Akta 611 Harus Lebih Bertaring

Viewpoints

MENGINGATI bahawa, seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Hak Kanak-Kanak, ‘kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangan fizikal dan mentalnya, memerlukan perlindungan dan penjagaan khusus, termasuk perlindungan perundangan yang sesuai, sebelum dan sesudah kelahiran” – Mukadimah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Hak bagi kanak-kanak untuk dilindungi kebajikan dan keselamatan perlu dimartabatkan sejajar dengan peruntukan CRC yang telah diratifikasi negara dalam tahun 1995. Kewujudan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] adalah antara hasil komitmen kerajaan dalam menggubal undang-undang domestik yang khusus bagi memelihara hak serta melindungi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Dengan pindaan terkini Akta 611 yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, seharusnya Akta 611 ini dijulang dengan lebih tinggi lagi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara kemas.

Penulisan ini memfokuskan kesalahan mana-mana orang yang merisikokan keselamatan dan kesejahteraan seseorang kanak-kanak. Di bawah Bab 3, Bahagian V, Akta 611, peruntukan menyenaraikan kesalahan terhadap kanak-kanak termasuklah kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan, pendedahan kepada bahaya, eksploitasi terhadap kanak-kanak selain membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan.

Secara khusus, di bawah Seksyen 31 Akta 611, menjadi kesalahan ke atas sesiapa yang sedang memelihara seorang kanak-kanak jika dia menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau menganiayai kanak-kanak itu secara seksual. Jika sesiapa disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 31 ini, dia mungkin akan didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Bermakna, di bawah Seksyen 31 Akta 611, terdapat lima perbuatan yang boleh dijadikan kesalahan: i) menganiayai atau mendera, ii) mengabaikan, iii) membuang, iv) mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi, atau v) menganiayai kanak-kanak itu secara seksual.

Antara contoh kes yang pernah dibicarakan di bawah Seksyen 31 Akta 611 bagi kes penganiayaan atau penderaan adalah apabila seorang bapa dikenakan 10 tahun penjara kerana sering memukul anak kandungnya setiap hari bagi melempiaskan kemarahan dan tekanan hidup. Dalam contoh kes ini (yang dibicarakan dalam tahun 2017), jelas berlaku penderaan fizikal kerana  tindakan si bapa telah menyebabkan kanak-kanak mengalami patah paha kiri dan kesan lebam di bahagian lengan dan badan. Lebih menyayat hati apabila fakta kes terungkai semasa perbicaraan menunjukkan anak ini bukan saja didera oleh bapa kandungnya tetapi juga dianiaya oleh ibu dan nenek.

Contoh kes yang pernah dibicarakan di bawah Seksyen 31 Akta 611 bagi kes pengabaian adalah apabila seorang operator bas taska mengabaikan dan bertindak secara cuai apabila menyebabkan kanak-kanak terkurung dalam kenderaan sehingga lemas dan akhirnya meninggal dunia. Operator bas ini dipenjara selama lima tahun, dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM6,000.00.

Jelas isu pengabaian yang menyebabkan kecedaraan fizikal (apatah lagi sehingga menyebabakan kematian) kanak-kanak bukanlah isu yang ringan. Bahkan terdapat tertuduh yang dibicarakan atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan di bawah Seksyen 31 Akta 611 kerana gagal menghentikan penderaan fizikal oleh ahli keluarga yang lain. Sebagai contoh, dalam tahun 2019 ayah kandung didakwa mengabaikan anaknya iaitu dengan menyebabkan anaknya mengalami kecederaan fizikal dan emosi akibat didera oleh ibu tiri kanak-kanak itu. Si bapa telah didenda sebanyak RM12,000 walaupun semasa perbicaraan tiada bukti mahupun keterangan menunjukkan si bapa sendiri telah mendera anaknya. Malah perbicaraan membuktikan anak itu hanya didera oleh si ibu tiri.

Manakala di bawah Seksyen 32 Akta 611 pula menjadikan kesalahan ke atas sesiapa yang memelihara kanak-kanak untuk mengeksploitasi mereka dengan mengakibatkan atau membenarkan kanak-kanak itu mengemis atau menerima sedekah atau menjaja di jalanan. Kesalahan ini boleh boleh dihukumi dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sedangkan di bawah Seksyen 33 Akta 611 pula menjadikan kesalahan jika seorang ibu atau bapa atau penjaga seseorang kanak-kanak, yang meninggalkan kanak-kanak itu (a) tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-kanak itu; (b) selama suatu tempoh yang tidak berpatutan memandangkan semua hal keadaan; atau (c) dalam keadaan yang tidak berpatutan. Jika disabitkan dengan kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Jelas peruntukan di bawah Akta 611 sudah cukup untuk melindungi kanak-kanak. Malangnya, tindakan tidak bertaring banyak pihak telahpun mengakibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak terus berleluasa sehingga saban tahun kita tidak lekang dikhabarkan dengan penemuan kanak-kanak mangsa dera sehingga ada yang diakhiri dengan kematian.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 3 September 2021)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *