Kawalan Pergerakan, Lisan dan Tulisan Sepanjang Ramadan

Dr Nur Saadah Khair Education Hadith & Islamic Research Religious Rights Viewpoints

Ramadan telah pun tiba. Ia adalah bulan yang dinanti-nantikan kehadirannya untuk menjalankan ibadah berpuasa sepanjang sebulan dan menjadi amalan wajib ke atas umat Islam. Seperti Firman Tuhan: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.” [al-Baqarah: 183].

Tetapi tahun ini, Ramadan akan disambung secara lebih istimewa. Pada saat seluruh dunia diuji dengan penyakit dan kematian, semua penduduk sangat disarankan agar mematuhi arahan kawalan pergerakan. Perintah kawalan pergerakan ini akan berlanjutan sehigga tibanya bulan Ramadan. Masjid-masjid masih ditutup dan semua aktiviti yang melibatkan penglibatan ramai orang termasuklah solat terawih hanya boleh diteruskan di rumah maisng-masing sahaja. Ramai yang mengeluh tetapi tidak kurang ramainya yang memandang hal ini secara positif bagi menyelesaikan isu kesihatan ini semakin berlanjutan.

Hakikatnya, Ramadan juga adalah bulan untuk mendidik diri mengawal segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Berpuasa di bulan Ramadan bukan sahaja bertindak sebagai benteng yang melindungi diri untuk melakukan keburukan, tetapi juga mampu meredakan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada hal-hal yang dimungkari Tuhan.

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa itu adalah pelindung, dan jika seseorang dari kalian sedang puasa maka janganlah berkata kotor dan berteriak. Jika seseorang menghinanya atau menyerangnya maka hendakalah ia mengatakan: “Sesungguhnya saya sedang puasa”. [HR. Bukhari dan Muslim]

Malah, ia bukan tertumpu kepada perbuatan sahaja, tetapi mengawal lisan daripada perkataan yang tidak baik, dan juga mengawal tulisan untuk tidak menyakiti orang lain sama ada di dalam akhbar, media sosial, buku dan sebagainya.

Bulan ini juga dikenali sebagai madrasah, untuk mendidik diri dalam melakukan kebaikan  dan meninggalkan perkara yang dilarang. Rasulullah SAW menekankan bahawa “Jika datang bulan Ramadan maka pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dirantai” [HR Bukhari dan Muslim]. Saat ini, barulah disedari bahawa tewasnya diri kerana ingkar mengikut arahan bukan kerana syaitan lagi. Apabila syaitan diikat dan dibelenggu, maka ketahui bahawa nafsu manusia mungkin lebih dahsyat daripada godaan syaitan itu sendiri.

Banyakkan berdoa

Oleh yang demikian, di samping memperbanyakkan membaca doa memohon keampunan “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbu al-‘afwa (Ya Allah, Engkau maha pengampun yang menginginkan ampunan dari hamba-Mu maka ampunilah dosa kami)” [HR Tirmidhi], kita juga boleh berdoa untuk dijauhkan daripada perkara munkar seperti yang diajarkan Nabi SAW, “Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari akhlak, amal dan hawa nafsu yang munkar” [HR. Tirmidhi].

Berdoalah agar kita dijauhkan daripada mendapat sia-sia di dalam bulan Ramadan ini khasnya dalam tempoh PKP ini, dan diterima semua amalan yang dilakukan, serta istiqamah melakukan kebaikan pada bulan-bulan yang mendatang. Sesungguhnya Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan tentang kepentingan akhlak dan menjaga kata-kata di sepanjang Ramadan: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang tidak elok malah beramal dengannya serta (tidak meninggalkan) kejahilan, maka tiada gunanya di sisi Allah buat mereka yang meninggalkan makan dan minum mereka itu.” (HR. Bukhari)

Sebagai bulan tarbiyyah, Ramadan melatih diri untuk menanam segala sikap positif dan akhlak yang mahmudah untuk dituai pada bulan-bulan lain selepas Ramadan. Ini adalah kerana Islam menggalakkan untuk menunjukkan akhlak yang mulia bukan sahaja di dalam bulan Ramadan, tetapi pada setiap waktu. Abu Darda’ berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah sesuatu yang lebih berat di timbangan selain akhlak yang mulia.” (HR. Abu Daud dan Tirmidhi). Sesungguhnya keimanan seseorang boleh dinilai melalui akhlak dan budi pekertinya, malah akhlak merupakan kayu pengukur yang menjadi pemberat kepada amal ibadah seseorang.

Hiasi rumah dengan Ibadah

Tidak dapat ke masjid tidak seharusnya menjadi alasan utama untuk tidak berusaha untuk menjalankan Ibadah dan mencari malam terbaik yang disebutkan di dalam al-Quran. Rumah adalah destinasi terbaik untuk ber’uzlah tetapi perlu ada cara dan misi yang jelas.

Rasulullah SAW sendiri membahagikan masanya dengan baik apabila berada di rumah dengan ibadah dan aktiviti bersama keluarga. Tetapi, khasnya apabila tiba sepuluh malam yang terakhir, Rasulullah SAW akan menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejut ahli keluarga Baginda (untuk turut beribadah), bersungguh dan memperkemas ikatan kainnya (HR al-Bukhari).

Hadis ini perlu dilihat dari perspektif yang luas di mana kebiasaannya ditekankan hal baginda menjauhkan diri dari menggauli isteri dan memfokuskan diri dengan ibadah. Dalam masa yang sama, hadis ini juga menunjukkan akhlak baginda yang tidak mementingkan diri sendiri untuk beribadah sepanjang malam, kerana baginda akan mengejut ahli keluarga untuk turut serta mencari malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Hal ini perlu dipraktikkan di dalam keluarga untuk saling mengingati untuk memperbanyakkan ibadah di bulan Ramadan khasnya pada malam-malam sepuluh yang terakhir. Terdapat sebilangan lelaki yang menghabiskan masa di masjid dan meletakkan urusan anak-anak sepenuhnya kepada isteri tanpa memberi peluang kepada isteri untuk turut sama menjalankan ibadah. Ia bertentangan dengan apa yang telah digalakkan oleh baginda di dalam hadis tersebut.

Oleh itu, menyambut Ramadan dalam tempoh PKP ini adalah saat terbaik untuk menjalankan amal ibadah bersama keluarga di rumah masing-masing: bapa menjadi imam dan mengejutkan ahli keluarga untuk bangun malam, ibu mengajar anak-anak membaca al-Quran dan menghayati maknanya, anak lelaki boleh bergilir menjadi imam dan melaungkan azan, dan anak perempuan pula boleh memilih buku sirah dan berkongsi isi buku seisi keluarga. Semua ahli keluarga menjadi contoh antara satu sama lain dan berlumba-lumba meraih kenikmatan dalam mengejar ganjaran pada bulan Ramadan.

Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak!

Dr. Nur Saadah Khair
Exco Kajian Islam & Hadis
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *