Wujudkah undang-undang anti-LGBTQ?

Viewpoints

DIKALA umat Islam masih menikmati kehangatan perayaan Syawal dalam suasana pandemik Covid-19 yang kian meruncing, kedengaran suara-suara sumbang daripada segelintir pengamal undang-undang dan aktivis sosial yang menyeru supaya komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan ‘queer’ (LGBTQ) dalam negara diiktiraf sebagai satu entiti yang sah dan dibenarkan untuk mengamalkan kegiatan luar tabii mereka. Peruntukan undang-undang sedia ada juga didakwa seringkali dikenakan pihak berautoriti bagi menindas dan menyasarkan golongan tersebut terhadap pelbagai bentuk diskriminasi dan keganasan.

Satu persoalan yang timbul di benak fikiran saya sewaktu mengikuti sebuah webinar anjuran Badan Peguam Kuala Lumpur baru-baru ini yang membincangkan topik serupa. Adakah undang-undang tempatan berkaitan hubungan sesama sejenis atau kini dirujuk sebagai ‘undang-undang anti-LGBTQ’ secara asalnya telah digubal bagi tujuan menyekat hak individu kumpulan berkenaan?

Umum mengetahui bahawa undang-undang sivil berkaitan seks luar tabii seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 377A Kanun Keseksaan [Akta 574] lahir daripada sistem ‘common law’ negara-negara England sejak abad ke-18. Pada peringkat awal, hubungan homoseksual telah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah serius di bawah ‘Buggery Act’  1533 sehingga pemerintah England ketika itu, Raja Henry VIII memerintahkan mana-mana pelaku liwat supaya dihukum bunuh. Abad demi abad berlalu, negara Barat kemudiannya melalui Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 1967 telah mengambil langkah drastik dengan memansuhkan kesalahan jenayah sodomi bagi pasangan lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun.

Oleh kerana undang-undang berkaitan seks luar tabii ini dicetak daripada teks perundangan milik India dan England, pelaksanaannya telah diubah suai agar menjadi setara dengan norma hidup dan sensitiviti masyarakat kita. Pengaruh agama yang kuat serta prinsip moraliti yang memelihara keutuhan dan keharmonian institusi keluarga sejak dahulu turut menyumbang kepada perubahan jenis dan darjah hukuman. Justeru, mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii di Malaysia boleh dikenakan tindakan penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan di bawah Seksyen 337B [Akta 574]. Jika diamati, peruntukan tersebut turut terpakai kepada pasangan yang sudah sah berkahwin dan bujang heteroseksual, bukan sahaja buat individu pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina (SOGI).

Manakala, undang-undang Islam melalui Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] turut menjenayahkan perbuatan liwat dan musahaqah (lesbianisme) di bawah Seksyen 25 dan Seksyen 26 bagi pasangan Muslim. Saya yakin dan percaya saat undang-undang ini pertama digubal pada zaman kebangkitan revolusi industri di Eropah, masih belum wujud frasa aneh seperti biseksual atau queer dan kata ganti nama diri asing seperti ‘they’ atau ‘zie’ bagi merujuk kepada individu perseorangan lelaki atau perempuan.

Lalu dari mana datangnya hujah yang mengemukakan undang-undang kita memihak kepada atau menentang LGBTQ secara langsung sedangkan pengasasnya sendiri hidup di zaman pra-modernisasi dan telah pergi menghadap Tuhan sebelum sempat mendengar laungan ‘Love Wins’? Sedangkan antara faktor utama larangan amalan liwat sejak dahulu dapat kita ambil iktibar bagi melindungi manusia adalah kerana pengamal hubungan seks anal atau liwat berisiko mendapat jangkitan bawaan seksual seperti HIV dan AIDS. Kajian juga menunjukkan pengamal liwat dan musahaqah (lesbianism) berdepan dengan masalah mental dan emosi.

Terang lagi bersuluh bahawa asas perundangan negara iaitu Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana orang didiskriminasi atas dasar jantina menurut Perkara 8 Perlembagaan serta memberi kuasa perundangan kepada para penggubal di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk mengenakan sekatan yang dianggap sesuai bagi menjaga ketenteraman awam, prinsip moral dan akidah umat Islam dari terus tercemar.

Ketegasan pihak kerajaan dan penggubal undang-undang terhadap isu ini tidak bermakna sesiapa yang mengekspresikan diri mereka sebagai individu SOGI akan terus ditangkap, disumbat dalam penjara dan diperlakukan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, pengamal dan penyokong kumpulan hak asasi manusia yang memperjuangkan LGBTQ perlu menelan satu hakikat yang pahit tetapi benar iaitu undang-undang sememangnya bersifat keras dan tidak mudah diubah demi kepentingan golongan tertentu.

Lipatan sejarah serta dokumen rasmi juga telah membuktikan bahawa tanah air kita bukanlah sebuah tanah air sekular berikutan kesahan Perkara 3 Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan. Oleh itu, perit bagi majoriti rakyat untuk mengikut selera dan desakan para pejuang LGBTQ kerana keterasingan gaya hidup dan kelantangan sesetengah mereka yang berterusan mencabar prinsip moral termasuk maruah keluarga, agama, bangsa dan negara.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Belia & Media
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah pertama disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 28 Mei 2021)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *