Hukuman Mati Untuk Perasuah

Cik Fatihah Iliani Jamhari Legal Advocacy Legal and Human Rights Viewpoints

“APABILA kuasa dianggap peluang untuk memenuhi kepentingan diri dan bukan amanah untuk mengimarahkan bumi Allah, maka rosaklah tata urus pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Antara perihal yang dibangkitkan dalam Belanjawan 2021 tempoh hari adalah usaha kerajaan untuk memastikan keberkesanan Pelan Antirasuah Nasional (NACP). NACP diniatkan sebagai dokumen utama yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah merangkumi isu tadbir urus, integriti dan antirasuah menerusi suatu kerangka bersepadu.

Ahli-ahli Parlimen turut memperbahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan sama menekankan kepentingan pengurusan kewangan negara yang baik bagi membanteras pembaziran, ketirisan, salah urus dan rasuah. Ada ahli Parlimen membangkitkan insiden rasuah yang tidak terbendung dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga memungkinkan lebih berjuta-juta pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapat kad pengenalan palsu. Ada pula yang membangkitkan keberkesanan NACP dalam penangkapan secara besar-besaran ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah penipuan Macau Scam.

Terbaharu, timbul pula insiden kartel daging sejuk beku yang memberi sogokan wang dan imbuhan seksual kepada pegawai-pegawai kerajaan bagi meloloskan pergerakan ini. Taktik jahat kartel daging ini bermula dengan menyeludup daging sejuk beku dari Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China sebelum membungkusnya semula menggunakan logo halal lalu menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pada 8 Disember lalu, menjawab di Parlimen dan memberikan pengesahan tiada daging babi dijumpai dalam serbuan, namun tetap memualkan apabila dikhabarkan sindiket ini membawa masuk daging kuda serta daging kerbau termasuklah daripada ternakan yang berpenyakit melalui proses penyembelihan tidak sah.

Sungguhpun negara berhabisan jutaan ringgit untuk menggajikan pegawai-pegawai kerajaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) import daging sejuk beku dipatuhi, namun nampak jelas langkah ini hanyalah satu pembaziran apabila ada ramai sanggup menjual maruah diri kepada sindiket ini yang sudah beroperasi sejak 1980-an lagi. Malah menurut laporan akhbar, kartel daging haram ini mempunyai orang dalam di semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk negara.

Kesan rasuah kepada negara bukan sekadar merosakkan proses SOP yang digarap kemas bagi melincirkan kerja-kerja negara seharian. Lebih malang lagi, kesan rasuah kini membusung dalam perut-perut rakyat marhaen yang sudah berpuluh tahun menelan daging haram hasil kerakusan pegawai kerajaan yang tidak segan dengan amanah masing-masing. Mengikut resmi bagaikan hinggap seperti benalu, tabiat buruk penerima rasuah ini bukan hanya merosakkan diri dan keturunan mereka tetapi juga membinasakan agensi kerajaan yang mereka wakili.

Rakyat lelah memikirkan gelaran yang wajar diberikan kepada pegawai-pegawai yang digajikan kerajaan, dengan hasil kutipan cukai daripada rakyat, tetapi mungkar kepada amanah dalam berkhidmat untuk masyarakat. Jika dikatakan hukuman yang diperuntukkan undang-undang masa kini tidak mencukupi, maka disarankan agar Malaysia mengambil langkah lebih tegas dan mengikut langkah negara-negara seperti China, Korea Utara, Iran, Iraq, Indonesia, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar serta Maghribi, yakni dengan meminda undang-undang agar pesalah boleh dikenakan hukuman mati.

Bukankah kakitangan kerajaan yang menerima rasuah itu pengkhianat negara? Tidakkah tindakan mereka itu wajar dilihat sebagai kesalahan terhadap negara yang membolehkan hukuman mati?

Untuk apa mereka duduk bernaung di bawah kedaulatan Malaysia jika mereka memandang ringan kedaulatan undang-undang negara?

Dalam pada menteri-menteri berterusan mengulang-ulang isu integriti bagaikan ratib harian mereka, pegawai kerajaan yang bekerja di jalanan dan lorong gelap di seluruh negara semakin nipis iman dan tipis amanah. Buat menteri-menteri kayangan ini, sudah-sudahlah berbenak di awangan sehingga kalian buta dengan realiti. Perhatikan anak-anak buah di kementerian masing-masing yang saban tahun mampu bersilih ganti kenderaan import serba mewah.

Harus ditanyakan juga kepada penerima rasuah ini – tidak jijikkah mereka dengan lendir-lendir rasuah yang disuapkan kepada anak-anak saban hari?

Jangan nanti sehinggakan rakyat terasa jijik setiap kali ada orang yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai kerajaan, takut-takut orang itu juga sudah terbiasa dengan resmi rasuah yang membarah dalam setiap agensi kerajaan dan terpalit sama kekotorannya.

Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 25 Disember 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis di Utusan Malaysia)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *