Idea mengiktiraf gender ketiga telah dibawakan oleh SUHAKAM melalui proposal kajian bertajuk Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender. Sehingga penulisan ini, tidak diketahui status kajian tersebut sama ada akan diteruskan atau tidak kerana walaupun JAKIM telah memohon penjelasan, belum ada pertemuan di antara 2 agensi tersebut.
“Kajian” SUHAKAM ini dibantah ramai kerana beberapa perkara; ia sebenarnya tidak bersifat kajian bebas dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah, perundangan sivil, kesihatan fizikal dan mental serta hak-hak wanita. Kajian ini tidak bersifat bebas kerana adalah nyata dapatan kajian (Research Outcome) dan kaedah menyampaikan dapatan kajian (Deliverables) telah ditetapkan pihak SUHAKAM, bahawa apa pun dapatan kajian, ia mestilah menjadi asas membentuk reformasi undang-undang ke arah pengiktirafan transgender sebagai gender ketiga di Malaysia. Penyelidik juga telah terikat dengan ketetapan bahawa laporan kajian mestilah mengandungi syor kepada kerajaan untuk membentuk undang-undang bagi pengiktirafan transgender dengan membenarkan penukaran nama dan identiti jantina pada dokumen pengenalan diri. Penyelidik juga terikat dengan arahan laporan kajian yang mesti mencadangkan penggubalan polisi dan undang-undang semasa ke arah pengiktirafan gender ketiga.
Terdapat pelbagai impak pengiktirafan gender ketiga (merangkumi transgender dan non-binari iaitu individu yang mengakui tidak mempunyai jantina). Antara yang paling serius yang ingin dibincangkan di sini ialah impak kepada remaja dan kanak-kanak, generasi masa hadapan kita.
Hormon penyekat baligh dan pembedahan pertukaran jantina
Pada tahun 2019 lima orang doktor klinikal yang bekerja di Pusat Perkhidmatan Perkembangan Identiti Gender atau ringkasnya Klinik Gender milik yayasan pro-LGBT terkenal, Tavistock and Portman NHS Foundation Trust di United Kingdom meletakkan jawatan. Mereka membantah pemberian ubat penghalang baligh yang diberikan kepada remaja yang mengadu mempunyai masalah kecelaruan gender. Menurut mereka, ubat-ubatan ini adalah satu bentuk eksperimen tanpa ada bukti jelas tentang keberkesanan dan keselamatan. Mereka juga mempertikaikan diagnosis yang dibuat dengan tergesa-gesa. Pada tahun 2016, klinik ini menerima 2000 kes rujukan yang merupakan peningkatan sebanyak 42% dibandingkan dengan tahun sebelumnya.
Apakah hormon untuk kanak-kanak menukar jantina? Ada dua kategori iaitu hormon yang menyekat baligh seperti Gonadotropin Releasing Hormon (GnRH) dan hormon yang bersilang jantina seperti testosteron yang diberi kepada kanak-kanak perempuan yang ingin menjadi lelaki dan estrogen kepada kanak-kanak lelaki yang ingin menjadi wanita.
Susulan peningkatan kes di mana kanak-kanak telah diberikan hormon penghalang baligh, salah seorang bekas pesakit Klinik Gender Tavistock, Keira Bell mengambil tindakan mahkamah selepas beliau mendakwa tidak mendapat nasihat yang wajar. Klinik Gender Tavistock telah mengesyorkan beliau mengambil hormon testosteron seawal berumur 16 tahun dan menjalani pembedahan membuang buah dada (mastectomy) ketika berumur 20 tahun. Beliau kini bimbang mengalami masalah ketidaksuburan. Kanak-kanak, menurut beliau adalah terlalu muda untuk membuat keputusan mengenai pengambilan hormon, penghalang baligh dan pembedahan pertukaran jantina. Akhirnya pada 1 Disember 2020, mahkamah di UK menetapkan kanak-kanak dibawah umur 16 tahun perlu mendapat kebenaran mahkamah sebelum menjalani apa-apa rawatan pertukaran jantina.
Rang undang-undang mengharamkan prosedur penukaran jantina kepada golongan bawah umur
Gender ketiga yang diiktiraf ini juga telah menyebabkan remaja mempercayai mereka benar-benar terperangkap dalam badan yang salah “born that way theory”. Ratusan klinik gender expansive (satu terma baru mendidik remaja mereka bahawa gender itu tidak tertakluk kepada jantina biologi mereka dilahirkan) di Amerika Syarikat tumbuh bagai cendawan. Remaja ini ditawarkan hormon pencegah baligh dan pembedahan pertukaran jantina. Klinik-klinik ini dikendalikan oleh doktor-doktor yang menggunakan alasan kesihatan mental, dan kerana elemen kapitalisma yang kuat, kebanyakan ibubapa yang tidak bersetuju tidak berupaya untuk menghalang kehendak anak-anak mereka, sedangkan mereka terlalu risau akan implikasi rawatan ini.
Gesaan masyarakat yang semakin sedar akan perkara ini akhirnya mendorong badan perundangan di Arkansas, US merangka rang undang-undang (RUU) mengharamkan prosedur penukaran jantina kepada golongan bawah umur. RUU tersebut menyatakan bahawa mereka akan mendakwa mana-mana profesional penjagaan kesihatan yang menyediakan perencat akil baligh, hormon-silang-seks atau pembedahan menukar jantina kepada golongan bawah umur. Doktor yang terlibat akan berhadapan dengan tuntutan mahkamah dan penggantungan lesen perubatan.
Tiada asas sains menyekat proses baligh
Dr. Lawrence S. Mayer, seorang ahli biostatistik dan Dr. Paul R. McHugh seorang profesor Psikiatri Kehormat di John Hopkins School of Public Health telah meneliti ratusan artikel kajian saintifik mengenai transgender. Mereka merumuskan majoriti kanak-kanak yang mengenalpasti diri mereka sebagai berlawanan jantina kembali ke jantina asal apabila mereka meningkat dewasa. Mereka juga menyimpulkan terlalu sedikit bukti kajian yang menyokong nilai terapeutik menyekat proses baligh .
Sudah tentu antara yang dibimbangi juga adalah proses pertukaran jantina yang ditawarkan kepada kanak-kanak menyebabkan perubahan tidak berbalik (irreversible) jika mereka menyesal kelak, seperti Kiera Bell dan ramai lagi. Penggunaan hormon menyekat baligh dikritik oleh ramai pakar kesihatan kanak-kanak kerana ketiadaan data klinikal bersifat jangka panjang akan keberkesanan dan keselamatannya. Hormon silang jantina pula telah mempunyai pelbagai kesan serius seperti pembekuan darah, kegagalan fungsi hati dan mengurangkan kesuburan.
SUHAKAM tidak seharusnya terikut-ikut dengan apa juga yang disogokkan kepada mereka atas nama hak asasi. Ada banyak cara untuk menangani diskriminasi kumpulan rentan, tetapi ianya bukan melalui pengiktirafan gender ketiga yang lebih banyak memberi impak negatif kepada keseluruhan masyarakat. Pesuruhjaya mereka perlu lebih pro-aktif memberi analisa yang kritikal terhadap sebarang cadangan, bukannya sekadar “rubber stamp”. Mereka sepatutnya berupaya melihat kesan-kesan negatif di seluruh dunia apabila pengiktirafan gender ketiga telah menindas hak wanita dalam kejohanan sukan, mengganggu takrifan Sains biologi, mengubah penggunaan bahasa dan linguistik serta masalah kesihatan HIV/AIDS yang masih tidak selesai.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden
International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)