Kritikan terhadap Nabi Muhammad SAW telah bermula sejak baginda masih hidup lagi. Kaum Quraish merupakan kumpulan pertama yang menghina baginda dan mempersoalkan mesej yang dibawa baginda yang bertentangan dengan kepercayaan kaum tersebut. Kritikan terhadap baginda masih berterusan setelah baginda wafat, dan sadisnya, ia masih lagi terjadi sehingga abad ke-21 kini.
Antara punca utama penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah kerana perbezaan pegangan agama. Malah, peribadi dan kehidupan baginda dinilai sebegitu terperinci yang menjadi bahan kajian dalam kalangan sarjana barat. Antara individu terawal pada kurun kelapan yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad merupakan seorang Nabi palsu yang kedatangannya tidak disebut oleh nabi-nabi sebelumnya adalah John Damascus. Beliau hidup pada zaman Umawiyyah di bawah kepimpinan Khalifah Abdul Malik.
Pada zaman Abbasiyyah, muncul individu seperti Timothy I dan Eulogio dari Cordoba pada kurun ke-9 yang menghina peribadi dan kewujudan baginda. Kritikan negatif terhadap baginda berterusan pada setiap kurun dengan mengecam baginda sebagai pengganas, ahli sihir, kaki perempuan dan pelbagai lagi tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.
Tetapi corak perubahan kritikan berubah pada kurun ke-17 di mana kritikan disasarkan kepada hadis iaitu merujuk kepada kata-kata Nabi, perbuatan, taqrir dan sifat-sifat baginda. Salah seorang ahli falsafah Perancis, Barthelemy d’Herbelot (1625-1695) membuat penelitian terhadap hadis secara skeptikal dan menuduh Nabi Muhammad SAW sebagai utusan yang palsu.
Kurun ke-19 melahirkan ramai sarjana Barat yang mengkaji hadis Nabi secara mendalam. Antaranya adalah Gustav Weil, Aloy Sprenger, William Muir, Ignaz Goldziher, C. S. Hurgronje, Henri Lammen dan D. S. Margoliouth. Kebanyakan daripada mereka ini menggunakan pendekatan yang berbentuk skeptikal dalam menilai sesuatu, sehingga sanggup menetepikan kebenaran walaupun mengetahuinya. Goldziher, sebagai contoh, mencipta beberapa teori bahawa hadis adalah sebuah pengumpulan palsu yang direka oleh generasi di sekeliling Nabi Muhammad SAW.
Jurus selepas itu, Joseph Schact, G.H.A Juynboll, dan Harald Motzki terkenal dengan kajian-kajian mereka pada kurun ke-20, yang setiap dari mereka membina teori-teori dalam ilmu hadis yang melibatkan sanad dan juga matan. Khasnya Schact, beliau membuat kesimpulan bahawa sistem isnad adalah sistem palsu yang direka oleh ahli Hadis dan kemudiannya menjadi sistem yang digunapakai dalam menentukan kesahihan Hadis.
Tidak dinafikan bahawa impak yang dihasilkan daripada kajian-kajian barat ini adalah menjurus kepada impak yang negatif, terutama dalam menimbulkan keraguan kepada umat Islam terhadap autoriti Hadis sebagai salah satu sumber asas kepada syariat Islam. Tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga impak positif yang terhasil daripada kajian-kajian barat ini.
Sebagai contoh, A.J. Wensick telah menghasilkan sebuah karya hebat yang berbentuk kamus dengan menyusun perkataan-perkataan di dalam hadis mengikut abjad. Tajuk asal bukunya ialah A Handbook Muhammadan Tradition: Alphabetically Arranged telah diterjemahkan ke bahasa Arab menjadi Miftah Kunuz al-Sunnah dan al-Mu’jam al-Mufahrass li Alfaz al-Ahadis Al-Nabawi menjadi antara kitab penting yang memudahkan dalam pencarian lafaz di dalam hadis.
Hasil kajian terhadap orientalis barat ini juga telah melahirkan ramai ilmuwan Islam yang hebat yang bijak menepis semua kritikan mereka, seperti Mustafa al-Siba’i dan Mustafa Azami. Ia juga melatih Muslim untuk berfikiran kritis dan bersikap profesional untuk mengkaji dengan lebih mendalam sehingga mampu menjawab pandangan negatif yang dilontarkan oleh sarjana barat terhadap Nabi dan juga Hadis.
Maryam Jameelah, di dalam bukunya Islam and Orientalism telah menyatakan: ““Adakah Orientalism itu secara keseluruhannya keji? Jawapannya adalah tidak, secara pembuktian. Terdapat sejumlah sarjana Barat telah mendedikasikan kehidupan mereka kepada pengajian Islam kerana minat yang tulis kepadanya. Jika tidak kerana hasil usaha mereka ini, banyak ilmu bernilai tinggi yang ditemui di dalam manuskrip-manuskrip lama Islam akan hilang atau terbiar dilupakan tanpa perhatian.”
Apabila sesuatu perkara negatif itu dipandang secara positif, maka ia menjadi peluang untuk kita terus berjuang dalam menegakkan kebenaran. Maka benarlah juga sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kadangkala Allah menolong agamanya di atas sebab perbuatan orang yang jahat”. (HR Bukhari)
Tambahan daripada itu, kurun ke-20 juga adalah sebuah fasa penting di mana karya-karya positif berkaitan sirah Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan oleh sarjana Barat itu sendiri.
Sebagai contoh, Martin Lings dengan tulisannya Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources adalah antara buku biografi terbaik yang mendapat anugerah, serta telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Walaupun beliau telah memeluk Islam, tetapi beliau tetap kembali ke tempat asalnya iaitu England, dan corak penulisannya telah menarik ramai pembaca untuk membina kerangka positif terhadap Nabi Muhammad SAW.
Karen Amstrong dengan bukunya yang bertajuk Muhammad: A Biography of the Prophet juga telah memberi kesan positif kepada pembaca bukan Islam sehingga akhirnya menerima Islam sebagai agama. Penulisnya tidak memegang mana-mana agama, tetapi beliau cuba membawa pendekatan untuk mengenali Nabi Muhammad SAW dan agama Islam tanpa prejudis dengan menjelaskan konflik yang berlaku dalam kalangan barat sendiri.
Terdapat ramai juga sarjana Barat yang mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai individu paling berpengaruh dunia, dan mencatatkan aspek positif daripada kehidupan baginda. Dr. Zuwaimer, seorang orientalis dari Kanada menganggap Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agama, reformis, dan pemikir agung, yang kebenarannya telah tertulis di dalam al-Quran.
Bretly Hiler, orientalis Jerman mengetengahkan metod yang digunakan oleh Nabi Muhammad dalam berdakwah sesuai dengan keadaan zamannya, dan beliau juga mengakui sifat adil yang dimiliki oleh baginda. Michael Hart juga telah menyenaraikan Nabi Muhammad SAW sebagai individu paling berpengaruh di dunia di dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, mengalahkan beberapa individu penting dalam agama-agama lain.
Penulisan-penulisan barat terhadap Nabi Muhammad SAW perlu dipandang secara adil tetapi kritis kerana pendekatan dan metod yang digunakan adalah berbeza. Karya mereka boleh dimanfaatkan khasnya dalam kalangan generasi muda untuk berhadapan dengan dunia semasa yang lebih mencabar. Ini juga menjadi peluang terbaik untuk melindungi nama baik Islam serta keperibadian agung baginda sebagai utusan terakhir Tuhan, yang kehadirannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam.
Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ