Memperingatkan Amanah Ahli Parlimen

Viewpoints

“CITA-CITA politik tentu wajar saja, selama pandai menginsyafi batasan etika.” – Najwa Shihab

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas sedang berlangsung; khususnya untuk Dewan Rakyat bermula 2 November sehingga 15 Disember 2020. Sudah tentu, rakyat yang cakna dan cintakan sistem demokrasi berparlimen di negara kita akan setia di hadapan set televisyen masing-masing menyaksikan sendiri proses keramat ini.

Melihatkan bagaimana persidangan pada 2 November bermula dengan dramatik apabila isu keselamatan dan kesihatan negara berterusan dipolemik dan dipolitikkan dalam Dewan Rakyat, Penulis pasti, yakin dan percaya ribut politik tidak akan pulih dalam masa terdekat. Hal ini jelas apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) mengusulkan agar masa persidangan dipendekkan, timbul bantahan lantang ahli-ahli parlimen yang lain dengan angkuh melontarkan sanggahan mereka termasuklah ada yang memperlekehkan kebolehjangkitan virus COVID19 itu sendiri.

Alasan mereka hanya satu: kononnya hak bersuara mereka disekat kerana waktu persidangan yang dipendekkan. Sudah tentu akal yang waras akan menyakini sesungguhnya masa yang ada tetap bernilai jika dihabiskan untuk tujuan manfaat rakyat. Sedangkan, masa akan terasa tidak bernilai dan pendek saat mereka mula merapu membangkitkan hal dan usul yang hanya dibawa untuk kepentingan politik sempit mereka. Maka, menghayati pembentangan usul-usul yang penting dalam mesyuarat parlimen kali ini – termasuklah belanjawan negara bagi tahun 2021, Penulis ingin sekali menitipkan beberapa peringatan untuk ahli parlimen.

Peringatan yang pertama, agar ahli Dewan Rakyat menggunakan masa pendek yang ada untuk membahaskan masalah negara dan bukannya tentang strategi memelihara kuasa mereka sendiri. Sejak 10 tahun kebelakangan, setiap kali Dewan Rakyat bermesyuarat akan ada insiden di mana ahli parlimen melanggar adat dengan berkata-kata biadap dan sindiran melewah semasa rancak berbahas. Hentikan drama kekampungan ini kerana rakyat sudah muak dengan sajian yang sama. 

Peringatan kedua, beringatlah ahli parlimen bahawa mereka hanya mampu menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat yang mulia itu berbekalkan undian rakyat marhaen yang mereka rayu dan puja bagaikan pengemis kurap saat pilihan raya tiba. Maka, jangan kerana keangkuhan mereka yang merasakan pakaian politik sudah mampu membuatkan mereka kalis undang-undang, sehinggakan mereka begitu bongkak dan enggan akur kepada peraturan alam. Hormatilah peraturan yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat oleh Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan selain SOP yang telah dipersetujui atas nasihat Kementerian Kesihatan. Jadikanlah jumlah kematian akibat COVID19 sebagai tauladan yang menginsafkan. Lebih-lebih lagi memandangkan ada antara pesakit COVID19 datang daripada kalangan ahli politik sendiri. Wang tak akan mampu mengkafankan kita, kuasa tidak akan mampu mengebumikan kita dan pengaruh tidak akan mampu mentalkinkan kita saat kita semua hilang nyawa nanti.

Ketiga, ingatlah suara dan undian rakyat yang memberikan mereka kuasa untuk berjalan mendongak ke langit. Oleh itu, ingatlah juga bahawa suara dan undian rakyat mampu menjatuhkan mereka tersembam ke bumi. Jangan kerana bualan angkuh di hari ini, sehingga ada rakyat yang mendoakan kejatuhan mereka esok hari. Hentikanlah polemik dan politik wang, kuasa dan pengaruh semasa melangkah masuk ke Dewan Rakyat yang hanya menyala lampunya atas kutipan wang cukai hasil titik peluh kita semua.

Cabaran yang ada dilontarkan oleh ahli Dewan Rakyat kononnya kerana proses mesyuarat dirumitkan dengan SOP yang terasa ketat maka wajar kerajaan ditukar, adalah cabaran kebudakan yang berbaur kesombongan yang memualkan. Rakyat tidak mahu lagi sejarah gelombang ketiga daripada PRN Sabah berulang di skala yang lebih besar, di Semenanjung. Yang menjadi mangsa adalah rakyat di jalanan sedangkan ahli politik di kayangan seperti rabun kepada realiti semasa. Percayalah, jika diadakan juga PRU15, rakyat akan cam muka-muka 222 orang ahli Dewan Rakyat yang ada dan akan rakyat tukarkan setiap seorang daripada mereka.  

Dalam pada kita menunggu pembentangan dan perbahasan belanjawan tahunan negara, eloklah ahli-ahli parlimen diingatkan untuk tahu dan maklum apa yang penting di pandangan mata rakyat. Kami sudah jemu dengan permainan politik. Rakyat lebih berselera dalam memikirkan ancaman kesihatan dan ekonomi yang semakin meruncing. Lebih-lebih lagi kerana rakyat tahu peruntukan kepada Kementerian Kesihatan, sungguhpun besar, masih tidak mencukupi saban tahun. Dalam pada ahli Dewan Rakyat duduk di kerusi kulit yang empuk, ingatlah kerusi di ruang menunggu hospital-hospital kerajaan yang sudah banyak patah, tercabut atau berlubang.

Masa kita semakin suntuk. Ekonomi negara semakin gawat dengan 4.7% kadar pengangguran seluruh negara. Sementera bualan rakyat marhaen saban hari memikirkan harga nasi yang disuap ke mulut, janganlah ahli parlimen mendabik dada ligan membahaskan kuasa politik masing-masing seolah-olah setiap mereka akan terus hidup seratus tahun lagi. Sedar dan seganlah dengan amanah yang maha berat digalas di pundak. Semoga semua ahli parlimen tunduk dengan fitrah berhampar lapik, berlicin daun agar setiap hak rakyat dikembalikan untuk memelihara kepentingan rakyat.

Fatihah Iliani Jamhari
Ketua Exco Undang-Undang & Hak Asasi
International Women’s Alliance for Family and Quality Education
WAFIQ

(Rencana ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia melalui ruang Cakna pada 6 November 2020. Penulis juga merupakan salah seorang Kolumnis bahagian rencana di Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *