Fitnah Orang Kayangan

Cik Fatihah Iliani Jamhari Digital Media Domestic Violence Education Legal Advocacy Viewpoints

REPUTASI yang baik lebih berharga daripada wang.” – Publilius Syrus, penulis Latin.

Keputusan kes saman fitnah di antara pelakon Hollywood Johnny Depp lawan bekas isterinya, Amber Heard, baru saja dikeluarkan. Barisan juri sebulat suara memutuskan bahawa Heard perlu membayar pampasan sebanyak USD10 juta untuk ganti rugi am dan USD5 juta untuk ganti rugi punitif kepada Depp. Namun memandangkan undang-undang di Virgia, Amerika Syarikat menghadkan ganti rugi punitif kepada USD350 ribu saja, maka Hakim Penney Azcarate telah memutuskan agar had ini dipatuhi.

Sedangkan Depp pula diarahkan membayar pampasan USD2 juta kepada Heard untuk tuntutan balasnya. Tuntutan balas Heard adalah menarik memandangkan ia berpaksi di atas penyataan yang bukan disiarkan oleh Depp, sebaliknya oleh peguamnya, Adam Waldman semasa kes saman fitnah yang dibawa oleh Deppsedang berjalan di England dalam tahun 2020.

Kes ini mendapat liputan meluas media dan mengundang minat orang ramai untuk mengikuti rapat perkembangan kes bukan saja kerana figura yang terlibat adalah pelakon Hollywood yang terkenal tetapi juga kerana intipati kes melibatkan isu yang sangat sensitif di mata masyarakat. Pendedahan Heard kononnya Depp telah melakukan keganasan rumah tangga sepanjang perhubungan mereka, termasuklah keganasan seksual terhadapnya, bukanlah tuduhan ringan yang boleh dipandang enteng.

Selepas pendedahan itu, Depp digugurkan daripada dua projek filem besar dan banyak penerbitan filem di Hollywood enggan bekerjasama dengannya akibat jelek dengan reputasi Depp yang terpalit sebagai seorang kaki pukul isteri. Dalam hujahan penutup pihak Depp, peguamnya Benjamin Chew menekankan bahawa kes terpaksa dimulakan Depp kerana ingin memelihara reputasinya bukan saja di mata dunia tetapi reputasi Depp di mata anak-anaknya.

Tuduhan kononnya seorang lelaki membelasah isteri sehingga lebam mata dan patah hidung, malah mencabul isteri dengan botol arak adalah tuduhan berat. Sesiapa saja yang mendengar tuduhan seumpama ini sudah tentu akan memihak dengan mangsa. Ini kerana kesalahan mengasari ahli keluarga adalah sesuatu yang amat jelek di mata masyarakat.

Reaksi sama diberikan untuk kes tular sebelum ini melibatkan Chris Brown dan Rihanna. Malah kes dalam negara ini melibatkan remaja Sindrom Down, Bella yang kononnya didera penjaganya masih memenuhi dada akhbar setiap kali perbicaraan kes jenayah terhadap tertuduh berlangsung.Ini kerana reaksi negatif masyarakat terhadap mereka yang bertindak ganas, terutama terhadap ahli keluarga mereka, adalah berpatutan dan munasabah. Masyarakat tidak mahu hidup bersama ahli komuniti yang tidak mampu menghormati hak orang lain, apatah lagi mereka yang menindas hak ahli keluarga sendiri.

Maka, amat jelas apabila tuduhan kononnya keganasan rumah tangga telah berlaku, mereka yang terlibat dalam perhubungan itu akan secara tidak langsung melemparkan diri mereka untuk diteliti. Setiap mesej, emel, perbualan malah hadiah Depp dan Heard dibawa ke mahkamah untuk menunjukkan pola dan sejarah perhubungan mereka.

Segala cerita dalam kain yang selama ini tidak dipertontonkan kepada masyarakat kini disajikan sebagai bahan berita. Aib yang selama ini ditutup kini diperagakan sebagai hiburan. Ini semua diperlakukan untuk memulih semula reputasi yang tercalar dek tohmahan tidak benar yang disiarkan.

Di Amerika Syarikat, beban pembuktian untuk plaintif yang menuntut pampasan bagi fitnah terhadap dirinya adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Pihak yang menuntut perlu membuktikan bahawa i) kenyataan itu dibuat dan diterbitkan oleh pihak lawan, ii) kenyataan itu adalah mengenainya, iii) kenyataan itu adalah palsu, iv) kenyataan tersebut mempunyai implikasi fitnah terhadap plaintif, v) implikasi fitnah adalah rekaan atau dengan niat defendan, dan vi) keadaan di mana penerbitan itu dilakukan menyampaikan implikasi fitnah bagi sesiapa yang membaca atau mendengar kenyataan itu.

Tambahan pula, selain perlu dibuktikan bahawa tohmahan adalah tidak benar, plaintif di Amerka Syarikat juga perlu menunjukkan defendan berniat jahat, yakni membuktikan bahawa kenyataan itu dibuat dengan pengetahuan bahawa ia adalah palsu ataudefendan secara melulu gagal untuk menyelidik kebenaran kenyataan itu.

Berbanding di Malaysia di mana pembuktian saman fitnah hanya berkisar kepada tiga perkara iaitu sama ada: tohmahan telah disiarkan oleh defendan kepada pihak ketiga, tohmahan merujuk kepada plaintif, dan tohmahan adalah memfitnah dengan menjatuhkan reputasi plaintif. Elemen niat jahat hanya perlu dijawab di peringkat mematahkan pembelaan defendan.

Dalam kes Johnny Depp lawan Amber Heard, barisan juri telah dirujukkan dengan semua elemen di atas dan dengan adil harus menghakimi isu tunjang dalam tohmahan-tohmahan yang diterbitkan. Antara isu yang harus diteliti adalah sama ada seorang lelaki boleh dimangsakan oleh seorang isterinya. Isu ini masih dianggap taboo di seluruh dunia yang melihat lazimnya wanita yang dimangsakan oleh lelaki.

Tanggapan taboo ini sering dimanipulasi oleh isteri yang mengasari pasangan mereka sehinggakan ramai sekali para suami yang menjadi mangsa tidak menyuarakan keganasan yang dilakukan terhadap diri mereka. Semoga selepas ini lebih ramai lelaki juga bangkit bagi menuntut hak mereka apabila mereka dikasari oleh isteri.

Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, menerusi kolum Cakna pada 3 Jun 2022 melalui pautan berikut https://www.utusan.com.my/rencana/2022/06/suami-jangan-takut-tuntut-hak-jika-dikasari-isteri/)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *