Didik Anak Mengikut Zamannya – Buat Dato’ Aliff Syukri

Viewpoints

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum buat Dato’ Aliff Syukri. Semoga sentiasa berada di bawah lembayung ar-Rahman dan ar-Rahim Allah SWT sentiasa.

Warkah terbuka ini daripada saya Hajah Asral Widad yang menulis mewakili WAFIQ untuk sama-sama kita renungi, ambil ibrah dan pengajaran serta sedikit perkongsian dalam kita sama-sama mendidik anak-anak kita di zaman yang penuh cabaran ini.

Kami mohon maaf andai warkah terbuka ini mengguris hati Dato serta keluarga. Tetapi di atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim kerana bilamana video itu dipaparkan di alam maya, ianya telah mengundang pelbagai respon positif mahupun negatif dari pihak netizen. Oleh itu,  pihak kami WAFIQ merasa terpanggil untuk memberi beberapa pencerahan. Merujuk kepada laman web Oh My Media di pautan:

https://www.ohmymedia.cc/faham-erti-maruah-perempuan-aliff-syukri-rotan-anak-sampai-birat-sebab-buka-tudung/

Qadeeja… Indah namanya. Seindah setulus raut wajahnya. Ini pertama kali saya mengambil peduli kehidupan seorang artis usahawan atas dasar saya juga seorang ibu juga seorang ahli masyarakat yg prihatin dan insan yang masih banyak kekurangan. ‘But it takes a whole village to raise a child’. Maka semua seharusnya terlibat dan ambil peduli terutamanya apabila ianya melibatkan seorang kanak-kanak.

Buat pengetahuan Dato, saya masih menyertai kelas keibubapaan walaupun sudah dikurniakan 7 orang anak dari umur remaja 19 tahun hingga kanak-kanak 4 tahun.

Ilmu keibubapaan menurut neraca syarak adalah ilmu yg perlu kita telusuri dengan kefahaman yang betul-betul faham sesuai dengan peredaran zaman namun tanpa menggadaikan prinsip asas. Lebih-lebih lagi, kini ibubapa serta anak-anak terpaksa mendepani pelbagai cabaran seperti keruntuhan moral dan adab, ancaman gajet, cairnya jatidiri sebagai Melayu dan Muslim.

Dalam hal ini, pihak WAFIQ terpanggil utuk berkongsi kata-kata Saidina Ali R.A. di dalam aspek keibubapaan :

“Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka tidak hidup di zaman mu.”

Dalam bab merotan anak, seharusnya ianya sebagai pilihan terakhir sahaja dengan ada adab-adabnya. Ianya tercatat di dalam bab membimbing anak-anak yg menjangkau umur 10 tahun tetapi masih berdegil tidak solat setelah dididik dipujuk dengan pelbagai cara. Boleh juga rujuk FB Dr. Hisham Shariff di pautan:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2304678839553539&id=100000343352240

Ada juga berpandangan simbolik rotan itu adalah sekadar ada dan kewujudan rotan itu di rumah sekadar simbolik untuk anak-anak geruni sahaja tanpa perlu menggunakannya pun.

Untuk Qadeeja yang saya rasa belum pun baligh, maka belum pun sampai jatuh wajib untuk bertudung maka sebagai ayah di zaman yang mencabar ini perlulah seorang ayah menjadi susuk tubuh lelaki yang pertama yg menjadi pelindung dan hero kepada anak-anak perempuan. Apa jua tuntutan agama perlu diberi kefahaman sebaiknya pada anak-anak dahulu melalui pujukan, rayuan, penceritaan supaya mereka melaksanakan sesuatu tuntutan agama atas kesedaran dan kasih mereka kepada Allah SWT dan RasulNya.

Kami dari keluarga WAFIQ mendoakan agar Dato sekeluarga serta semua ibu ayah di luar sana, sentiasa kita di dalam hidayah-Nya dalam mendidik anak-anak yang merupakan amanah yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

Hajah Asral Widad Bt Ahmad Asnawi
Timbalan Presiden WAFIQ
Pengasas Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *