Etika Media Tanpa Undang-Undang?

Cik Nur Farihah Meor Mazli Legal Advocacy Legal and Human Rights UDHR Viewpoints

MEDIA adalah entiti paling berkuasa di bumi. Mereka mempunyai kuasa untuk membuat orang yang tidak bersalah bersalah dan yang bersalah tidak bersalah dan itu adalah kuasa. Kerana mereka mengawal minda orang ramai.” – Malcolm X

Kemelut Covid-19 yang melanda negara ketika ini langsung tidak membantutkan peranan pengamal media dalam menyebarkan informasi dan berita terkini kepada masyarakat umum. Bahkan, sedang rakyat gusar menempuh kehidupan seharian dalam norma baharu, platform media massa menjadi medan paling ampuh dalam menyebarkan maklumat. Namun, pelbagai kontroversi sengaja direka dan lambakan berita palsu dicipta individu berkepentingan semata-semata inginkan pengikut yang berduyun-duyun dengan capaian yang meluas. Hal ini membimbangkan dek isu yang menjadi fokus utama iaitu penjagaan kesihatan dan keselamatan rakyat semakin terhindar daripada bualan netizen.

Seringkali pengguna mahupun pelopor industri media digital menyediakan kandungan tanpa mengambil kira etika yang sudah digariskan dalam undang-undang dan polisi negara. Sebagai contoh, sebuah portal media arus perdana tanpa segan silu memuat naik sebuah artikel yang berjaya menimbulkan kekeliruan rakyat mengenai kesahan tampuk pemerintahan negara baru-baru ini. Walaupun bunyinya seakan sahih dan boleh dipercayai, namun akibat sikap gelojoh dan taksub sesetengah pembaca terhadap figura politik dalam berita tersebut, terus mahu dibakarnya kelambu iaitu perumpaan bagi keharmonian dan perpaduan sedia ada penduduk di Malaysia.

Tidak melampau jika penulis katakan bahawa dunia pemberitaan beretika semakin lapuk dan pupus ditelan zaman pasca moden ini. Mana tidaknya, pengguna media terbukti banyak menghabiskan masa bermain aplikasi permainan di atas talian berbanding duduk membaca mana-mana rencana di halaman surat khabar yang dicetak mahupun layar media sosial di skrin telefon pintar. Bahana ini bukan sahaja memberi efek negatif pada ekonomi dan sosial negara, malah lebih sadis menggambarkan realiti umat manusia yang sudah tidak percayakan sumber maklumat utama mereka iaitu pengamal media arus perdana dan alternatif.

Agak tidak manis jika media sosial yang dijadikan alat perhubungan manusia dengan masyarakat seantero dunia turut dihukum sedemikian rupa. Sebaliknya, aspek etika perlu sentiasa ditekankan kepada pejuang papan kekunci dan pengguna aplikasi media sosial supaya mereka tidak pantas menafsir sesuatu kenyataan dengan sewenang-wenangnya. Pemberi maklumat pula perlu sentiasa diingatkan untuk memberi informasi terkini yang sahih, tepat dan adil kepada kedua-dua pihak. Rasa kesal akan mula menyelebungi diri sekiranya pengamal media bersikap tidak jujur dengan memaparkan berita palsu dan mereka-reka maklumat panas sehingga wujudnya salah faham dan kekacauan emosi yang mendalam pada rakyat umum. Akibatnya, emosi yang didahulukan berbanding kebenaran.

Walau bagaimanapun, sungguh janggal sekiranya kita mahu mengangkat suara demokrasi dan laungan negara berpelembagaan tanpa memetik hak-hak sedia ada bagi rakyat Malaysia seperti yang termaktub pada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Sewajarnya mana-mana pandangan yang tidak berniat mencetuskan kebencian, keganasan atau diskriminasi perlu diberi jaminan sebagai satu amalan dalam memenuhi hak kebebasan bersuara termasuk yang dibenarkan dalam arena media massa.

Penulis berpendapat bahawa kewujudan Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] sudah mampu untuk mengawal etika media dalam negara namun perlu diperhalusi akan pelaksanaannya. Sebagai contoh, Seksyen 233 (1) Akta 588 telah menetapkan bahawa adalah suatu kesalahan untuk melakukan komunikasi dalam talian yang “tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu orang lain”.

Manakala, Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun bagi sesiapa saja yang sengaja menghina atau memprovokasi sehingga menggugat ketenteraman awam. Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan pula menjadikan apa-apa perbuatan, menerbitkan, atau mengedarkan pernyataan, khabar angin atau laporan dengan niat untuk menyebabkan, ketakutan atau kegentaran awam sebagai satu kesalahan.

Akhir kalam, cabaran industri media hari ini membuktikan bahawa kepantasan maklumat tidak mampu untuk memastikan kesahihan dan kebenaran sesebuah berita sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Akibat industri media cetak mengalami kemerosotan yang mendadak sejak kewujudan internet, maka media sosial menjadi tempat berlegarnya individu dan organisasi tidak bertanggungjawab yang boleh menyebarkan sentimen sensitif dan menjentik perbalahan sesama netizen dalam sekelip mata. Ubatnya hanya satu; masing-masing perlu menghayati erti sebenar etika dan adab walaupun jika nanti undang-undang dikatakan mati.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family Institution & Quality Education (WAFIQ)

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 30 Oktober 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia.)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *