Baru-baru ini kita menyaksikan perdebatan di parlimen mengenai hak wanita Islam untuk bertudung di tempat kerja. Yang Berhormat Siti Zailah, Ahli Parlimen Rantau Panjang telah bangkit dan mengetengahkan dengan beraninya sebuah isu yang telah lamakita perkatakan iaitu hak wanita khususnya yang bekerja di dalam sektor penerbangan sebagai pramugari agar mempunyai pilihan untuk memakai tudung semasa mereka bekerja.
Pada awalnya, isu ini telah disuarakan oleh Yang Berhormat Siti Mariah dan Yang Berhormat Khalid Samad semasa sesi parlimen yang lepas, dengan harapan agar isu ini dapat ditemukan penyelesaiannya melalui pembentukan kerajaan baru.
Namun begitu, lidah jahat sesetengah media serta respon beberapa orang ahli parlimen amat mengecewakan apabila isu ini diputarbelitkan dan menatijahkan sebuah polisi menurut mereka “memaksa” semua wanita untuk mengenakan hijab.
Mereka terdiri daripada pejuang-pejuang yang aktif serta konsisten dalam memperjuangkan serta mengadvokasikan hak-hak asasi manusia untuk memerkasakan hak masyarakat yang dipinggirkan serta menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita berpandukan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW). Hakikatnya, apabila idea untuk mempertimbangkan pemakaian tudung bagi wanita di tempat kerja diketengahkan di parlimen, mereka kaku, kelu dan senyap. WAFIQ berpandangan perbuatan mereka ini jelas memperlihatkan hipokrasi dan sebuah bentuk percanggahan kognitif (cognitive dissonance) di antara mereka.
Para pejuang hak asasi manusia sering memetik artikel-artikel dari Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) sehingga terlupa bahawa prinsip syarak adalah lebih utama bagi seorang Muslim. Oleh yang demikian, kami ingin memetik Artikel 18 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia untuk rujukan semua:
“……dan kebebasan, samada secara bersendirian atau secara bersama-sama dengan orang-orang lain dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti ugama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.”
Hak asasi manusia membenarkan agama diamalkan dan dimanifestasikan dalam suasasna awam mahupun peribadi. Hal ini termasuklah pemakaian hijab yang dipakai oleh wanita Islam sebagai satu bentuk pemanifestasian seorang Muslim adalah salah satu hak seorang wanita seperti yang dimandatkan dalam Deklarsi Hak Asasi Manusia.
Bukankah kita sedang memperjuangkan untuk menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi dan untuk memerkasakan wanita agar mereka juga mempunyai hak untuk memilih? Hari ini kita diperlihatkan lebih ramai golongan feminis yang giat mengadvokasi agar wanita mempunyai hak untuk memakai apa jua jenis pakaian mengikut kehendak mereka. Namun mengapakah pemakaian hijab tidak termasuk dalam perjuangan ini? Jelaslah, ia memperlihatkan percanggahan dalam prinsip golongan feminis dalam kerja-kerja pengadvokasian dan pemerkasaan wanita.
Menyelusuri komen-komen netizen terhadap isu ini, seorang netizen yang digelar Ria Rz di halaman facebook telah menyatakan bahawa anak-anak kapal telah memperjuangkan hak mereka secara berterusan bertahun lamanya untuk mempunyai pilihan mengenakan tudung semasa bekerja, namun tiada hasil yang memberangsangkan. Pihak kami tertanya-tanya, mengapakah perjuangan ini tidak didengari oleh pihak pengurusan syarikat? Adakah pemakaian hijab akan mengurangkan produktiviti anak-anak kapal wanita semasa bekerja walaupun mempunyai pengalaman yang luas dan bertahun lamanya dalam bidang pramugari? Selain itu, pada awal tahun yang lalu, kita telah menyaksikan sebuah laporan yang menggemparkan negara dan mendedahkan bahawa wanita yang berhijab sering didskriminasi dan ditolak untuk bekerja dalam sektor pelancongan dan hospitaliti terutamanya sebagai barisan hadapan (frontliners) walaupun mempunyai kompetensi dan kelayakan hanya kerana mereka memilih untuk bertudung. Wanita diarahkan untuk mematuhi polisi syarikat supaya menanggalkan tudung walaupun mereka mempunyai hak untuk memakainya semasa bekerja.
WAFIQ sentiasa memperjuangkan hak wanita bertudung semasa bekerja. Hal ini adalah kerana WAFIQ percaya bahawa wanita akan diperkasakan sepenuhnya apabila mereka mempunyai pilihan untuk memakai tudung semasa bekerja tanpa mengira latar pekerjaan mereka. WAFIQ tidak percaya terhadap objektifikasi wanita melalui pemakaian yang mencolok mata. Oleh yang demikian, WAFIQ menyeru agar syarikat-syarikat penerbangan Malaysia supaya mencontohi syarikat penerbangan nasional Hong Kong, Cathay Pacific, yang telah memutuskan untuk mengakhiri peraturan pemakaian skirt bagi staf wanita beruniform dan membenarkan mereka mengenakan seluar. Semenjak tahun 2014, anak-anak kapal wanita Cathay Pacific telah menyuarakan permohonan pengubahsuaian uniform mereka. Hal ini adalah kerana anak-anak kapal wanita merasakan bahawa diri mereka terdedah kepada gangguan seksual dek kerana pemakaian skirt yang pendek.
Kami menggesa pihak kerajaan serta jabatan-jabatan berkaitan agar meneiliti isu ini. Sesungguhnya, kita hidup dalam sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai Agama Persekutuan. Oleh yang demikian, mana-mana polisi syarikat hendaklah menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membenarkan wanita kebebasan dan hak untuk memakai tudung semasa bekerja. Sekiranya polisi pemakaian syarikat mengongkong cara wanita berpakaian di tempat kerja dan menghalang kebebasan mereka memilih untuk memakai tudung—bagaimanakah dapat kita memerkasakan hak wanita Islam di Malaysia?
Menafikan pemakaian tudung dalam mana-mana sektor pekerjaan adalah di ibaratkan sebagai menafikan hak wanita untuk beekrja dan menyumbang kepada negara disamping menghormati kepercayaannya. Oleh yang demikian, barisan ahli parlimen wanita—kerajaan mahupun pembangkang—diseru agar berganding bahu dan menggembleng tenaga bagi menyelesaikan isu ini buat selama-lamanya.
Amalina Annuar
Ahli Exco
Ikatan Wanita Antarabanga Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)