Raba Kemaluan untuk Mendidik?

Cik Fatihah Iliani Jamhari Islamic Family Law Legal Advocacy Legal and Human Rights Viewpoints Youth

GURU bukan dewa dan selalu benar. Dan murid bukan kerbau.’ – Soe Hok Gie

Pendidik memegang status sosial yang tinggi dalam mana-mana masyarakat. Mereka bukan saja pelita yang membakar diri bagi menerangi masyarakat dengan perkongsian ilmu di dada tetapi juga berperanan sebagai pakar rujuk dalam banyak hal kemasyarakatan. Tambahan pula, sepanjang masa pelajar berada di sekolah, para pendidik juga dianggap seperti ibu bapa yang memelihara kesejahteraan dan keselamatan pelajar.

Amat jelas bahawa sanjungan masyarakat kepada para pendidik bukan saja beralaskan ilmu mereka tetapi juga rasa hormat yang tinggi kerana pengabdian bakti mereka  yang besar. Malang sekali apabila tongkat membawa rebah. Minggu ini tular sekali lagi di media sosial dan portal alternatif tentang isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru-guru ketika di sekolah.

Sebetulnya isu ini telahpun dibangkit pada tahun lalu. Namun kembali berulang tahun ini dengan aduan yang hampir serupa. Antara aduan yang dikongsikan kononnya ada guru-guru wanita telah meraba kemaluan pelajar perempuan untuk memeriksa jika benar pelajar mempunyai alasan untuk tidak berpuasa. Lebih kotor lagi apabila ada pendidik yang meminta bukti kesahihan pelajar perempuan berhadas. Kononnya insiden sebegini banyak berlaku di sekolah-sekolah berasrama di mana para pelajar digalakkan untuk menjalani ibadah puasa dan bersolat secara berjemaah.

Biarpun apa sekalipun alasan yang ditawarkan, tiada nilai pengajaran mahupun hikmah yang boleh terbit daripada perbuatan keji mengganggu fizikal, emosi dan mental pelajar secara seksual. Perbuatan meraba mana-mana bahagian tubuh pelajar di bawah jagaan pendidik di sekolah adalah tetap dianggap gangguan seksual yang mendatangkan trauma. Perbuatan ini bukan saja pelanggaran etika dalam profesion keguruan tetapi juga jenayah di sisi undang-undang.

Dengan komitmen Kerajaan Malaysia yang telah menandatangani Konvensyen Hak Kanak-Kanak seawal 1995 serta penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], sepatutnya isu gangguan seksual ke atas kanak-kanak tidak lagi berbangkit dan berterusan. Malah, mukadimah Akta 611 dengan jelas menyebut bahawa akta ini digubal dengan mengiktiraf wawasan negara sebagai negara maju di mana keadilan sosial serta pembangunan moral, etika dan rohani adalah penting dalam mewujudkan suatu masyarakat Malaysia madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan.

Mukadimah ini jelas menunjukkan keutamaan yang diletakkan oleh Kerajaan dalam memartabatkan pembangunan moral, etika dan rohani masyarakat Malaysia termasuklah dengan mengangkat hak kanak-kanak. Mustahil untuk negara ini dilihat sebagai benar-benar komited kepada perjuangan hak kanak-kanak jika ada di kalangan para pendidik, yang digajikan sebagai penjawat awam, masih memandang enteng isu kesejahteraan dan keselamatan seksual pelajar di sekolah. Lebih-lebih lagi dengan melepaskan kebertanggungjawaban para pendidik yang mungkir amanah mereka, langsung melakukan sesuka hati tanpa mengambil kira kehormatan para pelajar yang diamanahkan di bawah seliaan mereka ini.

Tambahan pula, di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [Akta 792], menjadi kesalahan bagi mana-mana orang melakukan amang seksual dengan menyentuh mana-mana bahagian kanak-kanak, yang ditakrifkan sebagai sesiapa yang berusia 18 tahun ke bawah. Kesalahan ini selalunya akan dituduh secara bersama dengan mana-mana peruntukan yang mengharamkan pencabulan kehormatan di bawah Seksyen 354, 355, 377D, mahupun 509 Kanun Keseksaan.

Jika diamati dengan lebih mendalam, Seksyen 15 Akta 792 apabila dibaca bersama dengan peruntukan lain di bawah Kanun Keseksaan jelas mengharamkan perbuatan amang seksual bukan fizikal ke atas kanak-kanak. Di bawah peruntukan Seksyen 15, sebarang tindakan boleh dianggap sebagai amang seksual walaupun tidak berlaku sentuhan fizikal ke atas kanak-kanak. Ini boleh berlaku apabila ada pelaku yang menyuruh mangsa melakukan sebarang tindakan bersifat seksual.

Sudah tentu besar aib yang akan terpalit kepada institusi pendidikan jika menidakkan pengiktirafan Kerajaan bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia. Ke mana pergi sifat perikemanusiaan guru-guru yang ditugaskan untuk mendidik kanak-kanak di negara ini sehingga ada di kalangan mereka tergamak merendahkan kehormatan pelajar?

Penulis mendesak agar aduan yang dilakukan berulang kali saban tahun ini disiasat dan diberikan perhatian penuh oleh unit integriti yang ditugaskan memantau perilaku penjawat awam. Selain itu, Penulis berharap lebih ramai lagi pelajar yang melalui insiden ini segera melaporkan tindakan mana-mana guru yang mencabul kehormatan pelajar walaupun disamari niat murni untuk mendidik.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 23 April 2021)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *