Mengkritik Hujah Golongan Pro-LGBT – Bahagian 4

LGBT

KISAH NABI LUTH

Salah seorang pengamal dan pendokong LGBT adalah Irshad Manji. Dia adalah seorang aktivis yang lantang mempromosikan dirinya sebagai seorang wanita muslim yang lesbian. Bahkan dia hidup bersama dengan seorang perempuan lesbian lain berketurunan Yahudi. Dalam bukunya Allah, Liberty, and Love, Irshad Manji berusaha menimbulkan kekeliruan tentang kisah kaum Nabi Luth. Tanpa memberikan bukti-bukti yang kuat, dia menyatakan bahwa kisah kaum Nabi Luth bukan berkenaan tindakan homoseksual mereka, tapi tentang pemerkosaan lelaki normal terhadap lelaki normal yang lain. Pemerkosaan tersebut boleh jadi merupakan dosa yang disengajakan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengembara. Kisah kaum Nabi Luth merupakan gambaran tentang hal kekuasaan dan orang yang dikuasai. Tuhan menghukum mereka kerana mereka menyekat laluan perdagangan dan mengumpul kekayaan serta tidak hormat terhadap orang luar. Namun, setelah menyatakan pendapat itu, Irshad Manji sendiri meragui pendapatnya. Dia menyatakan,

“Aku tidak tahu apakah itu benar.”(Allah, Liberty, and Love:132).

Irshad Manji menyebutkan bahawa kisah kaum Nabi Luth bukan berkenaan tindakan homoseksual mereka, tapi tentang pemerkosaan lelaki normal terhadap lelaki normal yang lain. Seolah-olah dia hendak menyatakan bahawa jika dilakukan bukan dengan cara pemerkosaan, maka hubungan seksual antara sesama lelaki yang dilakukan oleh kaum Luth tidak akan dijatuhi hukuman oleh Allah. Istilah pemerkosaan lelaki normal (straight) terhadap lelaki normal lain merupakan istilah aneh yang dibuat-buat oleh Irshad Manji sendiri.

Perkataan pemerkosaan mengandungi unsur paksaan dan kekerasan. Biasanya, pemerkosaan lelaki terhadap lelaki lain terjadi antara lelaki dewasa terhadap kanak-kanak lelaki atau remaja yang berada di bawah kawalan si pelaku. Hal ini yang terjadi dalam kes-kes pedofilia. Tetapi, dalam kes yang terjadi dalam kalangan kaum Luth, yang digambarkan oleh Al-Qur’an, hubungan seksual itu dilakukan terhadap rijal. Dalam bahasa Arab, rijal itu menunjukkan makna lelaki dewasa (Lisan al-Arab, juz 11, hal. 265).

Oleh itu, boleh difahami bahawa tindakan hubungan seksual di antara lelaki yang dilakukan kaum Luth adalah perbuatan sengaja antara sesama lelaki dewasa, bukan antara seorang lelaki dewasa terhadap seorang kanak-kanak atau remaja. Di samping itu, Al-Qur’an Surah an-Naml 55 menggambarkan tindakan hubungan seksual sesama lelaki oleh kaum Luth dengan menyatakan “Mengapa kamu mendatangi lelaki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan (mendatangi) wanita?” Jika memang ada unsur pemerkosaan, tentu bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an tidak sekadar “mendatangi”, tapi menggunakan perkataan yang lebih keras yang menunjukkan adanya unsur paksaan dan kekerasan. Perkataan “mendatangi dengan syahwat” memberi maksud tersirat bahwa tindakan homoseksual tersebut dilakukan dengan sedar, tanpa ada unsur pemerkosaan. Jika benar sekalipun tindakan homoseksual oleh kaum Luth itu adalah bentuk pemerkosaan seorang lelaki terhadap lelaki lain, ia tetap merupakan tindakan dosa yang tidak dibenarkan dalam Islam. Bukan hanya kerana ada unsur pemerkosaan, sebaliknya jika tidak ada unsur pemerkosaanpun, hubungan seksual sejenis tetap merupakan sesuatu perbuatan dosa yang dilarang dalam Islam. Hal ini dijelaskan oleh Nabi dalam banyak hadis. Sayangnya, Irshad Manji nampaknya sama sekali tidak menyentuh hadis Nabi Muhammad yang juga berperanan sebagai penjelas kepada ayat-ayat Al-Qur’an.

Irshad Manji dengan sewenang-wenangnya memahami Al-Qur’an, tanpa memerhatikan hadis-hadis Nabi Muhammad mahupun usul fiqh yang dikembangkan oleh para ulama.Turunnya azab Allah terhadap kaum Luth yang begitu dahsyat dan mengerikan, sudah tentu bukanlah kerana kesalahan remeh yang dilakukan oleh mereka. Dalam Surah al-Ankabut ayat 29 disebutkan bahwa perbuatan dosa yang mereka lakukan itu di antaranya adalah tindakan homoseksual, menyamun,dan mengadakan perbuatan mungkar di tempat pertemuan mereka. Azab yang ditimpakan kepada mereka adalah karena himpunan perbuatan dosa yang mereka lakukan. Kerana itulah, Ibnu Hazm berpandangan bahawa azab terhadap kaum Luth itu ditimpakan kepada mereka tidak hanya kerana tindakan fahisyah mereka iaitu berhubungan sesama jenis, tetapi juga kerana kekafiran mereka (al-Muhalla, juz 11, hal. 385).

Di antara perbuatan dosa paling besar yang dilakukan oleh kaum Luth tersebut adalah perbuatan homoseksual. Hal ini kerana perbuatan homoseksual kaum Luth disebut oleh Al- Qur’an dengan tambahan predikat sebagai ‘perbuatan yang sebelumnya tidak pernah dilakukan oleh siapa pun’. Di samping itu, perbuatan dosa berupa homoseksual disebut di dalam Al-Quran sebanyak tiga kali (QS. Al-A’raf: 80, QS. An-Naml: 54; al-Ankabut: 28). Sementara perbuatan dosa lain seperti menyamun (dalam Bahasa Irshad Manji: menyekat laluan perdagangan), dan melakukan perbuatan mungkar di tempat pertemuan mereka hanya disebutkan sekali oleh Al-Qur’an, iaitu pada Surah al-Ankabut ayat 29 saja. Oleh itu, merupakan pendapat yang sangat keterlaluan jika Irshad Manji mendakwa bahawa azab yang ditimpakan oleh Allah kepada kaum Luth adalah bukan kerana tindakan homoseksual mereka, tapi hanya kerana “mereka menyekat laluan perdagangan dan mengumpul kekayaan, dan tidak hormat terhadap orang luar”.

Tidak mungkin Allah yang Maha Adil dan Maha Pengasih menimpakan suatu azab yang begitu dahsyat dan mengerikan kepada kaum Luth jika mereka hanya melakukan perbuatan-perbuatan dosa yang remeh dan kecil. Pendokong LGBT yang lain iaitu Khoirul Anwar juga mengutarakan pandangannya tentang kisah kaum Nabi Luth dalam Al-Quran. Dalam artikelnya di laman Islam Liberal, dia menyatakan bahawa “mesej yang hendak disampaikan dalam kisah ini (kaum Luth) bukan sebagai larangan LGBT, tetapi sebagai ‘cerita penghibur’ untuk menguatkan mental Nabi Muhammad dalam berdakwah yang ditolak masyarakat golongan Quraisy. Nabi dimotivasikan agar tidak patah semangat dalam berdakwah, menegakkan Hak Asasi Manusia dan membela kaum lemah yang tertindas (mustadh’ifin) sebagaimana para pendahulunya.”

Pandangan Khoirul Anwar ini sungguh keterlaluan. Menyatakan kisah kaum Luth hanya sebagai “cerita penghibur untuk Nabi Muhammad” memberi maksud tersirat bahwa Khoirul Anwar menganggap kisah tersebut seolah-olah mitos belaka yang diragukan kebenarannya. Padahal kisah Nabi Luth tidak hanya disebutkan oleh Al-Qur’an, tetapi juga di dalam Injil dan Taurat. Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru menyebutkan pula kisah perbuatan homoseksual yang dilakukan kaum Nabi Luth. Banyak juga kajian-kajian ilmiah yang membuktikan adanya daerah Sodom dan Gomora yang dihancurkan pada zaman Nabi Luth. Ada kajian yang dilakukan oleh Werner Keller, arkeologis Jerman. Ada pula kajian yang dilakukan oleh dua orang geologis Amerika, Graham Harris dan Anthony Beardow. Bahkan Graham Harris menulis buku khusus tentang kehancuran kota Sodom, iaitu The Destruction of Sodom. Ada pula kajian yang dilakukan oleh Frederich Gardner Clapp, seorang ahli geologi dari Amerika.

Terkini, sekumpulan arkeologis yang dipimpin oleh Steven Collins dari Trinity Southwest University, New Mexico, Amerika Serikat pada bulan September 2015 mengumumkan bahwa mereka menemui tinggalan kesan runtuhan kota Sodom. Khoirul Anwar juga mengaitkan kisah Nabi Luth ini dengan “dakwah Nabi Muhammad untuk menegakkan Hak Asasi Manusia”. Pandangan ini seperti hendak mengaitkan bahawa orientasi seksual adalah sebahagian dari hak asasi manusia yang harus dibela. Ini adalah pandangan yang sungguh menyesatkan. Dakwah Nabi Muhammad tidak ada kaitannya dengan perjuangan Hak Asasi Manusia ala Barat yang sering kali merobek sendi-sendi syariat. Nabi Muhammad berdakwah untuk menegakkan tauhid dan syariat Allah. Sementara jelas sekali syariat Allah bertentangan dengan konsep hak asasi manusia ala Barat yang menganggap bahawa LGBT adalah sebahagian dari hak asasi manusia yang harus dibela.

Artikel ini disusun semula dari artikel asalnya yang bertajuk Kritik Argumen untuk Pendukung LGBT oleh Abdurrasyid Ridha, Ketua KUA Kecamatan Gabuswetan Kabupaten Indramayu Jawa Barat, 2016.

Koleksi Penuh

Bahagian 1. Ghairi Ulil Irbah
Bahagian 2. Wildan Mukhalladun

Bahagian 3. Syakilah
Bahagian 5. Larangan Homoseksual

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *