“PIAGAM yang telah diterima pakai pula, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalannya, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sebagai rakyat yang mengangkat ikrar Rukun Negara, antara pegangan falsafah yang perlu kita yakini adalah ‘Keluhuran Perlembagaan’. Keyakinan ini bererti kita harus mengangkat peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagai sesuatu yang luhur dan agung di tempatnya tersendiri dalam memelihara kedaulatan negara ini termasuklah meyakini bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan itu mengikat kerangka perundangan, ekonomi, malah sosial negara.
Antara pasak utama dalam Perlembagaan Persekutuan yang membentuk jati diri Malaysia adalah kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 3. Keistimewaan ini dipanjangkan lagi di peringkat setiap negeri; Undang-Undang Tubuh negeri mengagungkan Islam sebagai agama rasmi semua negeri kecuali Sarawak.
Kelangsungan keistimewaan Islam sebagai pasak negara Malaysia juga diikat kemas melalui ketinggian Perlembagaan Persekutuan. Ini jelas dengan melihat kepada peruntukan berikut yang menjadikan semangat Islam sebagai batasan yang dihormati:
- Perkara 3(2), 3(3) dan 3(5) yang mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Negeri sebagai Ketua Agama Islam;
- Perkara 11(4) yang membenarkan penggubalan undang-undang bagi maksud mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam;
- Perkara 12(2) yang memungkinkan penubuhan institusi-institusi Islam bagi maksud pendidikan ajaran Islam;
- Perkara 37 dan Bahagian III, Jadual Keempat yang meletakkan tanggungjawab memelihara Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman sebagai sumpah yang perlu diikrarkan Yang di-Pertuan Agong semasa pertabalan;
- Perkara 38(2)(b) yang meletakkan perbuatan, amalan atau upacara agama sebagai fungsi Majlis Raja-Raja; dan
- Perkara 97(3) yang membenarkan pengasingan pendapatan Zakat, Fitrah, Baitulmal atau hasil agama Islam ke dalam akaun kumpulan wang yang asingan daripada pendapatan lain.
Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan turut menekankan kerangka perundangan Syariah yang berdiri bebas daripada sistem perundangan sivil. Ini jelas melalui peruntukan berikut:
- Syarat dalam Perkara 5(4) yang menyebut bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, hakim mahkamah Syariah akan memainkan peranan sebagaimana peranan majistret dalam penangkapan kesalahan di bawah perundangan sivil;
- Perkara 76(6) yang mengecualikan kuasa Parlimen daripada menggubal undang-undang berkaitan dengan hukum Syarak sebelum Kerajaan Negeri dirundingi;
- Perkara 121(1A) yang mengasingkan bidang kuasa mahkamah sivil daripada bidang kuasa mahkamah Syariah;
- Perkara 145(3) yang mengecualikan hak Peguam Negara daripada pendakwaan di mahkamah Syariah;
- Perkara 150(6A) yang menghadkan kuasa Parlimen untuk menggubal apa-apa undang semasa tempoh Proklamasi Darurat hanya kepada peruntukan megenai perundangan sivil dan bukannya mengenai apa-apa hukum Syarak;
Keistimewaan ini tidak bernilai tanpa penzahiran melalui penerapan nilai Islam dalam dasar negara. Inilah yang dilakukan dalam pengolahan identiti Malaysia; roh dan nilai Islam diserap masuk dalam setiap aspek negara – baik dalam bidang ekonomi melalui pembentukan sistem perbankan mengikut teras Islam – mahupun melalui sistem sosial negara yang menerima moraliti Islam sebagai asas peraturan dan perundangan jenayah.
Meskipun negara ini tidak pernah mentakrifkan identiti dirinya sebagai sebuah negara demokrasi, namun secara halus sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan telah diterimapakai sejak kemerdekaan negara lain. Elemen asas sebuah demokrasi telahpun digunapakai dengan meluas di Malaysia termasuklah unsur (i) penyertaan rakyat dalam proses memutuskan hala tuju negara, (ii) kebertanggungjawapan setiap warga negara termasuklah mereka dalam kepimpinan dan pentadbiran negara, (iii) penyelesaian konflik mengikut sistem perundangan yang memilik keabsahan, serta (iv) keprihatinan terhadap kesaksamaan dan keadilan.
Mengambil elemen demokrasi berparlimen dalam penentuan teraju negara bererti setiap rakyat mempunyai peluang untuk terlibat dalam mentadbir negara ini. Namun jikapun pentadbiran negara diwakili oleh seorang yang tidak beragama Islam, keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang diletakkan sebagai Undang-Undang Utama Persekutuan seperti di bawah Perkara 4(1) mewajibkan setiap perlindungan dan penghormatan yang diberikan kepada keistimewaan Islam diperakui dan dipelihara.
Ini bermaksud setiap wakil rakyat yang mewakili suara penyertaan rakyat haruslah meletakkan tanggungjawab memelihara Islam sebagai amanah di pundak masing-masing. Ini kerana kegagalan memelihara kedudukan Islam seperti yang dimaktubkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan bukan saja mengakibatkan kecanggungan yang ketara malah lebih besar lagi, sebenarnya merupakan penghinaan dan pengkhianatan kepada negara yang boleh dianggap sebagai perbuatan menderhaka.
Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang merupakan Sultan Perak ke-34 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, adalah perlu diperingati semua rakyat untuk meyakini dan mendukungi Keluhuran Perlembagaan dan setiap peruntukan yang tersemat dalamnya. Kepincangan negara mutakhir ini dalam memelihara kemurniaan ajaran Islam adalah kerana kedangkalan rakyat dalam memahami pasak negara yang membentuk Malaysia sehinggakan ramai yang tidak segan melanggar asas jati diri sebagai warga negara.
Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
(Rencana ini telah pertama disiarkan di akhbar Utusan Malaysia dalam sebuah kolum khas, Cakna pada 4 Februari 2022)