Penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan negara telah meningkat dari 5.72 juta dalam suku kedua tahun 2017 kepada 5.76 juta dalam suku ketiga tahun yang sama, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja di Malaysia adalah 54.3% pada tahun sebelumnya. Trend terkini menunjukkan kadar ini akan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Peningkatan penglibatan wanita di sektor pekerjaan ini memerlukan perhatian yang serius dari pimpinan dan pembuat dasar, terutama sejak akhir-akhir ini dimana terdapat aduan tentang amalan diskriminasi dan gangguan seksual terhadap wanita ditempat kerja.
Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) telahpun menjalankan satu kajian selama 6 bulan tentang Amalan Diskriminasi dan Gangguan Seksual di Kalangan Wanita Bekerja di Malaysia melibatkan 402 responden kajian berumur di antara 18 hingga 59 tahun dari semua negeri di Semenanjung Malaysia. Kajian ini dijalankan oleh WAFIQ dengan kerjasama University Sains Islam Malaysia (USIM) dibiayai geran penyelidikan dari Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA). Ia juga disokong oleh 3 pertubuhan wanita, kesihatan dan belia iaitu Wanita ISMA, Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Pertubuhan Belia Nasional (PEMBINA).
Diskriminasi agama
Keputusan kajian menunjukkan tahap diskriminasi agama yang agak membimbangkan. Satu dalam setiap 5 wanita mengaku pernah didiskriminasi dari sudut agama. Ini termasuk menghadapi kesukaran mendapat kebenaran menunaikan solat, kekurangan atau ketiadaan ruang untuk menunaikan solat dan tidak dibenarkan memakai tudung sewaktu bekerja. Seperti yang dijangkakan, peratusan wanita yang didiskriminasi dari sudut agama lebih tinggi dikalangan mereka yang mempunyai majikan berlainan agama, namun begitu, didalam kes penyediaan ruang untuk solat, hatta majikan yang mempunyai agama yang sama juga didapati mendiskriminasikan wanita apabila mereka gagal menyediakan ruang solat khas bagi wanita dan berpada dengan ruang solat lelaki yang agak terbuka.
Menurut dapatan kajian ini lagi, dalam 14% wanita merasakan mereka dinafikan dari kenaikan pangkat kerana identiti beragama mereka, sama ada majikan mereka dari agama yang sama atau berlainan. Kajian juga mendapati, 5.9% wanita yang bekerja dengan majikan berlainan agama meninggalkan kerjaya mereka kerana identiti beragama mereka manakala hanya 3% wanita yang bekerja dengan majikan yang sama agama, berbuat demikian.
Seramai 5.7% responden dari semua sektor kerjaya melaporkan mereka dihalang dari bertudung. Dari jumlah ini, 60.9% adalah dari sektor swasta. Apabila analisa dilakukan mengikut sektor pekerjaan, 36% wanita yang dihalang berhijab adalah dari sektor pendidikan, 27% dari sektor perhotelan dan hospitaliti, 18% dari sektor perniagaan, 5% dalam sektor kesihatan dan 14% dari berbagai lagi bidang pekerjaan.
Gangguan Seksual
Kajian WAFIQ juga menunjukkan kejadian gangguan seksual yang semakin meningkat. Dalam menilai gangguan seksual ini, responden ditanya mengenai kejadian mereka menyaksikan gangguan seksual dihadapi oleh orang lain di tempat kerja dan sama ada mereka sendiri pernah mengalami gangguan seksual terhadap diri sendiri. Keputusan kajian menunjukkan seramai 43.9% pernah melihat kejadian gangguan seksual dalam bentuk konotasi (bayangan perkataan), pandangan, gerak tubuh atau komen berlaku di tempat kerja manakala 33.7% pernah mengalami sendiri gangguan seksual dalam bentuk konotasi (bayangan perkataan), pandangan, gerak tubuh atau komen.
Manakala dalam gangguan seksual berbentuk sentuhan fizikal, seramai 39.8% responden pernah melihat gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi berlaku ke atas orang lain ditempat kerja, manakala 32.6% pernah mengalami sendiri gangguan seksual dalam bentuk sentuhan badan yang sengaja dan tidak disenangi.
Dikalangan mereka yang telah mengalami gangguan seksual ini, 73.2% mengakui mereka mengalaminya lebih dari sekali. Majoriti responden iaitu seramai 57.1% tidak membuat aduan secara rasmi dengan alasan seperti berikut; tidak merasakan sebarang tindakan akan diambil (46.7%), tidak mengetahui cara melaporkan (13.3%), takut untuk membuat aduan (13.3%), takut mendapat malu (11.1%) dan sebahagian kecil merasakan mereka tidak kisah dengan gangguan tersebut (4.4%).
Pelaku gangguan seksual dalam kajian ini terdiri dari rakan sekerja (50%), diikuti oleh pelanggan (28%), pekerja bawahan (11%), majikan/penyelia (7%) dan lain-lain (4%).
Akta Kesaksamaan dan Akta Gangguan Seksual
Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat atau The Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) berasa amat khuatir dengan keputusan kajian dan menggesa agar tindakan segera diambil bagi menangani masalah ini. Adalah sesuatu yang menggusarkan dalam alaf ini, diskriminasi agama masih berlaku dikalangan wanita. Menteri Sumber Manusia, Richard Riot Jaem dalam kenyataannya pada 28 Januari tahun ini menyatakan bahawa kerajaan akan membentangkan pindaan undang-undang terhadap Akta Pekerjaan didalam siding Parlimen yang sedang berlangsung sekarang, namun ia masih tidak dilaksanakan.
Dalam menangani isu diskriminasi agama dikalangan wanita, MACSA mencadangkan diwujudkan Akta Kesamarataan yang berpandukan nilai dan norma tempatan dengan mengambilkira sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia.
Didalam kes gangguan seksual, kebanyakan wanita dalam kajian ini tidak membuat aduan rasmi kerana mereka tidak yakin bahawa mekanisma sedia ada berkesan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi.
Buat masa ini, wanita yang mengalami gangguan seksual boleh membuat aduan kepada majikan, atau Jabatan Buruh. Mereka juga boleh melaporkan kepada pihak polis untuk memulakan siasatan kepada pelaku dibawah Kanun Keseksaan. Walaubagaimanapun, kebanyakan daripada kes gangguan seksual ditempat kerja biasanya ditangani dibawah Akta Hubungan Industri 1967 yang hanya melibatkan gantirugi, buang kerja bagi pelaku atau menawarkan kerja kembail kepada mangsa.
Dalam tahun 2012, Akta Pekerjaan 1955 telah dipinda dengan memasukkan peruntukan baru dimana gangguan seksual didefinisikan sebagai “ gangguan seksual dalam bentuk lisan dan juga fizikal termasuk sindiran seksual, komen dan ucapan berbaur lucah, kelakuan tidak senonoh, bunyi tidak senonoh, lucah atau menghina, ancaman seksual secara tersirat, pandangan berahi, menjeling, memaparkan gambar-gambar menghina dan membuat isyarat lucah yang mengancam kepada kesejahteraan individu yang berkait dan sepanjang tempoh seseorang bekerja”.
Satu peruntukan baru 81B dibawah pindaan akta tersebut mewajibkan pihak majikan mewujudkan prosedur menangani aduan gangguan seksual dan menyiasat dengan lebih lanjut. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan majikan didenda tidak lebih dari RM 10,000.00.
Kementerian Sumber Manusia Malaysia telah mewajibkan semua organisasi mempunyai Kod Amalan Untuk Mencegah Dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja 1999 (Kod Amalan) sebagai mematuhi Akta Pekerjaan 1955 setelah pindaan baru itu berkuatkuasa dalam tahun 2013.
Walaubagaimanapun akta-akta sedia ada dan kod amalan ini tidak mencukupi dalam menangani isu gangguan seksual. Ketiadaan undang-undang khusus seperti Akta Gangguan Seksual menyebabkan mahkamah tidak dapat membincangkan isu seperti apakah takrifan gangguan seksual sebenar serta bukti-bukti pendakwaan bagi menangani isu ini dengan leboih berkesan. Peruntukan tersebut dibawah akta yang spesifik adalah penting, kerana berdasarkan kajian yang dibentangkan di atas, terdapat banyak gangguan yang tidak dilaporkan kerana mereka mungkin tidak mengetahui gangguan yang dialami adalah satu bentuk gangguan seksual, tidak mengetahui hak mereka dan gagal menyediakan bukti-bukti yang diperlukan bagi menyabitkan pelaku dengan kesalahan tersebut. Enakmen perundangan yang khusus diyakini dapat mengurangkan gangguan-gangguan seksual terhadap wanita ditempat kerja ini. Beberapa negara telah pun menguatkuasakan akta gangguan seksual seperti Filipina (the Anti-Sexual Harassment Act 1995), Australia (Sex Discrimination Act 1984), Perancis (Labour Code, Criminal Code), Russia (Criminal Code), United Kingdom (Sex Discrimination Act 1975), India (the Sexual Harassment of Women at the Workplace 2013), dan Pakistan (Protection Against Harassment of Women at the Workplace Act 2010).
Kesan dan impak kedua-dua diskriminasi agama dan gangguan seksual ke atas wanita sebagai tenaga kerja negara adalah serius dan boleh mendatangkan keresahan dan tekanan fizikal dan psikologi ke atas pekerja, menimbulkan ketegangan ditempat kerja dan sekaligus, mengurangkan produktiviti dan ekonomi negara. Adalah satu keperluan mendesak untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif bagi wanita. MACSA mengulangi pendirian kami agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berbentuk perundangan dalam menangani diskriminasi agama dan gangguan seksual ke atas wanita.
KENYATAAN BERSAMA:
Azril Mohd Amin,
Ketua Eksekutif, CENTHRA
Pengerusi
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA)
Professor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar,
Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) atau The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education) dan
Pengerusi Bersama MACSA.
Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.
MENGENAI KAJIAN PENYELIDIKAN:
Kajian Amalan Diskriminasi dan Gangguan Seksual dikalangan Wanita Bekerja di Malaysia (Discriminatory Practices And Sexual Harassment Among Working Women In Malaysia) dibiayai oleh Geran Penyelidikan dari Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA). Ia diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM ( USIM/CENTHRA/FPSK/052002/42417). Kelulusan Etika Penyelidikan diperolehi dari USIM ( USIM/REC/2017-36)
PENYELIDIK
Penyelidik Utama
Assoc. Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar; Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & Presiden WAFIQ
Penyelidik Bersama
Prof Dr Azizi Ayob; Pengarah Program, International Medical University (IMU) & Setiausaha Agung I-Medik
Assoc. Prof. Dr. Noor Fadzilah Zulkifli; Pakar Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Puan Hjh. Asral Widad Ahmad Asnawi; Pengerusi Pengusaha Warga Emas Kebangsaan, Pengasas Pusat Kemerlangan Ummah (PACU) dan Naib Presiden WAFIQ
Dr. Amira Ismail; Pensyarah Kanan, Centre for Software Technology and Management, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) & Timbalan Presiden, WAFIQ
Dr. Nur Hazlin Hazrin Chong, Pensyarah, School of Biosciences and Biotechnology UKM & Setiausaha WAFIQ
Mr Mohd Eqwan Mohd Roslan; Pensyarah, Mechanical Engineering, Universiti Tenaga National (UNITEN) & Presiden PEMBINA
Dr. Norzila bt Baharin; Wanita ISMA
Puan Azizah bt Che Awang; Wanita ISMA
Puan Siti Farhana binti Fathy, Wanita ISMA
Mr. Muhammad Farid bin Sulaiman, PEMBINA
Puan Hanan bt Othman, Exco WAFIQ
Ms. Siti Aishyah binti Sulaiman, Exco WAFIQ
Pembantu Penyelidik
Dr. Maliya Suofeiya