Wujudkah ‘Rogol’ dalam Perkahwinan? – Bahagian 4

Domestic Violence Islamic Family Law Marital Rape Religious Rights Tuan Muhammad Syafiq Mukhtar Viewpoints

DALAM memahami tanggungjawab dan kekangan moraliti atau etika dalam hidupan seharian seorang Muslim, kita harus yakini bahawa Syariah membentuk sistem peraturan yang menyeluruh termasuklah dalam bab perkahwinan. Seorang Muslim bukan saja harus menghormati kawalan keras yang termaktub dalam peruntukan undang-undang negara tetapi juga kawalan lunak dalam peraturan moraliti yang dibentuk daripada norma agama dan sosial masyarakat Islam di Malaysia.

 Walaupun isu tanggungjawab pasangan berkahwin sudah acap kali dibincangkan dalam penulisan sebelum ini, namun masih ramai yang enggan mengiktiraf prinsip Islam dalam membentuk etika kehidupan berkahwin. Walhal, dalam isu pembentukan undang-undang jenayah berkaitan paksaan dalam hubungan kelamin pasangan berkahwin, parlimen sebagai penggubal undang-undang telahpun membahaskan isu ini dengan mengambil kira pegangan agama Islam, sebagai agama yang terbesar dianuti di Malaysia.

Inilah yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen semasa membentangkan dapatan mereka pada 12 Julai 2006 dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 di Dewan Rakyat; pindaan yang sama mengekalkan Pengecualian di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan dalam pada menambah masuk Seksyen 375A. Dapatan ini dibentuk selepas mengambil kira representasi atau pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak termasuklah pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Semasa perbahasan pindaan kepada Kanun Keseksaan, Mendiang Dato’ Seri Utama Karpal Singh telah mempersoalkan pandangan Islam mengenai hal ini dengan bertanya jika benar ada peruntukan dalam al-Quran atau hadith yang membenarkan suami mengasari isteri semasa menuntut nafkah batin. Sudah tentu apabila isu ini dibangkitkan, kita akan sering teringat kepada hadith yang diulang-ulang para penceramah tentang kewajipan isteri meladeni permintaan suami.

Hadith yang masyhur riwayat oleh Zayd Ibn Arqam menyebut, “Seorang wanita tidak akan (sempurna) menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya, dan sekiranya dia (suami) memintanya (untuk bersetubuh) di atas Qatbi (pelana di atas unta) dia (isteri) (seharusnya) tidak menolak.” Hadith lain yang selalu dipetik adalah mengikut Riwayat al-Bukhari 3237, “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”

Namun perlu ditekankan, hadith ini terpakai juga apabila mengatakan hak isteri terhadap nafkah batin daripada suami dan juga tidak boleh dibincangkan tanpa menyebut batasan tuntutan hak itu. Sebagai contoh, hadith yang diriwayatkan Sahih al-Bukhari 5204, merekodkan penghormatan yang harus diberikan oleh seorang suami terhadap keselamatan fizikal isterinya, meskipun isterinya itu boleh didisiplinkan kerana melakukan kesalahan (seperti penolakan hubungan intim ketika suami mengajaknya). Dalam riwayat `Abdullah bin Zam`a, Rasulullah melarang hubungan intim bagi seorang suami yang mengasari fizikal isterinya: “Rasulullah  berkata, “Tidak seorang pun daripada kamu boleh mengasari isterinya seperti memukul seorang hamba dan kemudian melakukan hubungan seksual dengannya di hujung hari.”

Hadith ini menekankan prinsip keharmonian dalam perkahwinan seperti yang disebut dalam Surah al-Baqarah (2:187), “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa untuk bercampur dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…” Di dalam Surah al-Rum (30:21), al-Quran juga menyebut, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Ini juga dikuatkan lagi dengan banyak hadith tentang layanan seorang suami kepada isteri, contohnya dalam Jami` at-Tirmidhi 1162, diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah berkata: “Orang yang paling beriman dalam beriman, adalah orang yang mempunyai sifat terbaik di antara mereka. Dan yang terbaik daripada kamu adalah yang terbaik terhadap isteri kamu.” Juga dalam Sunan Abi Dawud 2144, diriwayatkan Mu’awiyah al-Qushayri, ‘Saya menemui Nabi SAW dan bertanya kepadanya: Apa yang diperintahkan tentang isteri-isteri kami? Baginda menjawab: Beri mereka makanan daripada apa yang kamu miliki untuk diri sendiri, dan berikanlah pakaian kepada mereka dengan pakaian kamu, dan jangan memukul mereka, dan jangan mencerca mereka.’

Dalam Islam, isteri diberikan hak untuk menuntut penceraian melalui fasakh jika dibuktikan di mahkamah bahawa suaminya telah berlaku zalim kepadanya termasuklah dengan lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Dalam Syariah, tiada wanita yang dibenarkan ditindas atau dianiaya oleh mana-mana lelaki hanya atas alasan statusnya sebagai seorang suami. Hak ini diingatkan kepada setiap wanita oleh jurunikah apabila ta’liq (syarat dalam perkahwinan yang boleh membatalkan perkahwinan jika dilangar) dibacakan.

Perkahwinan adalah kontrak sosial yang suci, dan perjanjian yang dimakbulkan atas nama Tuhan. Setiap penganut agama Islam percaya bahawa sebarang pelanggaran kontrak ini, bukan sahaja membawa kepada kesan sosial tetapi juga keagamaan.  

Muhammad Syafiq Mukhtar
Peguam Syarie, Exco Undang-Undang Syariah & Keluarga Islam WAFIQ serta Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Cakna pada 26 Februari 2021. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis tetap di Utusan Malaysia.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *