Semakin ramai dari generasi kini yang mempunyai struktur keluarga nukleus, di mana mereka jauh dari keluarga sokongan seperti ibu dan bapa. Semakin ramai juga wanita yang keluar bekerja dan adalah penting mereka mendapat kerjasama dari suami dalam tempoh menyesuaikan diri dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga.
Peranan suami sangat penting dalam fasa- fasa kritikal di mana isteri baru sahaja melahirkan. Bantuan suami kepada isteri, dapat mengurangkan tekanan bagi ibu yang baru melahirkan, dan berpotensi untuk mengurangkan kejadian depresi post-partum. Kehadiran ayah pada saat awal kelahiran juga membantu emosi anak- anak yang baru lahir.
Kajian menunjukkan faktor kewangan sesebuah industri banyak dipengaruhi oleh daya produktiviti pekerja-pekerja yang meningkat jika majikan mengambil berat tentang kebajikan mereka. Justeru itu pengiraan keuntungan atau kerugian sesuatu syarikat hanya berdasarkan di atas faktor ketiadaan pekerja dalam tempoh cuti paterniti adalah tidak dapat diterima.
Kita melihat banyak negara- negara maju yang telahpun mengambil berat tentang cuti paterniti ini dan ia tidak diterjemahkan kepada kemerosotan ekonomi seperti Finland dan Norway.
Justeru kita menyokong sepenuhnya Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang bercadang membentangkan draf pindaan Akta Kerja 1955 untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.
WAFIQ percaya cuti paterniti bagi sektor swasta membantu membela kebajikan suami/ayah yang akan meningkatkan produktiviti mereka. Pekerja yang kebajikan mereka terbela, bukan sahaja meningkatkan produktiviti syarikat bahkan melahirkan keluarga yang stabil dari sudut emosi. Ini adalah pelaburan jangka panjang negara dalam mengekang budaya tidak sihat yang berakar-umbi dari keluarga yang berantakan.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ