MUTAKHIR ini kita dapat menyaksikan segolongan rakyat terpaksa mengikat perut dan mengubah cara hidup apabila terjejas pendapatan akibat penularan virus Covid-19. Hakikat yang memilukan apabila menurut Kementerian Sumber Manusia, setakat Julai 2020, lebih 600,000 pekerja diberhentikan majikan sejak awal tahun ini. Statistik tersebut merupakan suatu tamparan hebat bukan sahaja buat individu bujang yang baru belajar mengenal kehidupan, lebih rumit kepada keluarga yang sedia tersepit dalam kancah kemiskinan.
Tidak dinafikan aliran sumber kewangan industri pekerjaan awam dan swasta bagi tenaga buruh yang mencecah 15.34 juta menurut Jabatan Perangkaan turut terganggu dek penangan pandemik ini. Namun begitu, situasi ini tidak menjadi alasan bagi pihak majikan, terutama di sektor swasta untuk sewenang-wenangnya memecat mana-mana pekerja tanpa sebab sahih. Bahkan dilarang pengusaha, jabatan, syarikat atau kilang mengambil kesempatan di atas kepayahan buruh yang makan gaji.
Tragedi maut di Ipoh, Perak tempoh hari sudah cukup menginsafkan apabila seorang lagi individu menjadi ‘mangsa’ dalam insiden membabitkan pihak pengurusan sebuah kilang. Saya berpendapat, akibat kemurungan setelah digantung kerja, ditambah pula dakwaan tidak dilayan sama rata seperti teman sekerja yang lain, nyawanya dijadikan taruhan tanpa pengadilan.
Sungguhpun benar, kesalahan merosakkan harta benda tidak boleh dimaafkan tetapi jenayah menekan pekerja dan amalan diskriminasi atas dasar bangsa atau agama sebenarnya lebih menyeksakan dan harus dihukum!
Justeru, saya ingin membawa perhatian kepada peruntukan sedia ada iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di mana salah satu objektif pemakaian akta tersebut adalah menggalakkan majikan menyediakan persekitaran pekerjaan sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi pekerja termasuk mengadakan sistem peraturan atau tata amalan industri yang diluluskan.
Di kala penularan wabak Covid-19, pelaksanaan bekerja dari rumah sedikit sebanyak menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan sekali gus menyumbang kepada kes kesihatan mental yang semakin membimbangkan. Gejala ini boleh menyebabkan tekanan psikologi dan fisiologi seperti kemurungan dan kelesuan dalam kalangan tenaga buruh yang majoritinya golongan B40. Kesan seperti cepat marah, mudah penat dan terburu-buru dalam menyiapkan tugasan seharusnya menjadi amaran buat majikan untuk bersikap lebih bertoleransi, penyayang dan adil kepada semua pekerja bawahannya. Apatah lagi untuk tidak mengambil mudah tentang isu pembayaran gaji tepat pada masanya.
Persidangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 2 November lalu menyaksikan tindakan berani kerajaan melalui Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang membentangkan Rang Undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 bagi memperluas pemakaian akta itu agar meliputi lebih banyak sektor. Sekiranya diluluskan, pekerja di sektor awam dan swasta sudah boleh menarik nafas lega kerana bukan sahaja mereka boleh mengheret majikan yang bersalah ke Mahkamah Perusahaan, mengambil tindakan saman sivil, malah denda yang lebih tinggi boleh dikenakan ke atas majikan yang gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.
Menurut Seksyen 19 rang undang-undang tersebut, kegagalan mana-mana majikan untuk membentuk dasar keselamatan dan kesihatan pekerja membolehkan mereka didenda sehingga RM500,000, bukan lagi RM50,000 sebagaimana terkandung dalam akta asal.
Sesungguhnya isu menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja serta memastikan layanan sama-rata tanpa tindakan prejudis ke atas mana-mana kaum dan agama memerlukan usaha sama semua lapisan masyarakat. Oleh itu, saya menjemput mana-mana individu yang ingin melaporkan insiden diskriminasi atau penafian hak asasi seorang pekerja supaya segera mengambil tindakan dengan merujuk ke Jabatan Sumber Manusia atau menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) untuk mendapatkan bantuan lanjut. Jangan didiamkan diskriminasi sehingga ia menjadi barah dalam masyarakat kita.
Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)
(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 20 November 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)