Kenapa mereka semakin berani?

Statements Viewpoints

‘Mereka bertengkar ramai dalam bahasa yang bagiku sama asingnya dengan bahasa nasib manusia.’ – Pramoedya Ananta Toer

Bahasa adalah suatu komoditi yang unik dalam interaksi sosial, bukan sekadar untuk kelangsungan hidup seharian tetapi lebih utama lagi, bagi menjaga kesepaduan sosial dalam sesebuah masyarakat. Apabila bahasa yang jelas digunakan dengan telus, interaksi menjadi mudah tetapi apabila bahasa dimanipulasi untuk melindungi motif tersembunyi, sudah tentu interaksi menjadi tersekat dan terbantut. Begitu jugalah dengan polemik di antara mereka yang menggelarkan diri sebagai konservatif menentang mereka yang meyakini diri sebagai liberal di Malaysia.

Sebagai contoh mudah, sudah berulang-kali diulang sehingga berbuih mulut berbicara: Malaysia adalah negara yang bernilai Islamik. Bukan hanya kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang berdiri tegak dan teguh mengikat jati diri negara ini, bahkan lebih daripada itu, dalam setiap sendi negara nilai Islamik itu terserlah. Baik daripada jata negara yang melambangkan identiti Islamik, sehinggalah kepada dasar negara yang memelihara kesejahteraan masyarakat berdasarkan prinsip Islamik, terseri jelas agama ini terlipat kemas dalam tenunan yang membentuk negara Malaysia.

Maka amatlah aneh, ajaib malah mengejutkan apabila nilai Islamik ini dipandang rendah sehingga diperlecehkan puak liberal bagai kinantan hilang taji. Pada banyak waktu, jati diri negara ini diperbodohkan dengan mudah tanpa pembelaan yang efektif kerana penguatkuasa undang-undang seolah-olah terlalu bacul untuk bertindak membela. Sedangkan golongan liberal semakin berani dan tebal muka dengan propaganda mereka.

Baru-baru ini gegak-gempita negara apabila institusi hak asasi yang ditubuhkan berdasarkan suatu akta parlimen dengan bangga mengiklankan kajian mengenai kemasukan gender ketiga dalam kerangka perundangan negara. Melatah tok lebai di rumah yang sudah berhari-hari tidak bersolat di masjid. Hilang alur pemikiran sejenak memikirkan apalah yang sudah menggila dalam negara sehingga benda yang jelas bertentangan dengan fitrah Islamik dalam kerangka negara sanggup dibesar-besarkan.

Dalam terma rujukan yang disiarkan, kajian itu dibingkaikan berlandas kepada keperluan mengiktiraf hak-hak asasi golongan transgender. Amatlah ajaib mengapa gender ketiga dilihat dalam konteks perjuangan transgender walhal negara ini telahpun selesai mendebatkan keabsahan undang-undang syariah yang menentang perlakuan transgender. Adakah kajian ini menidakkan hak setiap badan perundangan negeri-negeri yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi untuk memaktubkan undang-undang berdasarkan ajaran Islam yang mereka yakini?

Skandal kajian gender ketiga hadir dalam pada negara sudahpun dikejutkan lebih awal lagi dengan beberapa paparan tidak senonoh, jelik dan pelik dalam media sosial. Perkongsian bagi menyemarakkan tema bulan Jun yang dikenali sebagai ‘Pride Month’ oleh pejuang lesbian, gay, biseksual, transgender dan ‘queer’ (LGBTQ) banyak menjentik sensitiviti masyarakat Malaysia, malah ada yang dengan jelas mengejek prinsip Islam yang dijunjungi negara. Frasa ‘Allah is Gay’ dilekatkan dengan logo ‘Atheist Republic’, dihiasi pula paparan kaabah yang dibaluti dengan warna pelangi dan disiarkan melalui laman media sosial.

Golongan liberal bukan hanya gemar membentak-bentakkan bahasa aneh mereka dalam soal yang melibatkan isu ‘dalam kain’. Lebih daripada itu, golongan liberal tidak langsung segan untuk juga mengolah bahasa aneh mereka untuk membantah dasar tradisional seperti keperluan memelihara kesucian agama. Setiap agama dipermainkan dan dipukul sama rata untuk dibuat jenaka jalanan. Tiada tujuan lain selain daripada untuk berbangga dalam menghina nilai agama yang dipandang tinggi oleh masyarakat Malaysia.

Apa yang menarik pada pandangan saya, bukanlah keberanian golongan liberal ini mengejek sensitiviti majoriti rakyat Malaysia tetapi ketumpulan tindak balas pihak berkuasa dalam mengambil sebarang tindakan. Laporan polis sudahpun dibuat sejak awal bulan Jun lagi, namun sehingga kini tiada kemas kini yang diberikan. Tidakkah anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat kepentingan dan kemustahakan mengambil tindakan tegas ke atas puak liberal yang biadap ini?

Biarpun mereka sering berdegar-degar melaungkan kebebasan bersuara yang dibenarkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun hak ini tidaklah sehingga membolehkan golongan liberal melangkaui had yang ditetapkan undang-undang. Tambahan pula, masyarakat sudah lebih cakna tentang hak serta had yang ditetapkan dan akan segera melaporkan mana-mana perkongsian di media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam. Namun, masyarakat peri-ilmu yang cakna tidak akan mampu berfungsi dengan baik apabila PDRM masih mengambil sikap berlengah-lengah, malah memilih, dalam membenteras jenayah yang dilaporkan.

Jika selama ini ahli akademik dan pengkaji sosial banyak memberikan tunjuk ajar kepada rakyat, mungkin kini sudah tiba masa untuk advokasi ditegaskan buat perhatian kerajaan yang tidak peduli dan pihak penguatkuasa yang tidak berani.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 23 Julai 2021)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *