Enakmen Syariah Dicabar, Dihina

Cik Nur Farihah Meor Mazli Legal Advocacy Legal and Human Rights LGBT Viewpoints

Dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657, Y.A Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan menyebut “Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan sedia ada ini secara jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menentukan halatuju masyarakat Rabbani dalam sesebuah negeri.

Tetapi langit tidak selalunya cerah buat segelintir kelompok yang mengaku diri mereka Muslim tetapi sering mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan lunas agama kerana fatwa di Malaysia boleh dikeluarkan untuk mencengkam penularan ideologi sesat dalam kalangan penduduk beragama Islam. Manakan tidak, sebahagian umum terutamanya saudara seakidah mula menarik nafas lega apabila pada Julai 2014, Majlis Agama Negeri Selangor atau MAIS dan kerajaan negeri Selangor telah mengisytiharkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS) sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Berikutan ‘pengharaman’ pertubuhan tersebut, SIS terus dikenali sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang memperjuangkan antara lain hak-hak kesamarataan gender termasuk lesbian, gay, transgender dan biseksual (LGBT), membantah hukuman sebat Syariah dan mempromosikan fahaman liberalisme secara agresif melalui penulisan ahlinya dan kenyataan rasmi di media arus perdana. Rata-rata masyarakat Muslim menyokong keputusan MAIS dan menganggap perkataan ‘Islam’ dalam akronim SIS perlu dibuang kerana tindakan mereka dilihat seringkali bertentangan dengan hukum-hakam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.

Justerus, keputusan Hakim Nordin Hassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa MAIS pada 27 Ogos 2020 lalu adalah tepat kerana mengikut peruntukan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Mahkamah Syariah Selangor boleh menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri demi kepentingan keadilan. Hakim yang bijaksana tersebut turut memutuskan bahawa mahkamah sivil tiada kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berkenaan perkara itu bertepatan dengan semangat pemisahan kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan negara.

Orang awam termasuk bukan Muslim perlu diingatkan bahawa semua Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia (kecuali Negeri Kelantan) memperuntukkan bahawa fatwa hendaklah diiktiraf oleh Mahkamah Syariah sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya. Cabaran SIS terhadap keabsahan Seksyen 66A Enakmen Negeri Selangor di Mahkmah Tinggi sivil pada tahun lalu, dan kini di peringkat Mahkamah Persekutuan hanya bertujuan untuk menyerang hak mutlak badan perundangan negeri dalan Senarai II Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan DUN untuk menggubal undang-undang berkaitan orang Islam. Hujah SIS bahawa kuasa semakan kehakiman adalah “secara eksklusif terletak hak kepada Mahkamah Tinggi Sivil” melalui suatu litigasi strategik menunjukkan usaha berterusan mereka dalam mengenepikan kepentingan fatwa yang bermaksud untuk memberi penjelasan kepada orang awam tentang sebarang kemusykilan, dalam hal ini penyelewengan agama yang dibawa oleh SIS.

Ketika ini, satu demi satu cabaran terhadap Enakmen Syariah Negeri dilaungkan oleh pertubuhan atau individu berkepentingan menunjukkan bahawa kita tidak lagi boleh berdakap tubuh ibarat menunggu padi masak. Asasnya perlu difahami bahawa amalan merujuk kepada prinsip Islam atau fatwa dalam perundangan Syariah dan di mahkamah sivil telah wujud sejak sebelum merdeka lagi kerana yang pakar soal Islam itu bukan Yang Arif Hakim Sivil tetapi Mufti negeri-negeri. Ia tidak boleh, dalam apa-apa keadaan dipandang hina dan dicampak merata atau dikutip secara bias hanya apabila kena dengan nafsu.

Justeru, pihak yang ingin memenangkan agama Persekutuan ini perlu kuat mempertahankan fatwa sebagai sumber undang-undang Islam agar penipuan demi penipuan oleh mana-mana NGO yang menunggang agama dapat dibongkar dan bukti kesesatan mereka dipateri demi kesejahteraan umat sejagat.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 26 Mac 2021)




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *