Tuntutan Hijab Dalam Islam

Featured

Di dalam al-Quran, Allah telah berfirman dalam Surah al-Nur, ayat 31: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan dadanya dengan khumur

Para mufassir bersepakat bahawa Istilah khumur yang disebut di dalam ayat tersebut adalah merujuk kepada kain yang dipakai di atas kepala wanita. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Jahiliyyah juga memakai khimar tetapi melabuhkannya ke belakang sehingga menampakkan aurat seperti leher, anting-anting, dan lurah dada. Tetapi selepas ayat ini diturunkan, ia jelas menyatakan bahawa wanita diperintahkan untuk melabuhkan khimar mereka ke hadapan sehingga menutupi perhiasan-perhiasan, yakni aurat mereka.

Malah istilah ‘jalabib’ atau ‘jilbab’ yang disebut dalam Surah al-Ahzab, ayat 59 menjadikan hijab atau tudung sebagai sebuah tuntutan untuk memelihara kehormatan wanita. Allah berfirman: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.”

Tuntutan hijab juga disokong oleh Nabi Muhammad SAW yang menyaksikan bahawa ramai wanita mendapat siksaan kerana tidak menutup aurat dengan sempurna. Baginda bersabda: “Dua kategori penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti (pemukul) seperti ekor lembu dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (mereka memakai pakaian tetapi tidak menutup keseluruhan aurat), mereka cenderung untuk tidak mentaati Allah dan mempengaruhi orang lain daripada mentaati Allah, dengan kata lain mereka mengajak-ajak lelaki melakukan zina), mempunyai sanggul seperti bonggol unta (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan tertentu” (HR Muslim).

Berdasarkan dalil-dalil yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah, pandangan yang melontarkan bahawa pemakaian hijab adalah bukan sebahagian daripada tuntutan agama adalah tidak tepat sama sekali.

 

Larangan berhijab adalah tindakan tidak wajar

Beberapa kes telah dicatatkan bahawa masih terdapat larangan berhijab di tempat kerja di negara kita, dan tindakan ini adalah tidak wajar kerana ia bukan sahaja menyekat kebebasan seseorang individu untuk mengamalkan tuntutan agama, tetapi juga menyekat hak kebebasan wanita dalam etika berpakaian.

Ia juga tidak wajar berlaku di Malaysia yang mengiktiraf Islam adalah agama rasmi persekutuan seperti yang disebut dalam Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah, setelah hampir 70 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, larangan berhijab masih wujud, sedangkan pakaian menjolok mata pula sewenangnya dibenarkan.

Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas untuk membenarkan wanita memakai hijab di tempat kerja sama ada di badan kerajaan atau badan bukan kerajaan. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa kebenaran ini tidak bertujuan untuk memastikan semua wanita perlu memakai hijab.

Pilihan berhijab adalah hak bagi individu – walaupun ia dituntut dalam agama – tetapi larangan untuk berhijab perlu diambil tindakan, dan peluang untuk wanita berhijab di tempat kerja perlu diberikan dengan adil dan saksama.

Di England, Perdana Menterinya, Theresa May membenarkan mana-mana wanita beragama Islam untuk mengamalkan hijab tanpa perlu rasa takut. Malah beliau mengatakan: “Berkenaan dengan penggunaan hijab, sokongan diberikan kerana apapun yang dikenakan oleh kaum wanita merupakan pilihannya.”

Malah, Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand juga memakai hijab sebagai tanda sokongan kepada solidariti, serta menghormati amalan yang telah dipraktikkan Muslim untuk memakai hijab di seluruh dunia. Terdapat banyak lagi contoh yang mempamerkan keterbukaan golongan bukan Islam terhadap isu pemakaian hijab dan isu ini sering mendapat perhatian lokal dan antarabangsa.

Persoalannya, bagaimana negara yang tidak memegang kepada agama boleh memberi kebebasan kepada wanita untuk berhijab, sedangkan larangan berhijab di tempat kerja masih wujud di sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Beberapa usaha telah dijalankan untuk menyediakan garis panduan bahawa pemakaian hijab sebenarnya tidak menjejaskan sesuatu pekerjaan atau merosakkan imej seseorang wanita.

 

Diskriminasi Kepada Wanita Berhijab

Selain daripada permasalahan tersebut, kewujudan diskriminasi terhadap wanita yang memilih untuk berhijab adalah pada tahap yang membimbangkan. Ia berlaku khasnya di sektor swasta yang membuat penilaian dalam sesi temuduga berdasarkan pemakaian hijab.

Hal ini telah dilaporkan oleh Malaysiakini pada Mac 2019 (https://www.malaysiakini.com/news/466969) yang mendedahkan kajian yang telah dijalankan oleh Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) telah mendapati bahawa wanita  yang tidak bertudung lebih mudah mendapat panggilan temu duga kerja, berbanding mereka yang memakai tudung. Biarpun dua wanita mempunyai kelayakan yang sama, tetapi penilaian dijalankan melalui gambar yang menunjukkan berhijab dan tidak berhijab.

Diskriminasi terhadap isu pemakaian hijab ini adalah tidak adil sekiranya tiada justifikasi yang tepat dalam aspek penilaian terhadap pekerja berdasarkan aspek luaran semata-mata. Ia menunjukkan bahawa penindasan terhadap wanita yang mengamalkan tuntutan agama telah berlaku secara tidak langsung kerana hak untuk beragama adalah sebuah hak asasi manusia.

 

Bertudung Bukan Suatu Paksaan

Terdapat juga perkongsian yang menjadikan hijab atau tudung dijadikan sebagai salah satu pengalaman untuk membezakan kehidupan di antara ketika memakai tudung dan selepas membuat keputusan untuk tidak bertudung. Sebagai contoh, baru-baru ini Maryam Lee telah melancarkan bukunya yang bertajuk Unveiling Choice disusuli forum membincangkan isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung di Petaling Jaya.

Hal ini mencetuskan kebimbangan kerana ia seperti galakkan kepada ramai wanita Muslimah untuk memilih tidak bertudung di atas nama kebebasan dan hak individu. Rentetan daripada isu tersebut, Latheefa Koya Abdullah telah melontarkan pandangan tidak bersetuju jika pengajaran Islam hanya berasaskan pemakaian seseorang, kerana baginya, tiada paksaan untuk memakai tudung.

Ayat 256 daripada Surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa la ikraha fiddin tidak sama sekali bermaksud bahawa bertudung juga bukan suatu paksaan. Ayat tersebut ditujukan kepada aspek aqidah, iaitu tidak boleh memaksa manusia memeluk Islam. Walaupun sedia maklum bahawa tiada paksaan untuk memeluk agama Islam, tetapi menerima Islam bererti bersedia menerima undang-undang yang telah digariskan oleh Islam.

Ia benar bahawa bertudung bukan suatu paksaan, tetapi menjadi tuntutan dan kewajipan. Sesungguhnya perintah dan tuntutan untuk bertudung dan berhijab telah jelas dinyatakan di dalam al-Quran, dan individu berhak memilih. Akan tetapi, mereka juga perlu memahami bahawa akan terdapat konsekuensi yang harus diterima selaras dengan pilihan tersebut.

Badiuzzaman Said Nursi dalam bukunya yang bertajuk Tuntuan bagi Perempuan telah berkata: “ Sesungguhnya perintah al-Quran untuk berhijab, disamping merupakan fitrah, ia melindungi perempuan – yang merupakan kasih sayang dan teman setia abadi bagi suaminya – dari kerendahan, kehinaan, dan keremehan.

Sebagai perlindungan, hijab dan tudung adalah sebuah bentuk pakaian yang menutup luaran dan fizikal. Akan tetapi, hijab yang paling utama yang menjadi perisai kepada seorang wanita adalah hijab dalaman dengan mendidik diri dengan sikap taqwa dan malu kepada Tuhan sekiranya tidak mengamalkan tuntutan agama.

 

Dr Nur Saadah Khair, Exco Dakwah WAFIQ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *