‘Apa yang diperoleh daripada kebencian akan menjadi beban hidup kerana akan mencambahkan lebih banyak kebencian baru.’ – Mahatma Gandhi.
Dalam tahun 2019, kerajaan Kanada telah mentakrifkan Islamophobia sebagai sentimen ‘perkauman, stereotaip, prasangka, ketakutan atau permusuhan yang ditujukan kepada mana-mana individu Muslim atau pengikut Islam secara umum.’ Takrifan ini adalah selari dengan definisi yang diberikan Majlis Eropah yang turut mengklasifikasikan Islamophobia sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan ancaman terhadap perpaduan sosial.
Walaupun Malaysia tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai Islamophobia namun sentimen negatif ini dibendung melalui undang-undang yang mengharamkan ungkapan kebencian terhadap mana-mana agama. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau permusuhan, benci-membenci, niat jahat atau memudaratkan perpaduan atas alasan agama.
Prinsip ini turut diterapkan dalam Seksyen 211 serta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, bilamana seseorang menyiarkan atau membuat apa-apa komen yang mengganggu orang lain. Peruntukan ini tidak hanya terpakai kepada orang awam tetapi turut mengikat pengamal media yang menyiarkan berita atau rencana mereka atas talian.
Sudah tiba masanya pengamal media memainkan peranan yang lebih telus dalam menangani sebarang percambahan ungkapan kebencian terutama sekali, sentimen Islamophobia. Saranan ini mustahak memandangkan banyak media yang tidak segan dengan tanggungjawab mereka. Sikap tidak acuh sesetengah media dalam penyampaian berita mereka bukan saja mencemarkan amanah mereka untuk melaporkan berita dengan telus. Malah lebih buruk lagi, turut mencambahkan sentimen kebencian di kalangan rakyat Malaysia.
Melalui pemerhatian Penulis, terdapat trend berleluasa di kalangan media atas talian yang kerap menyiarkan berita dan rencana secara tidak telus sehingga menggambarkan Islam dalam imej yang buruk. Malah, taktik ini sering digunakan untuk mencipta fikiran terkepung (siege mentality) serta menyemarakkan sentimen kononnya Islam telah menindas dan menjadikan orang bukan Islam sebagai mangsa.
Sebagai contoh, sudah menjadi kebiasaan semasa musim perayaan atau sambutan pesta kebudayaan, akan ada media yang memainkan isu sama ada orang Islam boleh turut sama meraikan. Walaupun pandangan ilmuwan Islam mengenai hal ini sudah jelas dan nyata, namun isu ini tetap akan dimainkan berulang kali. Kesannya, ada golongan dalam masyarakat kita yang mengatakan Islam adalah agama yang keras, melarang dan menindas kerana melarang Muslim daripada meraikan perayaan yang berunsur keagamaan.
Sebagai contoh lain, media juga sering melaporkan isu yang melibatkan pekerti sebagai kekangan yang dikenakan atas dasar majoriti masyarakat Malaysia beragama Islam. Walhal, isu pekerti adalah norma kesusilaan untuk kebaikan masyarakat bersama dan tidak seharusnya dilihat hanya daripada kanta agama.
Trend ini pernah diakui oleh peguam, Haniff Khatri semasa beliau mempertahankan tindakan seorang penduduk Flora Damansara yang menegur kejiranannya untuk mengelak daripada perbuatan tidak bermoral termasuklah pengambilan minum beralkohol di tempat awam. Malangnya ada media yang melaporkan teguran tersebut sebagai percubaan untuk memaksa masyarakat bukan Islam agar mengikut akhlak berlandaskan ajaran Islam.
Baru-baru ini, berikutan insiden-insiden kemalangan maut yang diakibatkan oleh pemandu mabuk, kempen bantahan penjualan minuman keras di kawasan awam telah dimulakan. Sayangnya, dalam pada logik akal mendesak mana-mana rakyat yang cintakan keselamatan jalan raya untuk menyokong kempen ini, ada pula segelintir pihak yang mengecam kempen ini sebagai menyekat kebebasan rakyat Malaysia untuk memilih minuman arak. Kecaman ini turut mendapat liputan media yang luas sehingga menarik ulasan ramai rakyat yang mempolemikkan isu ini sebagai isu agama dan bukan lagi sebagai isu keselamatan.
Kecenderungan media untuk melaporkan sesuatu berita atau menyiarkan rencana yang memberikan gambaran salah terhadap agama Islam bukanlah perkara baru. Dengan komitmen Kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan nasional, langkah pertama yang harus diambil adalah menangani percambahan sentimen Islamophobia yang selalu disemarakkan dalam media.
Fatihah Jamhari
Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ
(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 31 Julai 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia.)