Badan Kehakiman Negara Tercabar Atau Dicabar?

Cik Nur Farihah Meor Mazli Digital Media Legal Advocacy Viewpoints

ALMARHUM Sultan Azlan Shah pernah bertitah di dalam sebuah Multaqa bahawa “Sering disebut-sebut bahawa badan kehakiman adalah pengawal yang sebenar bagi keadilan. Maka sebarang kelemahan fungsi berbanding fungsi badan-badan lain tentulah akan menjejaskan neraca keadilan. Begitu juga sebarang penurunan keyakinan masyarakat terhadap kebebasan badan kehakiman, lumrahnya akan mewujudkan ketidakstabilan yang lazimnya memakan masa yang lama dan sulit untuk dipulihkan”. Mutiara kata mantan Ketua Hakim Negara itu amat sesuai diaplikasikan dalam memaknai sebuah pertikaian perundangan yang timbul baru-baru ini apabila Ketua Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terpalit dengan tuduhan bahawa terdapat konflik kepentingan sewaktu beliau mengadili satu kes rayuan melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak di dalam sebuah artikel terbitan blog tempatan.

Lebih mengejutkan apabila Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kemudian mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang menyelar dakwaan di atas dan menyatakan bahawa si pengarang artikel tersebut telah menganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman di samping berniat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti seorang Hakim. Tambahan, pelbagai pihak baik di dalam arena perundangan atau rakyat marhen menerusi pentas maya telah mengemukakan pandangan masing-masing bagi menjawab persoalan sama ada badan kehakiman wajar disiasat oleh pihak berautoriti atau selayaknya diberi kebebasan mutlak seiring dengan pemakaian dan pengamalan doktrin pengasingan kuasa selama ini.

Jika diperhatikan, sesetengah segmen masyarakat telah mengguna pakai peruntukan di dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu hujah asas untuk mengemukakan bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas Hakim Mohd Nazlan sebagai tidak berperlembagaan asbab peruntukan tersebut telah menetapkan suatu mekanisme khusus untuk menangani aduan atau laporan salah laku hakim atau “judicial misconduct”. Perkara 125 Fasal (3) Perlembagaan secara terperinci menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik suatu tribunal dan boleh atas cadangan tribunal itu memecat seseorang hakim daripada jawatannya sekiranya hakim tersebut melakukan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau atas alasan tidak berdaya untuk menjalankan tugas, antara lain.

Walau bagaimanapun, keseluruhan sepuluh fasal di dalam peruntukan Perlembagaan di atas tidak menyentuh apa-apa berkaitan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana hakim, termasuk sekiranya terdapat tuduhan berkenaan rasuah malah sebahagiannya hanya bercakap soal perlanggaran kod etika sahaja. Oleh kerana Perlembagaan tidak spesifikkan dimana, bagaimana dan apakah kaedah yang sesuai sekiranya seorang Hakim dilaporkan menerima dan memberi suapan atau didakwa atas jenayah kolar putih, logik akal saya beranggapan bahawa kita perlu merujuk pula kepada bidangkuasa badan berautoriti seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Bersesuaiandengan isu konflik kepentingan dan dakwaan mengambil wang haram, SPRM jelas mempunyai bidang kuasa perundangan yang sah untuk menyiasat kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana pegawai badan awam. Seksyen 3 Akta SPRM 2009 telah nyata mendefinisikan ‘pegawai badan awam’ sebagai ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri termasuklah hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, antara lain. Justeru, tindakan agensi kerajaan ini membuka kertas siasatan setelah menerima aduan rasmi mengenai hakim yang didakwa terlibat dengan najis rasuah wajar dipertahankan, sepertimana berbondong-bondong umat manusia mempertahankan keputusan kes-kes rasuah lain yang dikendalikan oleh SPRM sebelum ini.

Kenyataan berat sebelah yang dikemukakan oleh Presiden Badan Peguam, beberapa ahli profesional serta pemimpin politik bahawa tindakan SPRM menyiasat laporan berkaitan seorang Hakim sebagai tidak berperlembagaan adalah suatu kenyataan yang malangnya boleh memakan diri dan organisasi yang dianggotai. Saya pasti bahawa sekiranya terdapat dakwaan amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam atau individu-individu berprofil tinggi yang tidak berpihak kepada mereka, kumpulan sama ini sudah tentu akan membiarkan agensi berwajib menjalankan kerja mereka sehabis baik tanpa sebarang helah mahupun kata nista.

Selain itu, siasatan yang telus dan jujur terhadap hakim adalah bertepatan dengan fungsi doktrin pengasingan kuasa, dimana akan wujudnya suatu penyusunan kuasa melalui pentadbiran negara serta semak imbang antara cabang kerajaan seperti badan legislatif, badan eksekutif dan badan kehakiman. Apabila seseorang bercakap mengenai prinsip pengasingan kuasa, mereka perlu cakna bahawa para pesuruhjaya kehakiman hatta hakim Mahkamah Persekutuan sendiri tidak boleh lari daripada aduan dan siasatan jenayah yang dilaksanakan oleh badan-badan berkuasa sepertimana termaktub di dalam undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, seiring lunas Perlembagaan. 

Selanjutnya, pihak pentadbiran kehakiman perlu mengambil kedudukan berkecuali dan tidak masuk campur di dalam polemik yang digembar-gemburkan demi membangkitkan pertelingkahan tidak wajar antara kedua-dua badan kehakiman dan badan yang bebas pengaruh kuasa eksekutif. Rakyat sepatutnya dihidangkan dengan kebenaran dan kebenaran yang tertulis sejak dahulu ialah tiada siapa boleh duduk lebih tinggi dan agung dari undang-undang atau terlepas dari implikasi perundangan sekiranya mereka melakukan sebarang jenayah. Bahkan insan terulung, Nabi Muhammad SAW lebih awal lagi telah berpegang dengan prinsip “Rule of Law” apabila Baginda bersabda “Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad (iaitu puteri Baginda sendiri) mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya” untuk menegaskan fahaman beliau terhadap konsep keadilan; dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Maka, adalah lebih baik dan progresif sekiranya pihak SPRM diberi peluang dan ruang untuk menyempurnakan dapatan siasatan mereka tanpa ada ugutan-ugutan liar yang boleh menganggu-gugat peranan asal mereka untuk mencegah rasuah dikhuatiri nanti tugas hakiki tersebut tertangguh, lantas dibakulsampahkan begitu sahaja. Suara-suara sumbang bahawa badan kehakiman tidak boleh diintimidasi atau ditakut-takutkan oleh pihak bertanggungjawab hanya menunjukkan bahawa wujud bias atau double-standard dalam menyemak kuasa dan fungsi hakim malah ia mampu menurunkan keyakinan masyarakat terhadap para hakim sewaktu mereka beraksi di dalam kamar perbicaraan.

Natijahnya, neraca keadilan yang sebenar perlu dinilai melalui kaca mata Perlembagaan secara berprinsip tanpa ada sebarang kepentingan peribadi atau campur tangan politik, malah bebas dari rayuan serta pujukan pihak luar. Pentadbiran badan kehakiman bukan sahaja harus bebas dari sebarang fitnah durjana malah perlu dijamin bebas dari pegangan dan telunjuk pemimpin serta percaturan kuasa asingagar khalayak umum kembali yakin serta percaya.

Nur Farihah Meor Mazli ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Belia & Media WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia menerusi sebuah kolum khas, Cakna pada 21 Mei 2022 melalui pautan: https://www.utusan.com.my/premium/2022/05/badan-kehakiman-negara-tercabar-atau-dicabar/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *