Mengkritik Hujah Golongan Pro-LGBT – Bahagian 1

Featured LGBT Viewpoints

Propaganda gerakan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) telah meresap dalam kalangan umat Islam. Bahkan sebahagian daripada mereka berusaha untuk menjustifikasi keberadaan dan perlakuan LGBT. Mereka mencari-cari ayat-ayat tertentu yang seolah-olah menghalalkan dan membenarkan perlakuan LGBT. Sekali pandang kelihatan seolah-olah usaha mereka berjaya mendedahkan kebenaran, apatah lagi bagi sesiapa yang tidak benar-benar meneliti asas-asas hujahan ini. Justeru, tulisan ini akan membongkar dakwaan-dakwaan mereka yang kebanyakannya disandarkan kepada Al-Quran.

ISTILAH GHAIRI ULIL IRBAH

Salah seorang pendokong LGBT adalah Aan Anshori iaitu aktivis Jaringan Islam Anti Diskriminasi (JIAD) di Indonesia. Dalam program Jakarta Lawyers Club di saluran TV One, yang ditayangkan pada 10 Februari 2016, Aan menyuarakan pembelaannya. Salah satu kenyataannya adalah berkaitan pemahaman bahawa seolah-olah Al-Qur’an membenarkan LGBT. Dia menyatakan bahwa Al-Qur’an menyebutkan istilah ghairi ulil irbah yang bermaksud lelaki yang tidak memiliki hasrat kepada perempuan. Selain Aan Anshori, Khoirul Anwar yang menulis artikel di laman Jaringan Islam Liberal, juga menggunakan istilah ghairi ulil irbah untuk menjustifikasi keberadaan LGBT dalam Al- Qur’an.

Istilah ghairi ulil irbah terdapat di dalam Surah An-Nur ayat 31, yang terjemahannya bermaksud:

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang zahir daripadanya. dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau at-tabi’in ghair ulil irbah minar rijal (pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

Ayat tersebut mengandungi perintah terhadap para perempuan beriman untuk menahan pandangan (ghaddul bashar) dan kemaluan. Mereka juga diperintahkan untuk mengenakan tudung hingga menutupi dada mereka. Selanjutnya, perempuan beriman tidak dibolehkan menampakkan perhiasan mereka kepada semua orang, kecuali kepada orang tertentu. Di antaranya adalah pelayan lelaki yang turut membantu di dalam urusan rumah tangga mereka. Walaubagaimanapun pelayan lelaki itu adalah mereka yang memang tidak memiliki hasrat seksual terhadap perempuan (at-tabi’in ghair ulil irbah minar rijal). Berdasarkan keadaan tidak memiliki hasrat seksual (al-irbah) itulah, para perempuan di dalam rumah tangga tersebut tidak bimbang terjadinya perbuatan yang melanggar tatasusila yang dilakukan oleh pelayan mereka. Keadaan tidak memiliki hasrat seksual terhadap perempuan (ghair ulil irbah) itu tidak boleh kemudiannya difahami bahawa para pelayan itu merupakan lelaki yang memiliki hasrat seksual kepada sesama lelaki. Hal ini kerana “lelaki yang tidak berhasrat terhadap perempuan” boleh disebabkan pelbagai faktor. Boleh jadi kerana lelaki itu mati pucuk, sudah uzur, lemah akal, bodoh, atau dikebiri, sehingga dia tidak memiliki hasrat, sama ada kepada perempuan mahupun kepada lelaki. Boleh jadi kerana lelaki itu memang memiliki hasrat kepada sesama lelaki. Jika dibuat perumpamaannya sebagaimana ilmu logik, akan terlihat jelas tersasar perbandingannya. Sebahagian lelaki tidak memiliki hasrat seksual kepada perempuan. Homoseksual adalah lelaki yang tidak memiliki hasrat seksual kepada perempuan. Jadi, semua lelaki yang tidak memiliki hasrat seksual kepada perempuan adalah homoseksual.

Dalam konteks ayat 31 Surah An-Nur tersebut, tidak ada para ahli tafsir yang memberikan maksud bahawa pelayan yang tidak memiliki hasrat terhadap perempuan itu adalah lelaki yang memiliki hasrat kepada sesama lelaki. Hal ini dapat dilihat dari pelbagai pendapat para ahli tafsir tentang apakah yang dimaksud dengan at-tabi’in ghair ulil irbah minar rijal.

Menurut Ibnu Katsir, mereka adalah para buruh dan pelayan yang tidak setaraf dengan majikan. Mereka juga memiliki fikiran yang lemah dan kurang warasa. Mereka tidak memiliki kepedulian dan tidak berhasrat terhadap perempuan (Tafsir Ibnu Katsir:1990,vol. VI, hal. 48). Manakala menurut Ibnu Asyur, mereka adalah golongan lelaki merdeka yang terdapat dua kriteria di dalam diri mereka, iaitu sebagai pelayan dan tidak memiliki hasrat seksual. Mereka itu dikatakan pelayan, karena menjadi pembantu dalam urusan rumah tangga, namun bukan sebagai hamba. Mereka berlegar-legar berada di sebuah rumah tangga untuk mengambil sedekah atau untuk bekerja sebagai pelayan. Sedangkan maksud “al -irbah” adalah keinginan untuk mendekati perempuan. Hilangnya keinginan tersebut terjadi pada orang yang dikebiri, mati pucuk, dan orang tua yang sudah nyanyuk. Karena itulah, Allah memberikan keringanan (rukhsah) dalam hal ini dan dibolehkan bagi perempuan untuk menampakkan perhiasan kepada mereka agar tidak menyukarkan bagi perempuan. Di samping itu, secara umum tidak ada kebimbangan timbulnya ketertarikan syahwat dan pelbagai akibat lain dari kedua-dua belah pihak (At-Tahrir wa at-Tanwir, vol. X, hal. 18-19). Imam Ibnu Jarir at-Thabari menyatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang mengikuti kalian untuk memperoleh makanan kepunyaan kalian agar mereka boleh memakannya. Mereka adalah para lelaki yang tidak memiliki hasrat terhadap perempuan. Mereka tidak memiliki keinginan terhadap perempuan, dan mereka juga tidak menginginkan perempuan (Tafsir ath-Thabari, vol. XIX, hal. 163). Sementara Ibnu Abbas menjelaskan bahawa pada ada zaman awal Islam, ada lelaki yang ikut membantu di rumah tangga lelaki lain. Dia tidak dicemburui oleh si majikan lelaki. Perempuan di rumah itu pun tidak takut jika menanggalkan purdah/tudungnya di samping lelaki tersebut. Ia adalah lelaki bodoh (al-ahmaq) yang tidak memiliki hasrat terhadap perempuan. Karena itulah, perempuan tidak merasa malu dan segan terhadap mereka. Menurut Qatadah, mereka adalah orang yang ikut di rumah kamu untuk memperoleh makanan daripadamu. Sementara menurut Mujahid, mereka adalah lelaki yang hanya mementingkan urusan perut mereka sahaja. Mereka tidak memikirkan hal perempuan. Dalam riwayat lain, Mujahid menyatakan bahawa mereka adalah orang yang lemah akalnya (al-ablah), yang tidak mengetahui apa-apa pun tentang perempuan. Sa’id bin Jubair juga menyatakan bahawa mereka adalah orang yang kurang waras fikirannya (al-ma’tuh). Ibnu Zaid berpendapat bahawa mereka adalah orang yang berada dalam suatu kaum sehingga seolah-olah dia adalah sebahagian dari mereka dan dia bergaul dalam lingkungan mereka. Dia berada dalam kaum tersebut bukan karena memiliki hasrat terhadap para wanitanya. Hal ini kerana dia memang tidak memiliki hasrat seksual dalam dirinya terhadap perempuan. Dia bersedia mengikuti kaum tersebut karena mereka mengambil berat terhadap dirinya. Sedangkan menurut Ikrimah, mereka adalah pondan (mukhannas) yang zakarnya tidak boleh ereksi (al-mukhannas alladzi la yaqumu zabbuhu). Dengan memetik pendapat Ikrimah tersebut, Khoirul Anwar dalam artikelnya berjudul Dalil LGBT dalam Al-Qu’an di laman www.islamlib.com, menyatakan bahawa at-tabi’in ghairi ulil irbah itu adalah “lelaki yang kecenderungan seksualnya terhadap sesama jenis atau waria (maknyah) (al-mukhannas).” Ini adalah pendapat Khoirul Anwar yang jelas keliru. Hal ini kerana Ikrimah sama sekali tidak menyebutkan ungkapan “lelaki yang kecenderungan seksualnya terhadap sesama jenis.” Dia sengaja tidak mengungkapkan pendapat Ikrimah secara tepat. Padahal menurut pendapat Ikrimah yang tepat, mereka adalah “mukhannas (banci/ pondan) yang zakarnya tidak boleh ereksi.” Dengan demikian, tidak adanya hasrat seksual dalam diri orang tersebut terhadap perempuan adalah kerana alat kelaminnya yang tidak boleh ereksi, bukan kerana statusnya sebagai mukhannas.

Dalam khazanah fiqh, mukhannas adalah lelaki yang cara percakapan dan tindak-tanduknya menyerupai perempuan. Selagi keadaan itu merupakan pembawaan sejak lahir, tidak dibuat-buat, dan tidak disengaja, maka ia tidaklah dicela. Namun jika bukan merupakan pembawaan dari lahir, namun sesuatu yang dibuat-buat dan disengaja, maka hal itu adalah sesuatu yang diharamkan dan dicela (al-Fiqh al-Manhaji, juz 3, hal. 65). Dengan demikian, seorang mukhannas bukanlah dimaksudkan sebagai “lelaki yang kecenderungan seksualnya terhadap sesama jenis” sebagaimana pandangan Khoirul Anwar. Memang di dalam faktanya, boleh saja seorang mukhannas memiliki orientasi seksual terhadap sesama jenis. Tetapi,ayat ghair ulil irbah tersebut bercerita tentang lelaki yang tidak memiliki hasrat seksual terhadap perempuan, yang boleh jadi dia seorang mukhannas atau bukan mukhannas.

Yang jelas, ayat tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan seorang lelaki yang memiliki kecenderungan seksual kepada sesama jenis. Sebahagian orang menganggap bahawa kecenderungan seksual merupakan identiti seseorang yang tidak berkaitan langsung secara fizikal dengan alat kelamin seseorang. Sementara dalam fiqh klasik, tidak ada istilah kecenderungan atau orientasi seksual, namun yang ada adalah jenis kelamin yang boleh dilihat dan dibezakan secara fizikal. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Mawardi dalam al-Hawi fi al-Fiqh asy- Syafi’i, jenis kelamin manusia hanya ada dua, iaitu lelaki dan perempuan. Lelaki adalah orang yang hanya memiliki alat kelamin iaitu zakar sahaja. Perempuan adalah orang yang hanya memiliki alat kelamin iaitu faraj saja. Sedangkan khunsa adalah orang yang memiliki dua alat kelamin, iaitu zakar dan faraj. Seorang khunsa tidak boleh memiliki identiti dengan dua kelamin iaitu sebagai lelaki dan perempuan sekaligus. Khunsa juga tidak boleh dikatakan sebagai orang yang bukan lelaki dan bukan perempuan. Bahkan khunsa tidak boleh dikatakan sebagai separuh lelaki dan separuh perempuan. Pilihan identiti kelaminnya, sama ada lelaki atau perempuan ditentukan dengan kajian perubatan untuk menentukan kedua-dua alat kelamin tersebut yang mana berfungsi dengan baik dan lebih dominan. Jika kedua-dua alat kelaminnya berfungsi dengan baik dan sama-sama dominan, barulah dilakukan kajian perubatan apakah kecenderungan seksualnya kepada lelaki atau perempuan. Jika kecenderungan seksualnya kepada perempuan, bererti dia lelaki. Jika kecenderungan seksualnya kepada lelaki, bererti dia perempuan. Walaubagaimanapun, penentuan secara psikiatri ini adalah adalah cara terakhir, karena tanda-tanda fizikal lebih kuat daripada tanda-tanda psikiatri. Sedangkan Mukhannats adalah lelaki yang cara bicara dan tingkah lakunya menyerupai perempuan (Lihat, al-Hawi fi al-Fiqh asy- Syafi’i, juz XI, hal. 926-931). Lelaki seperti ini biasanya disebut dengan banci (pondan) atau waria (maknyah). Kisah tentang banci (pondan) pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, ada seorang banci (pondan) (mukhannas) bernama Hit. Dia biasa keluar masuk ke rumah para isteri Nabi. Mereka menganggap bahwa lelaki itu tidak memiliki hasrat terhadap perempuan. Suatu hari, Nabi masuk ke dalam rumah dan mendapati Hit berada bersama para isteri baginda. Lelaki itu sedang berbicara kepada Abdullah bin Abi Umayah, saudara seibu dari Ummu Salamah, salah seorang isteri Nabi. Dia membicarakan tentang bentuk tubuh seorang wanita. Mendengar ucapan itu, Nabi pun bersabda, “Perhatikanlah! Bukankah orang ini mengetahui apa yang ada di rumah ini?! Jangan izinkan dia masuk ke dalam rumah!” Sejak itu, Hit pun dilarang masuk ke dalam rumah isteri-isteri Nabi. Dia kemudiannya dibuang daerah ke Khakh, suatu kawasan di pinggiran kota Madinah. Di dalam riwayat lain, kawasan buangan itu adalah al-Baida. Setiap hari Jumaat, dia datang ke Madinah untuk meminta makan, kemudian kembali semula ke kawasan buangannya. Hit tinggal ditempat pengasingan itu sehingga dia meninggal dunia semasa era pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. (Asadul Ghabah, vol. I, hal.1098; Ansab al-Asyraf, vol. 4, hal. 329; ar-Raudh al-Mi’thar fi Khabar al -Aqthar, vol. 1, hal. 212; Samthan-Nujum al- ‘Awali fi Anba al -Awaili wa at-Tawali, juz 1, hal. 179).

Dalam sejarah Islam, pernah terjadi pernikahan sejenis di antara sesama lelaki. Peristiwa itu terjadipada zaman Khalifah Abu Bakar. Sebagaimana diriwayatkan daripada Shafwan bin Sulaim, dari Khalid bin al-Walid. Ketika itu, Khalid bin al-Walid menemui di suatu daerah pedalaman Arab, ada seorang lelaki yang dinikahi seperti seorang perempuan dinikahi. Khalid bin al-Walid pun mengirimkan surat kepada khalifah, Abu Bakar ash-Shiddiq. Lantas khalifah bermusyawarah dengan beberapa tokoh sahabat. Ali bin Abi Thalib merupakan sahabat yang berpendapat sangat tegas ketika itu.

“Tidak ada yang melakukan perbuatan maksiat seperti itu kecuali umat-umat terdahulu. Kalian semua sudah mengetahui, apa tindakan Allah terhadap mereka?! Menurut pandanganku, dia dibakar sahaja!” Akhirnya, para sahabat bersepakat agar pelaku pernikahan sejenis itu dibakar. Lantas Abu Bakar pun mengirim surat balasan kepada Khalid bin al-Walid. Abu Bakar memerintahkan Khalid untuk menghukum orang itu dengan membakarnya. (as-Sunan al-Kubra, juz 8, hal. 232;al-Hawi fi al-Fiqh asy-Syafi’i, juz XIII, hal. 223). Berkaitan pernikahan sejenis, salah seorang tokoh pendokong LGBT, Mun’im Sirry dalam sebuah tulisannya, menyatakan bahawa pernikahan sejenis boleh dibenarkan atas dasar kemaslahatan yang berasaskan prinsip kesetaraan, keadilan, dan kehormatan manusia. Dia juga menyatakan,“Tidak sukar untuk berhujah secara terperinci mengapa atas nama kemaslahatan perkahwinan sejenis boleh dibenarkan.” Dengan kata lain, Mun’im membenarkan perkahwinan sejenis atas dasar kemaslahatan. Dalam tulisannya yang berikutnya, dia menyatakan bahawa “undang-undang perkahwinan sejenis memungkinkan pasangan dapat menikmati pelbagai hak keistimewaan (privileges) seperti yang dinikmati suami isteri lain.” Undang-undang perkahwinan sejenis tersebut berasaskan kepada kemaslahatan. Padahal kemaslahatan dalam perundangan Islam, tidaklah boleh difahami secara bebas mengikut keinginan orang perseorangan. Kemaslahatan harus berpijak pada tujuan-tujuan syariat (maqashid syari’ah). Sebagaimana diketahui, tujuan syariat itu adalah lima, iaitu menjaga agama (hifzh ad-din), menjaga akal (hifzh al’aql), menjaga keturunan (hifzh an-nasl), menjaga harta (hifzh al-mal), dan menjaga nyawa (hifz al-nafs).

Artikel ini disusun semula dari artikel asalnya yang bertajuk Kritik Argumen untuk Pendukung LGBT oleh Abdurrasyid Ridha, Ketua KUA Kecamatan Gabuswetan Kabupaten Indramayu Jawa Barat, 2016.

YAYASAN IHTIMAM MALAYSIA

sumber asal
http://bimasislam.kemenag.go.id/post/opini/kritik-argumen-untuk-pendukung-lgbt

 

Koleksi Penuh

Bahagian 2. Wildan Mukhalladun
Bahagian 3. Syakilah
Bahagian 4. Kisah Kaum Nabi Luth
Bahagian 5. Larangan Homoseksual

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *