“KALAU ahli perundangan tak berasa tersinggung kerana pelanggaran undang-undang, sebaiknya dia jadi tukang sapu jalanan.” – Pramoedya Ananta Toer
Setelah berjuang nyawa hampir sebulan, akhirnya Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, menghembuskan nafas akhir beliau untuk kembali mendakap Sang Pencipta. Segala macam spekulasi tentang reaksi masyarakat timbul yang menyemarakkan lagi api perkauman. Rata-rata masyarakat melihat pemergian perwira negara ini berpunca daripada kegagalan kerajaan untuk membendung isu ini dengan baik, tambahan lagi apabila ada pula ahli politik yang bengap dengan penuh angkuh memainkan sentimen perkauman.
Masyarakat tegas mendesak agar hukuman setimpal diberikan kepada mereka yang telah membunuh seorang ahli bomba dan penyelamat, yang hanya berada dalam kawasan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman untuk menjalankan amanah yang terletak di pundaknya. Keadilan dunia menuntut segala kesalahan haruslah diadili mengikut sistem perundangan yang ada. Tapi bagaimana apabila undang-undang yang ada dianggap terawang-awang?
Terdapat 18 jenayah yang membolehkan pemakaian hukuman mati termasuklah kesalahan mengedar dadah, berkomplot terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, termasuklah menyebabkan kematian mangsa penculikan atau rogol, memiliki dan menggunakan senjata api. Awal bulan Oktober lalu, kerajaan mula mengumumkan hasrat untuk menghapuskan hukuman mati mandatori dan telah mengadakan moratorium untuk kesalahan jenayah melibatkan dadah.
Aktivis hak asasi manusia ramai yang melaungkan keperluan untuk menghapuskan dan menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup. Hujahan mereka berlangsung daripada asas memberikan kehormatan kepada setiap yang hidup. Namun bagi waris mangsa bunuh misalnya, langkah ini dilihat tidak setimpal sebagai hukuman ke atas pesalah yang menyebabkan kehilangan nyawa orang yang mereka sayangi.
Adakah langkah kerajaan cuba memansuhkan hukuman mati sudah mengambil kira keadaan sosial dalam masyarakat Malaysia? Dikhuatiri jika pemansuhan dilakukan tanpa pengkajian yang terperinci, kes-kes jenayah berat yang boleh merosakkan fabrik sosial negara ini akan semakin bercambah sehingga menyebabkan keporak-perandaan yang dahsyat.
Sebagai contoh, apabila berlaku pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, berlaku kes jenayah tembak-menembak di khalayak ramai termasuklah semasa mangsa berhenti di lampu isyarat.
Kewujudan undang-undang itu sendiri adalah untuk mengawal selia kehidupan masyarakat bagi memastikan interaksi sesama ahli masyarakat berjalan dengan baik. Undang-undang adalah hukum dunia yang memastikan hak dan tanggungjawab ahli komuniti diagihkan dan dipikul secara adil dan saksama, agar kelangsungan masyarakat terpelihara.
Maka sebarang perubahan yang melibatkan undang-undang ini haruslah dibuat hanya selepas memastikan pindaan itu tidak akan mengganggu fungsi keseluruhan sistem perundangan. Jika berlaku pindaan yang mematikan fungsi perundangan sedia ada, maka pindaan itu hanyalah permulaan ke arah merosakkan keharmonian negara.
Tidak tercapai dek akal untuk memikirkan bagaimana mudahnya korban nyawa anak muda yang sepatutnya masih punya jalan panjang untuk berbakti kepada keluarga, bangsa, agama dan negara beliau. Tidak dapat dibayangkan bagaimana pelaku jenayah yang meragut nyawa perwira negara ini layak untuk teruskan hidup dalam pada jiwa yang tidak bersalah sudah pun terkorban oleh sikap kejam mereka.
Kerajaan sebagai lembaga yang dilantik untuk mengelola negara ini tidak boleh dengan pongah melakukan sewenang-wenangnya dengan sistem perundangan yang sudah terbentuk dalam negara ini. Menarik keluar salah satu aspek perundangan dalam sistem ini hanya akan menyebabkan kebobrokan ketara terutama jika pindaan tidak mengambil kira pandangan masyarakat itu sendiri.
Fatihah Iliani Jamhari
Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ