Pendekatan Rasulullah SAW Kepada Golongan Transgender

Hadith & Islamic Research LGBT
Sejak ribuan tahun lalu, golongan pondan atau mak nyah sudah wujud dalam masyarakat. Sejak zaman Rasulullah SAW, kelompok ini sudah diketahui. Hal itu menyaksikan istilah pondan itu sendiri berkembang dan dikenali sebagai mak nyah dan hari ini dikenali juga sebagai transgender.

Secara umumnya istilah itu merujuk kepada golongan yang bertingkah laku seperti jantina yang berlawanan dengannya sama ada melalui pakaian, perwatakan dan perbuatan. Selain itu ia turut merujuk kepada kelompok yang menjalani kehidupan di luar norma jantina yang dominan tanpa campur tangan pembedahan.

Transgender boleh dipecahkan kepada tiga kategori dengan setiap satu daripadanya harus didekati dengan pendekatan yang berbeza. Dalam hal ini, konsep dakwah yang digunakan oleh Rasulullah SAW adalah model terbaik yang perlu dijadikan panduan dalam menyantuni golongan ini.

Di dalam Islam, transgender diasingkan mengikut beberapa istilah seperti yang disebut dalam beberapa hadis Rasulullah SAW. Istilah pertama yang digunakan ialah ‘al-Mutashabbih’. Dari Ibnu Abbas, dia berkata; Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (H. R. Bukhari)

Perkataan al-Mutashabbih berasal daripada perkataan tashabbuh yang bermaksud menyerupai sesuatu. Justeru istilah al-Mutashabbih digunakan bagi kedua-dua jantina lelaki dan perempuan yang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya.
Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini ditujukan kepada lelaki yang sengaja menyerupai perempuan dan dia memilih dengan sifatnya itu (al-Mutashabbihin), dan juga perempuan yang sengaja menyerupai lelaki (al-Mutashabbihat).

Lahir sebagai pondan tidak harus malu

Istilah kedua yang digunakan adalah al-Mukhannath seperti yang digunakan dalam hadis berikut, dari Ibnu Abbas; Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan daripada kalangan lelaki dan melaknat orang yang menyerupai lelaki daripada kalangan perempuan, lalu Nabi SAW mengatakan; keluarkanlah (usir) mereka dari rumah kamu, maka Rasulullah SAW mengeluarkan Fulan, dan Umar mengeluarkan Fulan. (HR Bukhari)

Imam al-Nawawi menyatakan, “mukhannath adalah seorang ‘lelaki’ yang dalam pergerakan, penampilan dan bahasanya membawa perwatakan seorang wanita. Bagaimanapun mereka ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu pertama, seseorang yang mempunyai ciri kewanitaan itu secara semula jadi. Maksudnya dia tidak mengada-adakan sifat itu dengan sendirinya.

Bagi kelompok ini, tidak ada kesalahan padanya, tidak ada dosa dan tidak perlu malu dengan apa yang dijadikan ke atasnya selagi dia tidak melakukan perbuatan (haram) atau mengeksploitasinya untuk wang (seperti terbabit dengan pelacuran dan lain-lain).

Kelompok kedua adalah berperwatakan seperti wanita dengan tujuan tidak bermoral, dan dia dikira melakukan dosa dan patut dipersalahkan.

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, mukhannath yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah golongan lelaki yang meniru perwatakan, pakaian, perbuatan dan gaya percakapan wanita dengan sengaja selain mempunyai kecenderungan erotik dan seksual. Mereka ini sebenarnya adalah lelaki yang menyimpang daripada fitrah. Golongan inilah yang dikutuk oleh Rasulullah SAW dan termasuk dalam golongan yang dilaknat.

Istilah ketiga disebut sebagai al-Mutarajjilat. Ia disebut dalam hadis yang sama dengan istilah al-Mukhannath. Al-Mutarajjilat merujuk kepada kaum wanita yang cuba menyerupai lelaki dari segi pakaian, percakapan, dan perbuatan, berlawanan dengan sikap al-Mukhannath (lelaki menyerupai wanita).

Ketiga-tiga kelompok ini, al-Mutashabbih, al-Mukhannath dan al-Mutarajjilat adalah golongan transgender yang membawa perwatakan jantina yang berlawanan dengan jantina dan identiti asal mereka. Mereka bukanlah golongan yang baru wujud kesan daripada persekitaran moden, demokrasi dan kebebasan hak asasi sebaliknya sudah lahir sejak zaman Nabi Lut AS.

Dari Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda, “Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Lut, Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Lut, Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Lut.” (HR Ahmad)
Namun demikian, di antara ketiga-tiga istilah tersebut, al-Mukhannath lebih banyak ditemui dalam hadis yang berbeza, pada situasi yang berbeza.

Menyantuni dengan pendekatan berbeza.

Rasulullah SAW menggunakan dua pendekatan berbeza dalam berhadapan dengan golongan transgender ini. Daripada Aisyah, beliau menceritakan bahawa; “seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Rasulullah SAW dan mereka menganggapnya sebagai Ghairu Ulil Irbah (orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah SAW masuk menemui isteri-isteri Baginda dan mukhannath itu ada bersama mereka.

Mukhannath itu sedang menceritakan tentang sifat wanita (Taif) dengan berkata; ‘Wanita (Taif, anak-anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan), dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan)’.

Mendengar perbualan itu maka Rasulullah SAW bersabda; ‘ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita, maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.’ Mereka pun (isteri-isteri Nabi) akhirnya memakai hijab.” (HR Muslim dan Ahmad)

Menurut riwayat Abu Daud, mukhannath ini datang kepada isteri Rasulullah SAW untuk meminta makanan dan permintaan mereka itu tidak ditolak. Malah mereka dilayan secara baik kerana ada hak untuk ditunaikan dalam membantu sesama manusia.

Ini diriwayatkan oleh al-Auza’i yang menyebutkan: “Wahai Rasululah SAW, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah SAW membenarkan mukhannath ini datang setiap jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang.” (H.R. Riwayat Abu Daud)

Kisah ini menunjukkan pendekatan pertama yang digunakan Rasulullah SAW terhadap golongan ini adalah dengan penuh hikmah dan rasional. Makanan adalah hak asas dalam kehidupan. Lalu, golongan mukhannath berhak mendapatkan hak itu justeru Rasulullah SAW memberi kebenaran untuk mereka datang pada hari yang ditetapkan.

Bagaimanapun di dalam hadis yang sama juga, Rasulullah SAW mengusir mukhannath. Cara ini boleh difahami sebagai bentuk kekerasan namun ada sebab dan alasan yang munasabah atas tindakan yang diambil. Menurut al-Imam al-Syawkani, Rasulullah SAW mengambil tindakan yang keras untuk mengusir mukhannath daripada rumah isteri baginda kerana tiga sebab utama.

Pertama, sangkaan bahawa mukhannath tidak mempunyai nafsu terhadap wanita adalah salah. Ini boleh dilihat melalui perbualan mereka yang menceritakan mengenai anak Ghaylan (wanita Taif) seperti dinyatakan dalam hadis di atas.

Kedua, penceritaan mukhannath yang mengandungi sifat dan deskripsi mengenai wanita mendedahkan perkara yang tidak wajar kepada golongan berlawanan jantina. Walaupun mukhannath berperwatakan wanita, tetapi mereka adalah lelaki yang masih perlu menjaga batasan pergaulan. Oleh itu, Rasulullah SAW mengusir mereka daripada rumah isteri-isteri baginda.

Mukhannath ada nafsu

Ketiga, mukhannath mempunyai ruang yang terbuka untuk melihat tubuh dan aurat wanita sekiranya mereka diberi peluang atau kebenaran untuk duduk bersama-sama wanita. Bagi mengelakkan perkara yang meragui, tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah dengan mengusir mereka.

Ini menunjukkan bahawa mukhannath juga mempunyai nafsu dan syahwat yang sama seperti lelaki biarpun mereka menyerupai wanita dalam pelbagai cara. Arahan dan tindakan untuk mengusir mukhannath bukan atas dasar kebencian, tetapi untuk memelihara kehormatan wanita terutama isteri-isteri baginda yang berhadapan dengan golongan mukhannath.

Hadis itu tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk mukhannath bergaul bebas dengan kaum wanita, kerana masih ada batas yang perlu dijaga di antara mukhannath dan wanita. Walaupun tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk mengusir mereka dianggap keras, baginda dalam masa yang sama melarang untuk berlaku kejam terhadap mereka ataupun membunuh ke atas golongan ini.

Dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda didatangkan seorang mukhannath yang mewarnai kedua tangan dan kakinya dengan inai, lalu Nabi SAW bertanya, “ Ada apa dengan orang ini? Lalu dijawab, dia menyerupai perempuan wahai Rasulullah, maka Rasulullah SAW memerintahkan untuk mengasingkannya ke ‘Naqi’. Mereka bertanya kepada Rasulullah SAW, adakah kami harus membunuhnya? Baginda menjawab, “Saya dilarang untuk membunuh orang-orang yang melaksanakan solat.” (H.R. Abu Dawud)

Hal ini menjelaskan meskipun ada kekerasan, wujud juga ihsan. Begitulah akhlak terpuji Rasulullah SAW dalam berhadapan dengan golongan transgender. Walaupun tiada hukuman khusus yang dilaksanakan buat golongan ini pada zaman Rasulullah SAW, tetapi pendekatan baginda wajar dijadikan contoh dan panduan terutama kepada mereka yang mempunyai ruang dan peluang untuk berubah ke arah kebaikan.

Apa yang jelas, al-Mutashabbih, al-Mukhannath, dan al-Mutarajjilat, transgender atau transeksual, mereka semuanya dilaknat Tuhan. Jika tidak mendapat hukuman di dunia, pastinya ada hukuman di akhirat buat mereka.

 

Dr Nur Saadah Khair
Exco Dakwah WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *