“DALAM kehidupan beradab, undang-undang mengapung di lautan etika.”- Earl Warren
Sebagai pelajar yang masih mendalami bidang perundangan, Penulis melihat terlalu banyak polemik berkenaan keperluan wujudnya elemen etika atau moraliti dalam perundangan. Etika adalah akhlak yang wujud dalam diri setiap manusia berdasarkan pemikiran masing-masing. Moraliti pula adalah tanggapan akhlak berteraskan didikan sekeliling. Etika dan moraliti kerap meletakkan keadilan atau kesaksamaan sebagai garis ukur keesahan. Sedangkan undang-undang adalah peraturan formal yang dimaktubkan selepas melalui proses yang sah.
Di Malaysia, proses yang sah untuk menggubal undang-undang adalah dengan melalui perbahasan oleh ahli-ahli politik di Dewan Rakyat, wakil-wakil negara dalam Dewan Negara dan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Jujurnya, perbincangan hubung-kait etika, moraliti dan undang-undang adalah lompong dan langsung tiada erti, meskipun dibahaskan berdegar-degar dalam Dewan Parlimen. Mustahil sekali sesuatu undang-undang itu mampu merangkumi etika atau moraliti sedangkan penggunaan undang-undang itu sendiri tidak adil, malah berat sebelah.
Semasa diajarkan pensyarah di universiti dulu, Penulis dididik kononnya undang-undang (i) merupakan suatu aturan peradaban, ii) memperuntukkan perintah yang harus dipatuhi dengan meletakkan hukuman bagi memastikan pematuhan, (iii) haruslah diisytiharkan oleh badan autoriti yang sah, serta (iv) merupakan kepatuhan untuk kebaikan bersama. Oleh itu, jika untuk kebaikan bersama, haruslah undang-undang itu terpakai dan dipatuhi oleh semua, tanpa ada yang terkecuali.
Jelas selepas meninggalkan pintu pagar universiti, didikan ini hanyalah sesuatu yang buang masa, malah pembohongan yang langsung tidak berpaksikan realiti semasa. Penulis kini sedar, sama ada pensyarah dan ahli akademia di universiti sudah lama terlena daripada kehidupan sebenar masyarakat atau mereka terlalu senang memainkan peran burung kakak tua: mengulang bicara orang terdahulu tanpa langsung meletakkan buah fikir mereka sendiri.
Jika tidak, masakan mereka sanggup mendidik undang-undang ideal sedangkan mereka tahu itu semua hanyalah omongan receh tanpa menginsafi realiti sebenar Kedaulatan Undang-Undang yang terbentuk dan berdiri dalam masyarakat yang mereka sendiri diami. Apabila sistem perundangan langsung gagal meletakkan etika dan moraliti sebagai batu landasan berdirinya Kedaulatan Undang-Undang, apalah lagi yang hendak dibincangkan tentang keperluan undang-undang sebagai aturan peradaban masyarakat.
Universiti tempatan yang menawarkan pengajian undang-undang sepatutnya tutup saja fakulti undang-undang masing-masing. Sudah-sudahlah mendidikkan ilmu tidak bernilai ini kepada generasi muda. Apakah perlu didikan undang-undang sedangkan semua maklum sebagai sebuah negara, ‘undang-undang’ hanyalah terma yang dimomokkan kepada rakyat marhaen tanpa wang ringgit atau kuasa mahupun pengaruh? Sedangkan realiti negara, kelas kayangan yang merangkumi mereka yang berduit, berkuasa ataupun berpengaruh duduk di luar dari cakupan undang-undang. Benarlah didikan nenek moyang dulu: apabila gajah masuk kampung, kalau kayu tak tumbang, rumput layu juga.
Rakyat marhaen didenda sehingga muflis, dipenjara sehingga beruban, disebat sehingga lunyai dan digantung sehingga mati jika kepatuhan kepada undang-undang diingkari. Sedangkan kelas kayangan boleh meletakkan nyawa setiap rakyat dalam bahaya tanpa sekelumit rasa segan silu (asas etika atau moraliti) apatah lagi takut dengan hukuman terhadap keingkaran (asas pematuhan penuh undang-undang). Maka, tidak pelik untuk dibaca saban hari berita penahanan mereka yang ingkar pematuhan undang-undang itu datangnya daripada rakyat marhaen. Sedangkan kelas kayangan, jika mereka melakukan keingkaran yang sama, mereka bukan saja tidak ditahan, malah ditegurpun tidak.
Tidakkah janggal sekali apabila pengamal undang-undang masing-masing melaungkan Kedaulatan Undang-Undang sebagai wirid harian sedangkan semua maklum, nilai undang-undang itu terletak pada taraf sosial masyarakat? Semakin rendah nilai wang ringgit, kuasa atau pengaruh seseorang rakyat itu, semakin tinggi takat pematuhan kepada undang-undang yang harus mereka hormati. Maka, sudah kita fahami sekarang mengapa tidak perlu mereka yang berduit, berkuasa dan berpengaruh untuk menghormati undang-undang. Malah, jika ditanyakan kepada kelas kayangan ini, Penulis pasti mereka sama sekali tidak tahu di Malaysia, wujud undang-undang yang terpakai ke atas diri mereka.
Jika kelas kayangan tidak takut dengan undang-undang, mungkin etika dan moraliti diri mampu membentuk mereka. Tetapi saban tahun, rakyat marhaen terpaksa lagi mengharung bencana demi bencana dek olah kelas kayangan. Hanya rakyat marhaen yang tiada air diakibatkan pencemaran air berpunca daripada korporat dan konglomerat yang keparat. Hanya rakyat marhaen yang membungkam sakit COVID19 dek kerana politikus yang rakus. Kelas kayangan masih hidup aman dan sentosa dalam perlindungan undang-undang.
Atas sebab itu, kelas kayangan boleh sehari-harian bersenang-lenang memikirkan cara, helah atau muslihat untuk terus mengekalkan wang ringgit, kuasa atau pengaruh mereka. Sedangkan rakyat marhaen masih hidup dalam ketakutan kalau nanti kehilangan kebebasan diri jika ditahan, didenda, dipenjara, disebat atau digantung. Etika, moraliti dan undang-undang sudah mati di negara ini. Perlu apa lagi dengan polemik ini?
Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ
(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 9 Oktober 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)