Penggunaan Ayat Al-Quran Oleh Transgender

Dr Sanusi's Article

Terdapat beberapa pertanyaan yang diajukan kepada kami tentang individu transgender yang menggunakan ayat al-Quran bagi menyokong pendirian mereka.

Pertamanya, kami amat menghargai usaha transgender ini untuk memahami al-Quran dalam perkara yang melibatkan kehidupan mereka. Namun penafisran al-Quran haruslah menggunakan method yang telah digariskan oleh sarjana tafsir.

Bimbang akan berlakunya penyelewangan makna al-Quran untuk kepentingan tertentu, Rasulullah ﷺ memberi amaran keras kepada Muslim supaya berhati-hati dalam menafsirkan ayat al-Quran. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: Barangsiapa yang mengatakan sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu maka dia telah menempah tempatnya dineraka.

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَأَصَابَ فَقَدْ أَخْطَأَ
Maksudnya: Barangsiapa yang berkata berkenaan al-Quran (menafsirkannya) dengan pandangannya sendiri, sekiranya benar sekalipun maka dia telah tersilap.

Dalam menghuraikan hadith di atas, al-Imam Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa mereka yang menafsirkan al-Quran dengan pandangan sendiri tetap akan dianggap salah kerana mengeluarkan penafsiran tidak melalui metodologi yang telah digariskan oleh ulama tafsir. Penafsiran al-Quran seharusnya dkeluarkan melalui asas ilmu tafsir yang telah dibangunkan oleh sarjana tafsir. (Majmuk al-Fatawa)

Pertanyaan Elisha Kor Krishnan Tentang Makna Ulil Irbah
========================
1. Pada 13 Ogos 2018, Elisha telah memuatnaik respon beliau berhubung kenyataan Menteri Agama tentang penggunaan tandas wanita oleh golongan transgender. Elisha mendakwa bahawa Dr. Mujahid tidak mempunyai pengetahuan am berhubung perkara ini. Ungkap Elisha “beliau (Dr. Mujahid) yang tidak mempunyai pengetahuan am mengenai isu ini lalu ia mendapat perhatian dari PKKUM”…

  1. Elisha kemudian membawa ayat 31 daripada tafsir Surah al-Nur yang antara lain seakan menjadi dalil bagi mereka bahawa golongan “Ulil Irabti” ini adalah transgender yang dimaksudkan di dalam al-Quran. “Ulil Irbati” pada umumnya adalah istilah yang diterjemahkan sebagai lelaki yang tidak mempunyai nafsu terhadap perempuan.
  2. Timbul persoalan di sini, apakah benar “Ulil Irbati” ini dimaksudkan sebagai transgender? Apakah yang dimaksudkan dengan lelaki yang tidak bernafsu seperti yang disebutkan di dalam al-Quran? Bolehkan transgender menggunakan istilah “Ulil Irbati” ini buat diri mereka?
  3. al-Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa Ulil Irbati ini adalah golongan lelaki yang lemah fikiran dan tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Penafsiran ini tidak secara direct menggolongkan transgender sebagai Ulil Irbati.
  4. Ibnu Qudamah pula memberikan penafsiran yang lebih luas. Beliau menafsirkan Ulil Irbati sebagai lelaki yang telah hilang syahwatnya terhadap perempuan samada disebabkan oleh sudah tua, sakit atau cedera. Beliau turut tidak memasukkan al-Mukhannath (transgender) sebagai penafsiran bagi kalimah ini.
  5. al-Imam al-Qurtubi pula menggunakan istilah al-Ahmaq (lelaki yang bodoh atau kurang waras, atau lemah fikiran) yang tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Lelaki kategori ini adalah hamba suruhan yang tidak memikirkan perkara lain melainkan berkhidmat buat tuannya.
  6. Cuma al-Imam al-Qurtubi ada juga meletakkan pandangan yang kedua berhubung penafisran ini dengan memasukkan al-Anin (lelaki lemah yang tidak berkemampuan untuk bersetubuh), al-Khasi (lelaki yang telah dikembiri) dan al-Mukhannath (lelaki yang berperwatakan perempuan @ transgender).
  7. al-Imam al-Tabari memberikan sedikit gambaran mengapa lelaki-lelaki pelayan atau budak suruhan ini tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Ini adalah kerana mereka adalah golongan hamba yang lemah akalnya serta disibukkan dengan tugasan harian sehingga mereka tidak pernah memikirkan soal syahwatnya.
  8. Persoalannya, di dalam setiap penafisran yang dibentangkan oleh sarjana Fiqh dan Tafsir ini, dimanakah letaknya golongan transgender di dalam penafsiran mereka? Sekiranya diteliti sekali imbas, golongan ini boleh dikategorikan sebagai al-mukhannath (iaitu lelaki yang berperwatakan wanita). Namun apakah pendirian Rasulullah ﷺ terhadap golongan mukhannath ini?

Benarkah Rasulullah Membernarkan Mukhannath Menjadi Pelayan Sahabat?
======================
Di dalam ruang komen juga terdapat pengkomen yang mengemukakan dalil bahawa dalam sebuah hadith Rasulullah ﷺ membenarkan golongan mukhannath ini menjadi pelayan buat mereka.

Benar, memang terdapat riwayat sedemikian. Namun terdapat juga hadith yang melarang golongan mukhannath ini duduk bersama wanita. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menceritakan bagaimana seorang mukhannath (lelaki berperwatakan wanita) duduk di dalam rumah Ummu Salamah, isteri Rasulullah ﷺ. Mukhannath ini dikatakan berbual dengan Abdullah ibn Abi Umayyah (saudara kepada Ummu Salamah) tentang perihal wanita Taif (anak-anak perempuan Ghaylan) yang mempunyai tubuh yang gebu. Mendengar perbualan ini Rasulullah ﷺ melarang mukhannath ini dari bersama dengan wanita Muslimah. Ini kerana mukhannath tersebut akan mengetahui aurat dan sosok tubuh wanita Muslimah sehingga boleh mendedahkannya kepada orang awam. Dengan itu Rasulullah ﷺ menegaskan:
لا يدخل هؤلاء عليكم
“Jangan biarkan mereka ini (mukhannath) masuk bersama dengan kamu!”

KESIMPULAN
===========
Perbahasan berkenaan dalil-dalil yang melibatkan golongan ini memerlukan masa. Pihak JAKIM, USIM dan WAFIQ telah berusaha mengkaji dan meneliti pendirian Islam berhubung perkara ini. Adalah dinasihatkan agar penggunaan dalil dari al-Quran dan hadith haruslah menggunakan methodologi yang telah digariskan oleh sarjana silam serta penelitian tentangnya mestilah dijalankan secara holistic dan tidak bersikap selective.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah WAFIQ
Pensyarah Fakulti Quran & Hadith
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *