Saya tertanya-tanya. Selepas Doraemon disensasikan, agak-agaknya apa mesej yang wanita Malaysia terima?
Walaupun isu Doraemon sudah agak reda, namun saya lihat masih ada wajah Doraemon di sini-sana bila isu wanita dibincangkan.
Bila isu keganasan rumahtangga diperkatakan, Doraemon sering dijadikan sindiran.
Sebagai pakar psikiatri yang sering mengendalikan isu wanita, saya bimbang ada wanita yang menerima mesej yang mengelirukan dari ini semua.
Kebahagiaan rumahtangga perlu dibina bersama dan sangat penting untuk saling berkomunikasi dengan baik, termasuk jangan berleter bagi mengelakkan pergaduhan suami-isteri.
Benar, Doraemon bukan contoh yang tepat.
Namun untuk mencampur-adukkan isu keganasan rumahtangga semasa membincangkan isu komunikasi dalam rumahtangga adalah satu yang perlu dilakukan berhati-hati. Kedua-duanya perlu perbincangan yang berbeza.
ISU KEGANASAN RUMAHTANGGA – MELANGKAUI ISU KOMUNIKASI RUMAHTANGGA
Dalam mengendalikan isu rumahtangga, keganasan rumahtangga termasuk dalam TIGA isu besar perkahwinan yang kompleks yang mana pasangan memerlukan pelbagai sokongan dari pelbagai pihak untuk mencari jalan keluar yang terbaik. Tiga isu besar dan berat dalam perkahwinan ini, boleh dikenalpasti jika ada 3P (atau 3A dalam Bahasa Inggeris):
1. Penderaan (Abuse)
2. Penagihan (Addiction)
3. Pengkhianatan (Affair)
Tiga isu tersebut merupakan isu yang kompleks kerana selalunya ia melangkaui isu komunikasi, tapi melibatkan isu kepercayaan dan isu psikososial yang lebih mencabar, di samping isu keselamatan dan isu perundangan yang rencam. Mengendalikan ketiga-tiga isu besar dan berat tersebut memerlukan pendekatan dan koordinasi multidisplinari yang baik dan berterusan. Ia memang memerlukan perhatian yang besar dari semua pihak yang terlibat dan memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkepentingan.
ISU-ISU PERKAHWINAN LAIN SELAIN KEGANASAN RUMAHTANGGA – JUGA SANGAT PENTING DAN SANGAT SERING
Di samping memberi perhatian kepada isu keganasan rumahtangga, itu tidak bermakna isu rumahtangga lain tidak penting kerana kebanyakan perkahwinan yang bermasalah mempunyai banyak isu selain tiga isu besar di atas.
Kadar keganasan rumahtangga meningkat di seluruh dunia semasa wabak Covid-19 kerana perintah berkurung dan kawalan pergerakan. Kadar perceraian juga dilaporkan tinggi. Keduanya memerlukan fokus yang tersendiri.
Majoriti masalah dalam perkahwinan, sehingga yang boleh membawa perceraian sebenarnya berkait dengan isu-isu yang boleh diselesaikan jika suami isteri mempunyai kemahiran mengendalikan keluarga – ini termasuk isu-isu komunikasi, pengurusan kewangan atau pengurusan rumahtangga.
Saling berinteraksi dengan berkesan dan menyuburkan kasih-sayang memerlukan satu kemahiran yang sangat luas, ramai yang gagal di sini.
Isu seperti siapa bayar apa dari gaji yang mana, siapa bangun malam bila anak terjaga, disiplinkan anak macamana, siapa basuh baju, masak dan siapa keluar berbelanja, isu dengan mertua dan ipar-duai – semua ini adalah isu yang nampak sangat biasa namun inilah isu yang dapat menggoncangkan rumahtangga. Malah silap-silap kalau rumahtangga tak goncang, rumahtangga mungkin jadi dingin dan kusam, tiada kebahagiaan. Banyak perceraian berlaku kerana isu-isu sebegini sahaja. Banyak juga yang apabila tidak bercerai pun, rumah tidak lagi menjadi syurga tapi neraka.
BERLETER, OK KE?
Teralih fokus dengan mengetawakan Doraemon, saya bimbang dan tidak mahu ada yang keliru dan mendapat mesej sebaliknya iaitu ianya ‘ok’ untuk wanita berleter, misalnya. Ini kerana saya lihat ada yang cuba menormalkan yang wanita memang perlu berleter, sedangkan kerap berleter boleh menjadi satu isu komunikasi yang boleh meretakkan rumahtangga.
Ya, wanita berleter kerana mereka penat, kecewa, bimbang, marah dan sebagainya. Tapi sebenarnya mereka juga berleter kerana mereka tidak tahu cara lain selain daripada cara berleter untuk menguruskan penat, kecewa, bimbang dan marah mereka. Malah kadang-kadang wanita tidak punya kebijaksanaan emosi untuk mengetahui yang mereka sebenarnya sedang kecewa, bimbang, marah atau penat, atau semua sekali. Tau-tau dah berleter…
Wanita perlu ada kebijaksanaan emosi untuk lebih menyedari suasana emosi dan keadaan fizikal mereka. Wanita perlu berusaha memenuhi keperluan asas diri dan membuat penjagaan diri (self-care) sebelum dapat menolong orang lain. Lelaki juga begitu.
Baik lelaki atau wanita juga perlu terus belajar untuk berinteraksi dengan baik, membina empati terhadap satu sama lain lain, dan berusaha bercakap dengan penuh budi-bahasa dengan tutur kata yang baik-baik setiap masa. Kata-kata yang baik ini umpama akar yang teguh ke bumi dan pucuknya menjulang ke langit. Ia menaungi perkahwinan dalam keredupannya.
Untuk wanita tidak perlu berleter, wanita perlu memperkasa diri dengan kebijaksanaan emosi, menjaga dan menghargai diri, mengurus emosi, menguasai empati dan tahu teknik berinteraksi, Banyak kan kemahiran yang diperlukan? Sebab itu seolah-olah lagi mudah – berleter sahajalah!
‘BEST’NYA DUNIA KALAU SEMUA ORANG BERBUDI-BAHASA
Saya berikan beberapa contoh dari lautan strategi komunikasi yang sangat luas, bagi menggantikan berleter yang sebenarnya hanya menyempitkan lagi dada.
Senario 1
Puan Leter 😤 : “AWAK memang pentingkan diri. AWAK balik lambat tak beritahu, suka-suka hati aje. AWAK memang takde nak tanya saya kat rumah lintang-pukang ke apa…”
Puan Budibahasa 🥰 : “Abang, SAYA risau bila abang balik lambat tak beritahu SAYA. SAYA kelam-kabut bila abang takde”
Senario 2
Puan Leter 😤 : “AWAK dah lama betul tak bawak saya keluar makan-makan, jalan-jalan. Orang lain tu tiap-tiap minggu bawak anak isteri keluar. Tak payah nak kira PKP ni lah, sebelum PKP pun AWAK tak bawak jugak… kalau keluar pun, AWAK macam tulah, semua saya yang kena ajak, kena bayar..”
Puan Budibahasa 🥰 : “Abang, SAYA rasa teringin betul nak makan sate kat tepi tasik tu bang, angin sepoi2 bahasa…”
Senario 3
Encik Leter 😤: AWAK ni asyik dengan anak aje, bukan nak pedulikan saya, kat rumah pun AWAK pakai baju kelawar memanjang.. habis, bila saya tengok handphone AWAK marah pulak
Encik Budibahasa 🥰: SAYA rindulah kat Sayang, SAYA nampak Sayang sibuk dengan anak-anak tapi SAYA pun kalau boleh nak sembang-sembang dengan Sayang…
(Nota: AWAK dan SAYA boleh ditukarkan dengan abang, sayang, darling, honey, babe dll… ikut suka hati anda)
Nampak kan bezanya. Strategi berleter adalah strategi menyerang dengan menggunakan banyak kata-kata tuduhan (awak begitu, awak begini), dengan intonasi menyindir atau garang dan merupakan komunikasi agresif yang menyebabkan pendengar jadi lebih defensif atau ingin mempertahankan diri dan semakin tak buat apa yang diharapkan.
Strategi yang lebih baik adalah menggunakan banyak kata-kata ‘saya’ untuk menerangkan apa yang kita rasa dan memberitahu apa yang kita perlukan. Kita tertarik kepada pasangan kerana budi-bahasanya bukan? Sebenarnya, jauh di sudut hati setiap suami, mereka ingin isteri mereka gembira. Begitu juga di hati isteri, ingin suami bahagia. Jadi, kongsilah apa yang anda rasa dan beritahu apa yang anda perlukan. Kalau tak beritahu, bagaimana mereka nak tahu? Beritahu dengan penuh budibahasa.
Boleh tolong saya?
Terima kasih 😊
Ucapkanlah kata-kata yang baik setiap masa. Jika ‘ter’berleter juga (ia pasti berlaku dari masa ke semasa kerana kita tak sempurna), cepat-cepat tarik nafas, dan tidak salah minta maaf kepada orang lain dan maafkan diri sendiri. Berleter lega sekejap sahaja. Tapi untuk tahu bagaimana untuk tidak berleter adalah bahagia yang lama.
Dr Umi Adzlin Silim
Pakar Perunding Psikiatri
Hospital Kuala Lumpur