana individu atau organisasi. Defisit ini boleh berlaku akibat kelemahan individu dalam organisasi seperti kurangnya pendidikan dan penghayatan nilai-nilai murni, tidak bersikap profesional dan kurang dedikasi termasuk memiliki etika kerja yang lemah, tamak serta ego.

Bahkan, defisit kebertanggungjawaban akan menjejaskan pengurusan dan pencapaian misi serta objektif sesebuah pertubuhan, malah menggugat keyakinan orang awam terhadap keupayaan NGO itu untuk menjadi terus menjadi penghubung mata dan telinga atau tempat menggantung harapan yang selalu memberi pertolongan kepada golongan rentan yang memerlukan.

Mutakhir ini ramai aktivis sosial yang terpalit dengan skandal pengurusan kewangan yang lemah. Bahkan ada pula yang tercalar reputasi dek mainan ego peribadi. Amatlah malang sekali kerana landasan besar yang diberikan oleh masyarakat dalam mengangkat perjuangan seseorang aktivis sosial adalah berdasarkan amanah yang diletakkan di atas bahu mereka untuk manfaat golongan rentan yang mereka santuni. Jika masyarakat sudah mula rasa ragu-ragu atau hilang kepercayaan kepada aktivis atau NGO yang menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan, beban menyantuni golongan rentan akan ditanggung sepenuhnya oleh kakitangan kerajaan. Dengan sumber yang sentiasa terhad, sudah tentu banyak perkara akan terlepas pandang.

Justeru, sebagai seorang aktivis belia yang turut menjadi jawatankuasa utama dalam sebuah NGO, Penulis berkali-kali berpesan kepada diri sendiri untuk sentiasa ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Sesungguhnya, tanggungjawab memelihara misi dan visi organisasi perlu berjalan seiring pematuhan kepada peruntukan peraturan dan polisi yang telah digariskan dalam pelbagai Akta dan dasar kerajaan dalam negara.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah pertama disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 8 Oktober 2021)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *