Berkesankah Hukuman Jenayah Gangguan Seksual?

Cik Nur Farihah Meor Mazli Domestic Violence Legal Advocacy Viewpoints Youth

ABD al-Aziz Amir pernah berkata: “Pendidikan, pemulihan, bimbingan, dan taubat penjenayah ini telah diletakkan pada tempat yang pertama sekali sehingga keengganan orang ramai untuk melakukan jenayah akan berasaskan kepada kesedaran beragama dan dorongan diri sendiri dan bukannya kerana takutkan hukuman.” Dalam mendepani kebejatan sosial, ketirusan nilai dan keutuhan akhlak dalam masyarakat, kita yakin bahawa hukuman jenayah sedia ada perlu dinilai semula bagi menatijahkan solusi terbaik untuk masalah gangguan seksual yang semakin membarah saban hari.  

Terkini, dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari di negara ini sejak tiga tahun lalu dan permasalahan tersebut turut menjejaskan golongan remaja serta kanak-kanak lelaki yang tidak terkecuali daripada menjadi mangsa utama jenayah seksual.

Ini membawa kita kepada persoalan utama tentang objektif hukuman berbentuk pembalasan serta pencegahan yang dilaksanakan untuk mengatasi kes kesalahan-kesalahan seksual. Peruntukan undang-undang sivil terutamanya di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan Kanun Keseksaan [Akta 574] secara umumnya meletakkan hukuman penjara, sebatan dan/atau denda wang ringgit sebagai satu bentuk balasan ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan aksi atau tingkah laku seksual kepada mana-mana mangsa.

Sebagai contoh, hukuman maksimum untuk kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang diperuntukkan di dalam Akta 792 ialah penjara sehingga 30 tahun, denda RM20,000 dan mininum enam kali sebatan. Kebanyakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan di dalam Akta ini adalah bukan berupa pilihan dan perlu dilaksanakan tanpa gagal. Seksyen 25 Akta 792 memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalahlaku lelaki yang berumur lima puluh tahun ke atas walaupun seksyen 289(c) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa pesalah yang berusia 50 tahun dan ke atas tidak boleh dikenakan hukuman sebatan kecuali bagi kesalahan di bawah seksyen 376, 377C, 377CA dan 377E Akta 754. Salah satu cara bagi mengurus penjenayah dalam kes jenayah seksual selain sebatan mandatori ialah pemenjaraan bagi tempoh masa yang panjang iaitu penjara sehingga 20 ke 30 tahun.

Namun begitu, setelah pelbagai pindaan serta penambahbaikan hukuman bagi jenayah kesalahan seksual dilaksanakan, masih terdapat peningkatan jumlah jenayah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana wujud ratusan aduan serta lambakan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kesalahan bukan secara sentuhan fizikal seperti capaian ke laman pornografi, amang seksual seperti menunjukkan isyarat lucah dalam bentuk audio dan visual terutamanya melalui aplikasi sosial media.

 Hal ini menunjukkan undang-undang jenayah yang wujud ketika ini masih gagal untuk menghapuskan jenayah secara total. Purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia bermula dari era awal 90-an telah menjangkau sebanyak 9.5% setahun sebagaimana yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya sudah semestinya menjadi lebih terancam kerana mereka cenderung untuk menjadi mangsa. Hakikatnya, kita masih belum dapat mencatas akar masalah walaupun kekal setia bergantung kepada peruntukan hukuman sedia ada.

Punca kesalahan seksual ini dipercayai datang dari perasaan nafsu yang tidak dapat dikawal dalam diri. Ditambah pula dengan faktor luaran seperti akses kepada pornografi dan bahan lucah, akhirnya ia menentukan tindak tanduk seseorang itu apabila dia bertemu masyarakat. Di sinilah terletaknya kepentingan maqasid (tujuan) syariah yang menjaga nyawa dan keturunan seseorang serta menjunjung tinggi nilai kehormatan diri dan kesopanan yang asalnya memang sudah terpahat dalam budaya setempat.

Oleh itu, di samping peruntukan undang-undang yang lebih bersifat menghukum pesalah dengan hukuman yang boleh dinilai dengan mata kasar, kerajaan sudah perlu mula mengaplikasikan undang-undang jenayah Islam kerana ianya jauh lebih sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Undang-undang jenayah Islam secara syumul mengambil kira aspek hukuman balas, pencegahan dan pemulihan kerana ia adalah sebahagian proses untuk mengubah masyarakat ke arah kebaikan.

Usaha pemulihan akhlak, pembangunan institusi keluarga dan jiran tetangga, pembangunan sosial dan dakwah tidak akan berhasil tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam yang tidak hanya tertumpu pada tujuan keadilan secara retributif. Dalam melaksanakan hukuman ke atas pesalah, bukanlah rasa keseksaan itu yang menjadi tujuan utama tetapi bagi menimbulkan kesedaran yang dapat mengembalikan pesalah tersebut kepada jalan kebenaran dan menjauhkannya daripada jenayah tersebut. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zukhruf yang berbunyi: “Dan kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana) supaya mereka kembali (bertaubat)”.

Nur Farihah Meor Mazli ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Belia & Media WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 19 November 2021)