Perkasa Wanita Melalui Pendidikan

Cik Nur Farihah Meor Mazli Digital Media Education Leadership Viewpoints Women

DALAM satu surat Raden Ayu Kartini (R.A Kartini) kepada rakan penanya, Abdendanonbertarikh 21 Januari 1901, beliau menulis; “Di pangkuan perempuanlah seseorang mulai belajar merasa, berfikir dan berkata-kata. Dan makin lama makin jelaslah bagi saya, bahawa pendidikan mula-mula itu bukan tanpa erti bagi seluruh kehidupan. Dan bagaimanakah ibu-ibu Bumiputra dapat mendidik anak-anaknya, kalau mereka sendiri tidak berpendidikan?” Petikan tersebut sudah pasti menimbulkan rasa insaf dalam diri masyarakat tatkala masih ada yang beranggapan bahawa wanita harus disekat daripada peluang pendidikan komprehensif dek peraturan adat dan budaya.

            Tanggal 21 April 2022 tidak lagi asing buat penduduk di Nusantara yang amat merindui dan menghargai perjuangan R.A Kartini, seorang tokoh Jawa dan pelopor kebangkitan wanita di Indonesia. Pejuang hebat ini telah berjaya membina legasi sehingga namanya dipateri sebagai salah satu hari bersejarah buat penduduk di negara seberang. Masakan tidak, awal abad ke-19 telah menyaksikan bagaimana perempuan di sana dihimpit dengan aneka bentuk diskriminasi. Mereka ‘dikurung’ daripada kebebasan sosial akibat desakan hidup dan cengkaman pimpinan berkiblatkan feudalisme sehingga hampir kesemuanya hanya duduk di rumah dan tidak dapat bersekolah sehingga usia awal remaja. Hal ini bertitik tolak daripada Belanda yang bersikap pilih kasih untuk memberikan akses pendidikan kepada rakyat biasa demi menjayakan misi mereka menjarah Indonesia.

            Namun begitu, konteks pemikiranulung R.A Kartini yang banyak tersemat dalampenulisannya hadir ibarat suatu anjakan paradigma buat kaum Hawa di Jawa. Hasrat dan impian perempuan di sana untuk menimba ilmu dan bercampur dengan dunia luarsetara kaum lelaki akhirnya tercapai. Tindakan bijak pahlawan Jawa ini untuk mendidik para bangsawan terlebih dahulu telah membuahkan hasil apabila masyarakat kelas rendah di pedalaman menjadikan mereka sebagai contoh ikutan, lantas mewujudkan satu komuniti mapan yang mampu mengubah polisi dan adat lapuk masyarakat ketika itu.

Kesan perjuangan individu hebat seperti R.A Kartini, ramai wanitamoden kini tidak segan atau sempit mindanya untuk sekadar menghiasi diri dan rumah atau sekadar duduk menunggu pinangan orang tanpa keinginan mengaut ilmu duniawi dan ukhrawi secukupnya.Seringkali kita didedahkan dengan pencapaian demi pencapaian rakyat, khususnya kaum wanitayang cemerlang dari sudut akademik, sosial, ekonomi, sukan dan politik. Penduduk wanita di Malaysia tidak ketinggalan dalam pendidikan apabila dasar mewajibkan semua rakyat ke sekolah telah lama dikuatkuasakan oleh kerajaan. Akses kepada pendidikan wanita di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut meningkat dan Malaysia terbentuk sebagai salah sebuah negara yang mencapai kesetaraan jantina dalam pendidikan di sekolah rendah, menengah dan IPT.

Akibat kepesatan ilmu, wanita mampu memegang jawatan tertinggi di tampukpentadbiran dan pengurusan lalu berjaya memacu dunia korporat. Tambahan, ada sebahagian yanglayak memegang jawatan pemimpin negara, ahli politik, hakim dan penggubal undang-undang di peringkat kerajaan Persekutuan. Nyata, agama tidak pernah melarang umat manusia keluar mencari ilmu dan berusaha sedaya upaya kerana mana mungkin sesiapa bergantung pada takdir dan nasib sahaja. Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa: “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya” (HR Muslim).

Dr. Akram Nadwi di dalam bukunya yang berjudul ‘Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam’ turut merekodkan bahawa terdapathampir lapan ribu ulama dan ilmuwan wanita sejak kurun pertama hijrah yang berjaya mendidik jutaan insan pada zaman dahulu. Saat kegemilangan tersebut menunjukkan bahawa akses pendidikan kepada wanita telah lama diberikan asbab kemajuan akal dan pegangan teguh pada akidah suatu ketika dahulu. 

Namun, usah kita lupakan bahawa masih terdapat golongan muda yang tercicir daripada pembangunan sektor pendidikan di Malaysia. Sebagai contoh, wujud kanak-kanak perempuan tanpa kewarganegaraan dan pelarian di Sabah yang tidak berpeluang ke sekolah arus perdana. Pelbagai initiatif telah dikemukakan untuk menutup kelompongan besar dalam dasar kerajaan setempat ini. Bersyukur dengan adanya pemerkasaan ‘agenda Sekolah untuk Semua’ serta pelaksanaan program #TagupiMembaca oleh Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti, (WAFIQ), mereka yang ketinggalan ibarat menemui cahaya di hujung terowong. 

Umum juga perlu sedar bahawa untuk maju kehadapan, pendidikan wanita seharusnya dipagari daripada nilai-nilai hedonistik dan liberal agarperanan asal mereka selaku pendidik dan pencinta ilmu, tidak diganggu gugat. Budaya maksiat yang berleluasa serta hidangan hiburan melampau sebenarnya boleh melunturkan semangat individu daripada keluar mencari ilmu. Justeru, usaha keras dan komitmen jitu wanita dalam pencarian ilmu diharap dapat mencairkan semangat individualistik dan kebendaan yang semakinmenebal di era milenial ini.

Tuntasnya, ilmu ibarat cahaya yang dapat menjadi perisai kukuh buat wanita agar mereka dapat mendidik generasi akan datang sambil tekun memelihara kehormatan diri. Perjuangan membebaskan diri wanita daripada segala bentuk diskriminasi dan penindasan bukan sahaja bermula dari rumah, malah ia bermula dari rahim seorang ibu lagi. Ibu yang sedia terdidik serta santun adab dan budi pekertinyapasti mampu membesarkan anak-anak yang berilmu dan berani menyatakan kebenaran. Semoga semua yang bergiat aktif dalam menjayakan usaha memperkasa wanita dirahmati Allah, termasuklah si jiwa berani, Ibu Kartini.

Nur Farihah Meor Mazli ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Belia & Media WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia menerusi sebuah kolum khas, Cakna pada 21 Januari 2022 melalui pautan: https://www.utusan.com.my/rencana/2022/04/di-pangkuan-wanita-kita-belajar/)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *