Anak Kita Terdedah Budaya LGBTQ

Cik Nur Farihah Meor Mazli Education LGBT Viewpoints Youth

IMAM al-Ghazali pernah menyebut “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Sebaliknya, jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa.” Perkara 32 Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 telah mengiktiraf hak kanak-kanak untuk dilindungi daripada eksploitasi ekonomi dan menjalankan apa-apa kerja yang boleh mendatangkan keburukan kepada mental, kerohanian, kemoralan atau sosial kanak-kanak tersebut. Malaysia selaku negara pihak yang sudah lama meratifikasi Konvensyen ini perlu memastikan langkah-Iangkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan dilaksanakan bagi melindungi hak kanak-kanak sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu, Malaysia telah berjaya menggubal lebih daripada sepuluh akta berkaitan kanak-kanak bagi tujuan penjagaan, pemeliharaan, perlindungan dan pemuliharaan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Masyarakat turut didedahkan dengan pelbagai pelan tindakan serta polisi setempat yang memelihara golongan bawah umur ini daripada salah laku jenayah seperti penderaan fizikal, komunikasi berbaur seksual atau pengabaian secara berterusan. Semua pihak perlu ingat bahawa undang-undang dalam apa-apa keadaan adalah lebih berpihak kepada kebajikan, keperluan dan kepentingan seorang kanak-kanak.

Baru-baru ini, seorang bakat muda berumur 17 tahun telah mengaku dirinya dimanipulasi oleh sebuah syarikat penerbitan filem apabila beliau diarahkan untuk melakonkan adegan-adegan romantik sesama rakan sejantina untuk tujuan tayangan eksklusif di sebuah aplikasi temu janji gay dan penstriman video. Perkara tersebut telah mengundang pelbagai kecaman dan kritikan keras daripada orang awam yang memandang serius isu berkenaan pengaruh fahaman lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) dalam kalangan anak muda.

Normalisasi LGBTQ melalui media bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan ia telah cuba menyelinap masuk ke negara ini sejak beberapa dekad yang lalu. Satu kajian yang dilaporkan dalam jurnal “Gender and Media Diversity” mendapati bahawa watak gay dan idea tentang homoseksualiti semakin ketara dijadikan bahan atau konteks dalam media elektronik. Apa yang paling menggerunkan ialah watak atau adegan gay yang dipamerkan di kaca skrin televisyen dilakonkan sebagai berpasangan dan berkeluarga,  dan ada ketikanya, dianggap normal apabila dua individu sejantina membesarkan seorang anak kecil di sebuah rumah kediaman.  Sebagai contoh, Disney sebagai pilihan siaran hiburan anak remaja tanpa segan silu menyebarkan unsur-unsur kepincangan nilai kekeluargaan atas alasan ‘kemajuan dan ke arah peradaban progresif’.

Netflix sebagai salah satu penyedia layanan media digital juga semakin rancak mempromosikan idea homoseksualiti dan transgenderisme yang turut mencabar penggunaan istilah kata nama kerana tularnya penjenamaan orientasi seksual seperti non-binary, gender fluid dan cisgender di media massa. Masyarakat seluruh dunia kini dibiasakan dengan gaya hidup pengamal seks songsang yang secara terang-terangan mengekspresikan perlakuan menyalahi fitrah manusia dek dasar antarabangsa dari pihak berkepentingan yang mahu wujudkan penerimaan sosial walaupun masih ramai berpendapat topik ini tabu. Normalisasi LGBTQ dalam media nyata bercanggahan dengan prinsip agama dan budaya tempatan bahkan mengenepikan semangat Perlembagaan Persekutuan yang membela hak sesebuah keluarga dan masyarakat untuk keselamatan awam, sosial dan moraliti.

Pelaksanaan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah menjenayahkan perbuatan mana-mana individu atau organisasi yang membolehkan kesalahan seksual songsang berlaku di tempat awam dan tertutup, secara umum atau atas talian di negara ini. Penubuhan Mahkamah Kanak-Kanak pula merupakan satu mekanisme yang jitu dalam memastikan keadilan dan perlindungan sewajarnya buat mangsa kanak-kanak.

Telah menjadi tugas dan tanggungjawab kedua-dua ibu bapa untuk pelihara diri mereka dan ahli keluarga mereka daripada api neraka seperti yang disebut di dalam firman Allah SWT melalui Surah al-Tahrim. Penulis sentiasa beranggapan bahawa peranan utama dalam pemeliharaan akhlak dan identiti diri seorang kanak-kanak itu harus diambil oleh si penjaga atau ibu bapa.  Ibu ayah sepatutnya menjadi benteng terkuat buat anak-anak mereka daripada bahaya penggunaan media sosial tanpa batasan kerana kandungan bergenre maksiat semakin tidak terkawal.

Ditambah pula dengan penyusupan pemikiran songsang dan asing yang membuka ruang yang amat luas kepada eksploitasi seksual kanak-kanak seperti apa yang menimpa seorang pelakon muda itu tadi. Tindakan saman terhadap pihak produksi filem mungkin merupakan satu alternatif perundangan yang baik tetapi keberkesanannya tidaklah seteguh amalan pencegahan awal seperti didikan, asuhan serta amaran akan perbuatan tidak bermoral LGBT. Oleh itu, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan jangan biarkan musuh pula ‘membesarkan’ amanah dari Tuhan yang tidak berharga ini.

Nur Farihah Meor Mazli ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Belia & Media WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

(Rencana ini telah pertama disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui kolum khas, Cakna pada 17 Disember 2021)