Isu bantahan konsert yang sedang hangat dibahas di media massa belakangan ini menunjukkan keprihatinan masyarakat kita tentang perkembangan dunia hiburan di Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berpegang teguh kepada prinsip asas yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Perkara 3(1) Perlembagaan, khususnya, telah menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.”.
Masyarakat perlu memahami dan mendalami erti sebenar yang terkandung dalam Perkara 3(1) Perlembagaan yang telah meletakkan kedudukan Islam lebih tinggi dari agama-agama lain malah berupaya menyekat apa-apa ideologi bertentangan adat, budaya, dan tradisi masyarakat sesebuah negara bertamadun. Sebagai contoh, di dalam kes dalam kes Sulaiman Takrib melawan Majlis Agama Islam Terengganu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa legislatif untuk membuat apa-apa kesalahan dan hukuman yang melanggar perintah agama Islam dan maksud ‘precepts of Islam’ yang bukan sekadar rukun Islam.Bahkan, ajaran Islam adalah melangkaui lima rukun Islam itu dan termasuklah tatacara berhibur.
Berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan teks perundangan tersebut, terbuktilah bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular yang memisahkan penghayatan dan pengamalan agama daripada kehidupan seharian setiap warganya. Malah, Perlembagaan tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk turut sama mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan syarat ia dilaksanakan secara aman dan damai ber. Sudah terang lagi bersuluh, kita meraikan kepelbagaian etnik, bangsa dan kaum yang terdapat di Malaysia. Namun, ini tidak bermakna kita perlu bertolak ansur dalam isu yang mampu memprejudiskan agama Islam itu sendiri. Masyarakat perlu faham dan cakna bahawa agama bukanlah suatu perkara yang boleh diperkotak-katikkan dan ia perlu dipertahankan sebagai tiang asas dalam kehidupan seseorang insan.
Sebab timbulnya usul-usul bantahan daripada sesetengah pihak berkenaan penganjuran konsert adalah kerana wujud kebimbangan ramai tentang kesucian aqidah umat Islam yang seakan goyah dan tergugat dengan budaya hedonisme yang melampau ini. Tambahan, penganjuran konsert dengan jemputan artis-artis luar negara dikhuatiri menyuntik idelologi serta kefahaman masing-masing yang jelas bertentangan dengan aqidah. Islam tidak pernah menolak hiburan namun ianya mestilah berlandaskan syariah Islam. Tidak dinafikan, masyarakat berbilang kaum juga ada yang tidak menyenangi serta tidak bersetuju dengan penganjuran konsert-konsert yang dibimbangi akan merosakkan pegangan anak-anak muda pada zaman ini.
Selanjutnya, kita tidak pernah menolak atau duduk memeluk tubuh dalam mendepani segala macam cabaran lain yang disuarakan, malah dikatakan kononnya lebih serius seperti jenayah rasuah, pecah amanah, pengambilan dadah dan pelbagai lagi. Perbincangan khusus mengenai isu penganjuran konsert yang dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan ini bukan bermakna kita mengabaikan isu-isu lain yang menyelubungi negara saat ini sebaliknya ia bergerak seiringan. Abu Said al-Khudri RA pernah meriwayatkan bahawa Rasullulah SAW bersabda: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”
Justeru, sebagai umat Islam, amat malang sekiranya kita berterusan berdiam diri membenarkan penganjuran konsert selain daripada tujuannya untuk meninggikan Allah dan Rasulullah, apatah lagi menyokong supaya ia diadakan secara besar-besaran. Penganjuran konsert seperti ini bukan sahaja melibatkan pergaulan bebas antara lain jantina malah berkemungkinan besar melibatkan elemen penyalahgunaan dadah dan arak yang hanya akan merosakkan akal fikiran dan jasad para pengunjungnya. Tragedi yang menimpa peminat Travis Scott di dalam sebuah konsert yang diadakan pada 2021perlu dijadikan pengajaran. Selain itu, apa yang lebih mengerunkan adalah doktrin asing yang dibawa oleh artis-artis antarabangsa yang kebanyakkannya tunduk dan akur dengan fahaman songsang seperti LGBTQ, pluralisme, dan liberalisme.
Masyarakat Malaysia wajar bersyukur dengan kebebasan bersuara yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan melalui Perkara 10 dan menggunakan peluang tersebut bagi menyuarakan pendapat berdasarkan perkara yang hak (benar) dan bukannya menggunakan emosi semata-mata bagi meraih perhatian media. Perjuangan Sheikh Salih Al Talib, bekas imam Masjidil Haram yang tegas bersuara memberi kritikan terhadap agensi kerajaan berkaitan penganjuran konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada agama, norma, dan budaya setempat wajib disemat rapi sebagai contoh buat semua.
Justeru, ingin ditekankan sekali lagi bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular dan tetap bergerak atas dasar agama buat sekian kalinya. Hiburan secara melampau itu sememangnya bertentangan agama jadi amatlah benak dan bebal sekiranya kita menjadikan agama itu pula sebagai permainan dan hiburan. Setiap masyarakat mempunyai tanggungjawab individu untuk mempertahankan agama, maka mereka perlu lebih bijak memilih dalam membezakan mana yang baik dan buruk. Setiap perkara yang memberi faedah wajar didokong erat manakala yang mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding maslahah perlu ditangani dengan penuh strategi.
Siti Nur Zulaikha Abd Kadir ialah pengamal undang-undang serta merupakan Exco Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ.
(Rencana yang telah disunting telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia, menerusi kolum Cakna pada 23 September 2022 melalui pautan berikut : Bukan negara sekular bertuhan hiburan (utusan.com.my)