Jauhi Hubungan Penuh Toksik dan Penderitaan

Viewpoints

ALLAH swt berfirman “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya, dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.” Petikan ayat ke-34 surah An-Nisa’ tersebut merupakan resipi teragung bagi melayari sebuah bahtera rumah tangga yang bahagia. Dalil peranan seorang lelaki sebagai suami dan wanita sebagai isteri sebagaimana dianjurkan Islam menjamin kedamaian sesebuah keluarga.

            Apabila seorang suami bertindak sebagai nahkoda utama dalam ssesebuah perkahwinan, maka si isteri perlu menggalas tanggungjawab selaku kemudi yang turut membantu menyeimbangkan ‘kapal’ saat datangnya gelora dan ribut dalam rumah tangga. Namun, rantaian demi rantaian isu rumah tangga yang timbul saban hari sedikit sebanyak menyesakkan jiwa. Walaupun statistik kes keganasan rumah tangga di seluruh negara yang dikemukakan Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff  menunjukkan penurunan daripada 576 kes tahun ini berbanding 627 kes tahun lepas, episod penderitaan dalam sesebuah institusi keluarga masih wujud.

Sudah tentu, kes-kes penafian hak ini lebih banyak dialami oleh pasangan wanita namun masyarakat tidak boleh memandang enteng kesan penderaan rumah tangga terhadap pasangan lelaki yang turut mengalami impak, luka dan parut yang setara. Menurut statistik yang pernah dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, hanya 13 peratus mangsa lelaki tampil membuat laporan bagi kes keganasan rumah tangga daripada jumlah 254 kes pada tahun 2020. Pelbagai faktor menyebabkan sang jejaka lebih berdiam diri dan tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti takutkan stigma masyarakat atau beranggapan boleh mengubah pasangan.

Saat dunia digemparkan dengan kisah Johnny Depp memfailkan saman fitnah terhadap bekas isterinya, Amber Heard berhubung dakwaan Depp  sebagai seorang pendera rumah tangga, sebahagian masyarakat mula sedar bahawa aib dan fitnah yang berleluasa di laman sosial mahupun dari mulut ke mulut boleh menjadi hujah utama kes tuntutan penceraian, malah bagi tuntuan pampasan ganti rugi berjumlah jutaan ringgit. Ramai seakan meragui  bagaimana seorang aktor terkenal yang jauh lebih gah dari sudut reputasi dan material boleh dijatuhkan oleh seorang wanita yang lebih muda. Namun, keputusan mahkamah di Virginia, Amerika Syarikat awal bulan ini memutuskan sebaliknya apabila terdapat bukti kukuh bahawa Johnny juga disakiti tubuh badan serta didera mentalnya. Benarlah kata pujangga, maruah lelaki terletak di lidah dan mulut seorang wanita.

Bersyukurlah peruntukan undang-undang negara ini menjamin perlindungan buat mangsa keganasan rumah tangga tidak kira wanita atau lelaki sebagaimana termaktub dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] (dibaca bersama Akta Keseksaan). Segala prosedur keselamatan dan proses mendapatkan perlindungan termasuk Perintah Perlindungan Interim di bawah Sekysen 4 Akta 521 boleh digunapakai buat pasangan suami yang melaporkan jenayah keganasan rumah tangga kepada pihak berkuasa.  Selain itu, Seksyen 10 Akta 521 menetapkan mana-mana pasangan boleh menuntut kos yang munasabah yang ditanggung akibat kesakitan atau penderitaan baik dari segi emosi atau fizikal. Tambahan, Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan tidak boleh ada diskriminasi dalam undang-undang termasuk jantina.

Jelas hubungan percintaan atau perkahwinan yang toksik boleh mendatangkan masalah yang lebih besar di kemudian hari. Kita seharusnya sudah tahu bahawa untuk hidup bersama pasangan yang mempunyai gangguan personaliti atau sedia bersifat narsisistik tanpa mendapatkan rawatan lanjut adalah seperti berjalan di  atas padang penuh periuk api. Golongan ini bukan sahaja kurang bersifat empati terhadap apa yang dilalui individu lain, malah mereka gemar mengambil kesempatan ke atas orang lain demi mencapai matlamat peribadi. Ibu bapa yang bersifat terlalu mengabaikan juga boleh menyebabkan seseorang itu menjadi individu narsisistik. Hal ini boleh dilihat apabila ahli psikologi, Shannon Curry yang merupakan saksi dikemukakan peguam Depp sewaktu perbicaraan kes beliau memberi keterangan bahawa Heard mempunyai sejarah gangguan kecelaruan personaliti menyebabkan beliau sanggup bertindak jelik terhadap bekas pasangannya.

Natijahnya, pejuang kesaksamaan jantina dan semua pihak berwajib perlu mengambil kira aspek undang-undang, polisi awam serta pembudayaan masyarakat yang lebih efektif dalam melindungi kesihatan dan keselematan individu di dalam rumah tangga. Lelaki yang disakiti juga memerlukan sokongan ahli keluarga dan jiran-tetangga sebagaimana seorang wanita yang terkurung dalam penderaan emosi, fizikal dan mental sewajarnya memperoleh bantuan daripada orang di sekeliling. Tiada alasan untuk masyarakat menatijahkan sesebuah kes keganasan rumah tangga itu berpunca daripada perbuatan pasangan yang lebih kuat kudratnya, kerana kadang-kadang yang tampak ‘gagah’ itulah sering dipijak-pijak hati dan perasaannya.

Nur Farihah Meor Mazli ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Belia & Media WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia menerusi sebuah kolum khas, Cakna pada 18 Jun 2022 melalui pautan: https://www.utusan.com.my/rencana/2022/06/yang-gagah-itulah-sering-makan-hati/)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *