Pengkhianat Negara Makin Ramai

Cik Fatihah Iliani Jamhari Leadership Legal Advocacy Legal and Human Rights Viewpoints

‘Patriotisme adalah kesetiaan kepada negara sepanjang waktu, kesetiaan kepada pemerintah ketika mereka layak.’ – Mark Twain. 

Apalah yang sudah jadi dengan jati diri dan rasa bangga kepada negara dalam jiwa rakyat Malaysia. Sudah terkuburkan semuanya? Terlalu banyak kelakuan biadap yang dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga merendahkan setiap hal berkaitan dengan identiti negara. Seolah-olah kejayaan negara membendung penularan pandemik COVID19 langsung tidak menginsafkan rakyat nan tidak kenang budi di bumi bertuah ini.  

Sejak tahun lalu, Malaysia melihat kebiadapan segelintir rakyat negara ini yang dengan angkuh dan tanpa segan-silu mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik. Langkah tegas daripada pihak PDRM khususnya dalam bulan kemerdekaan dipandang tidak enteng apabila masih ada lagi insiden-insiden serupa dilaporkan sehinggalah minggu ini. 

Ada yang mendesas-desuskan kononnya Jalur Gemilang yang dikibarkan terbalik adalah protes pihak tertentu kepada keadaan politik dan pemerintahan negara mutakhir ini. Untuk mereka ini, tiada nama yang lebih sesuai dirujuk untuk gelaran mereka selain ‘pengkhianat’. Ini merendahkan lagi kepaduan sosial dalam negara yang sudah sedia meleset. Sedangkan kepincangan politik tidak boleh menghalalkan penghinaan kepada negara. 

Ramai penulis yang memetik kewujudan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 [Akta 414] bagi menyandarkan hujahan menyokong penahanan dan penalti ke atas mana-mana pihak yang mengibarkan Jalur Gemilang secara salah. Walaupun pada 31 Oktober 2012, melalui Warta Jilid 56, No. 22, ‘Jalur Gemilang’ telah dimasukkan ke dalam Jadual Bahagian I dan Bahagian II, Akta 414 namun, kemasukan ini hanya menjadikan kesalahan di bawah Seksyen 3 bagi mana-mana pihak yang menggunakan lambang dan nama dengan tidak wajar dalam apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

Maka, walaupun di bawah Seksyen 5 Akta 414, mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan ini, boleh dikenakan penalti tetapi pemakaian undang-undang ini tidak merangkumi mereka yang dengan sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara salah jika di luar dari bidang perniagaan. Oleh itu, penangkapan dan penyiasatan PDRM ke atas aduan dalam hal ini rata-rata merujuk kepada kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan [Akta 574] atau kesalahan kelakuan menghina bagi membangkitkan pecah keamanan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336]. 

Peruntukan undang-undang sudah ada dan jikapun tidak memadai, bolehlah diperjelaskan lagi. Namun, undang-undang tanpa taring tidak akan mampu membendung sifat bongkak pengkhianat negara yang memandang mudah setiap gentian yang membentuk fabrik Malaysia. Tidak cukup dengan penghinaan kepada bendera yang melambangkan kedaulatan Malaysia, diinjak juga bahasa kebangsaan yang menjadi identiti sosial negara. 

Penulis memandang dengan jelak sikap langgar bahasa sekumpulan aktivis Pemuda Sosialis DAP Sarawak (DAPSY) yang terang-terang bongkak, angkuh dan biadap apabila mereka menampal nama jalan dalam tulisan hanzi. Tindakan yang kononnya bermotifkan niat menyemarakkan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk di Sarawak hanyalah bagai jelongak kerbau rampung. Kesombongan yang dizahirkan daripada kejahilan kepada semangat negara. 

Digembar-gemburkan kononnya kerana Sarawak tidak pernah memilih untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negeri, maka dibolehkan sebarang tindakan yang merendahkan bahasa kebangsaan ini. Lebih-lebih pula jika tindakan ini menggunakan justifikasi kononnya bagi mewujudkan kepelbagaian dan meraikan budaya unik etnik yang bermacam-macam di Sarawak. Adakah kerana Sarawak sentiasa mengambil pendirian berbeza daripada negeri-negeri lain yang membentuk negara ini, maka dibolehkan setiap warga Sarawak memilih identiti yang lari daripada jati diri kebangsaan Malaysia? 

Tindakan mereka ini sebetulnya mengharapkan bakar tak berbau walhal rakyat semua maklum intipati mesej tersembunyi yang cuba disampaikan. Tambahan pula, setiap perlakuan ini dilakukan dalam tempoh masa yang sangat strategik apabila negara menghampiri tarikh keramat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-63. Sudah-sudahlah memuntahkan ulangan alasan kelainan dan keunikan budaya masing-masing bagi merendahkan identiti negara. 

Rakyat yang masih cintakan Malaysia, serta serba semua yang merangkumi kelangsungan negara ini, sudah muak. Rakyat yang mampu mencintai, menghormati dan meninggikan darjat Malaysia tidak wajar duduk sama rendah dengan mereka yang tidak segan mengkhianati kepaduan sosial negara ini. Tiba masanya dibezakan antara kami dan mereka; mana yang setia, mana yang durjana.  

Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 28 Ogos 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *