Pabila suami ‘dirampas’ lelaki lain

Viewpoints

SUASANA Syawal yang disambut meriah dengan penuh kesyukuran dan kemesraan antara ahli keluarga boleh bertukar jelik sekiranya pasangan suami isteri asyik berbalah mengenai orang ketiga di pagi raya. Usah terkejut mendengar aduan-aduan mengenai jenayah rumah tangga kerap dilaporkan ke pihak berwajib di saat perayaan berlangsung.

Kehadiran tetamu tidak diundang dalam sesebuah institusi keluarga mampu menjejaskan ikatan perkahwinan yang telah lama dibina sekiranya ia tidak dibendung secara holistik. Terbaharu, penulis sempat mendengar sendiri aduan seorang isteri yang mengatakan suaminya telah ‘dirampas’ lelaki lain. Akibatnya, kedua pasangan itu terpaksa berpisah kerana suaminya lebih gemar mengamalkan hubungan sejenis dengan pasangan yang juga merupakan seorang pengamal homoseksualiti. Kedengaran janggal tetapi itulah realiti. Persoalannya, wujudkah keadilan buat si isteri yang inginkan tindakan dikenakan terhadap lelaki bernafsu songsang tersebut? 

Di sini Penulis memperlihatkan perbezaan yang wujud dalam peruntukan undang-undang syariah dan sivil berkaitan bagi mengawal tindakan si pemusnah rumah tangga, sama ada kedudukan jenayah tersebut duduk sama rendah, berdiri sama tinggi atau sebaliknya.

Mengikut lunas perundangan Syariah, antara lain, Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] memperuntukkan takrifan bagi ‘orang ketiga’ sebagai sesiapa yang menghalang mana-mana pasangan yang sudah berkahwin daripada menjalankan tanggungjawab mereka sebagai suami isteri. 

Unik sekali, menurut Seksyen 38 Akta 559, definisi ini terpakai kepada mana-mana individu tidak kira lelaki atau perempuan yang cuba menghasut, memaksa atau memujuk si suami atau isteri mengabaikan kewajipan dalam perkahwinan. Si pesalah, iaitu dalam kes yang diadukan ini merupakan seorang lelaki, juga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Maka dalam perundangan syariah, hak suami dan isteri dipelihara secara setara dan saksama. 

Dalam perundangan jenayah sivil juga wujud peruntukan yang hampir sama. Walau bagaimanapun jika dilihat pada peruntukan dalam sistem perundangan sivil, iaitu melalui Seksyen 498 Kanun Keseksaan, undang-undang sivil tidak menjenayahkan perbuatan seseorang lelaki atau wanita yang memikat atau membawa pergi seorang suami dengan niat jenayah. 
Menurut seksyen berkenaan, jenayah pikat-memikat ini hanya boleh berlaku sekiranya ia dimulakan oleh seorang lelaki yang berniat membawa lari atau menggoda pihak isteri bagi niat membolehkan mereka berdua melakukan hubungan intim. Hukuman di bawah Kanun Keseksaan adalah penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Malangnya, jelas sekali Seksyen 498 tidak terpakai buat pesalah lelaki yang mengayat atau mengorat suami orang sepertimana dijelaskan di awal ayat perenggan atas, mahupun ke atas wanita ketiga yang menggoda suami orang. Jika ditelusuri sebab mengapa Seksyen 498 Kanun Keseksaan ini hanya melindungi para suami yang dicurangi isteri mereka, dapat kita lihat mentaliti yang memelihara hak milikan suami ke atas isteri sedangkan hak yang sama tidakpun pernah diberikan kepada para isteri ke atas suami mereka. 

Disebabkan Kanun Keseksaan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam, ia seolah membuka ruang ketidakadilan bagi mana-mana isteri yang ingin membawa penjenayah homoseksual ke mahkamah tetapi tidak dibenarkan berbuat sedemikian dalam sistem perundangan sivil. Akibat daripada konsep perundangan sivil yang sempit dan hukuman jenayah yang lebih ringan daripada ketetapan hukuman syariah, pihak isteri terutamanya yang bukan Muslim sukar untuk menyaman atau membuat aduan mengenai tingkah laku pasangan gay mereka kepada pihak berkuasa.

Perasaan jijik yang menyelubungi diri Penulis ketika berhadapan kes sebegini tidaklah sebesar rasa hina dina dan pedihnya hati sang permaisuri yang bertarung sendirian di rumah. Pasca modernisasi yang cukup pesat menyaksikan bagaimana normalisasi hubungan yang dilaknat Tuhan ini bukan hanya mempengaruhi golongan bujang, tetapi turut melibatkan pasangan yang sudah berumahtangga.

Jelas, hikmah peruntukan syariah yang lebih memenangkan mangsa dari si pelaku jenayah adalah cerminan kepada hukum asal bagi mana-mana orang yang memutuskan silaturahim dan menjejaskan keharmonian pasangan suami isteri iaitu haram dan berdosa besar. Hatta, perbuatan orang ketiga ini juga dicela hebat oleh Rasulullah SAW menurut hadis riwayat Imam Muslim, baginda bersabda, ‘Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan’. 

Di kesempatan ini, penulis mengajak pihak di luar sana yang merasakan dirinya tidak selamat, tertindas atau diganggu oleh pasangan serumah atau pihak ketiga supaya segera mendapatkan bantuan guaman dan khidmat nasihat percuma menerusi inisiatif kerajaan, Talian Kasih atau alternatif seperti TeleWAFIQ sekiranya tidak mahu merujuk terus kepada pihak berkuasa. Sebelum pergolakan rumahtanga menjadi lebih keruh dan luka di hati dan badan bertambah parah, wajarkan disediakan payung sebelum hujan.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 21 Mei 2021)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *